Wednesday 8 May 2013

Tuduhan Anwar supaya orang Cina percaya Najib arah Utusan


TIDAK wajar bagi Anwar Ibrahim mendakwa bahawa berita utama Utusan Malaysia semalam yang bertajuk ‘Apa lagi orang Cina mahu?’ sebagai suara Datuk Seri Najib Tun Razak berasaskan daripada pengalamannya sendiri.

Beliau membuat kesimpulan ini berasaskan semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tidak semestinya apa yang dilakukannya juga mesti dilakukan oleh orang lain.

Memang benar daripada pengalaman saya ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar meletakkan semua akhbar di bawah kawalannya terutama Berita Harian, NST dan juga TV3.

Beberapa pengarang akhbar serta pengendali TV3 yang dieksploitasi oleh Anwar masih hidup dan bersedia untuk tampil ke hadapan bagi membuktikan bagaimana Anwar mengarah dan memerintah mereka dari semasa ke semasa.

Anwar memberikan arahan tertentu kepada mereka, kecuali dia tidak berbuat demikian kepada saya kerana pada anggapannya saya mempunyai hubungan rapat dengan Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika itu akhbar Berita Harian, NST benar-benar berada di bawah telunjuknya sehingga beliau mendapat publisiti yang lebih besar daripada Perdana Menteri ketika itu.

Dengan membuat rumusan bahawa apa yang dibuatnya turut dilakukan oleh Najib adalah tidak adil. Bagaimana Anwar boleh membuat ukuran tentang seseorang yang mempunyai budaya tinggi dengan didikan yang lebih sempurna, mempunyai sikap dan tindakan yang sama dengan seorang yang naik hierarki politik negara menerusi lakonan jalanan.

Saya percaya berita Utusan Malaysia semalam itu menyuarakan perasaan orang Melayu yang sedang bergolak dan membara sekarang, bukan sahaja untuk memberitahu masyarakat Cina tetapi juga kepada Perdana Menteri sendiri yang telah banyak menunjukkan tolak ansur kepada orang Cina untuk memenangi hati mereka. Tetapi dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, semua khidmat itu langsung tidak dihargai, sebaliknya dilanda tsunami Cina ekoran hasutan DAP.

Malah Shahril Samad, seorang Melayu yang dikenali sangat liberal juga menganggap ‘landaan’ ini kerana sikap perkauman DAP.

Orang Cina dan akhbar-akhbar Cina telah bangkit dan marah kepada pernyataan perasaan orang Melayu ini kerana mereka dapat membaca akhbar berbahasa Malaysia tetapi kebanyakan orang bukan Cina tidak mengetahui dan tidak memahami apa yang disiarkan oleh akhbar Cina yang membakar perasaan kaum itu dengan bebas pada setiap hari sejak 2008.

Maka masyarakat Malaysia tidak mendapat gambaran yang adil dan berat sebelah. Jadi masyarakat Cina dengan mudah menuduh seolah-olah Utusan Malaysia yang rasis dan jahat, tetapi dahsyatnya perkauman DAP dan akhbar Cina tidak diketahui oleh majoriti rakyat negara ini.

Maka, Utusan Malaysia menjadi mangsa kepada siaran akhbar Cina yang terbatas kepada kaumnya sahaja.

Saya tidak tahu apakah akan terjadi kepada negara ini jika orang Melayu dapat membaca sepenuhnya setiap hari seperti orang Cina dapat membaca akhbar berbahasa Malaysia.

Oleh itu, tuduhan Anwar tentang tajuk utama Utusan Malaysia sebagai arahan daripada Najib akan dipercayai oleh orang Cina dan tujuannya adalah untuk menunjukkan ketidakadilan sikap Najib.

Anwar berusaha memburuk-burukkan Najib dan mahu rakyat melupakan segala kebaikan Perdana Menteri kerana mahu beliau dilihat sebagai pejuang keadilan masyarakat majmuk Malaysia walaupun dengan merendah-rendahkan bangsanya sendiri.

TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN
ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran
Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia.

No comments:

Post a Comment