Kuala Lumpur: Beberapa penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Barisan Nasional (BN) yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berikrar bekerja kuat bagi memastikan kemenangan besar parti itu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata beliau menghormati keputusan kepemimpinan parti yang dianggap membuat penilaian terperinci sebelum memuktamadkan senarai calon.
“Apa yang pasti semangat untuk meneruskan perjuangan tetap berkobar-kobar, malah tidak pernah ada perkataan sabotaj dalam kamus diri saya.
“Pengalaman dalam kerajaan selama ini akan saya perturunkan kepada muka baru,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Beliau yang pernah mengetuai beberapa kementerian, yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Besar, berkata tumpuan utama kini adalah memastikan proses PRU berjalan lancar.
Bekas Ahli Parlimen Besut, Datuk Abdullah Mohd Zain membuktikan semangat setia kawan dalam parti begitu terserlah apabila Datuk Seri Idris Jusoh yang bakal bertanding di kerusi yang disandangnya dengan majoriti 10,590 undi pada PRU 2008, menemuinya semalam.
Pengalaman berharga
“Saya akan menjadi pencadang kepada Idris, jadi tidak ada masalah untuk saya walaupun tidak menjadi calon kerana yang lebih penting adalah memastikan BN cemerlang PRU ini,” katanya yang menganggap tempoh sembilan tahun dalam politik pengalaman berharga selepas 27 tahun berkecimpung sebagai ahli akademik.
Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berpendapat, sebagai pejuang dan pemimpin UMNO, disiplin dalam parti tidak seharusnya dipertaruhkan hanya kerana kecewa dan tersinggung.
“Insya-Allah saya akan pertahankan parti dan kerajaan BN yang berjasa kepada rakyat dan negara ini, selain terus setia kepada kepemimpinan parti walaupun tidak menjadi calon.
“Walaupun ada yang kata pendirian saya ini kerana isteri saya dicalonkan, tetapi hakikatnya sudah menjadi lumrah pemimpin datang dan pergi,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Tak rasa tersinggung
Ketua UMNO Bahagian Larut yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar, berkata tiada sebab untuk rasa tersinggung lebih-lebih lagi kerana tanggungjawab untuk memimpin parti pada peringkat bahagian.
“Strategi tetap diatur untuk kebaikan parti, walaupun tidak lagi menjadi calon, cuma diharap selepas ini jasa semua bekas wakil rakyat yang digugurkan ini tidak dilupakan dan diberi ruang untuk menyumbang dengan cara lain kepada negara,” katanya.
Selain itu, Datuk Mohamad Satim Diman yang turut digugurkan sebagai calon di DUN Seri Serdang berkata, semangatnya membara untuk membantu BN merampas kembali Selangor pada PRU-13 ini.
Datuk Warno Dogol pula berkata, tiada istilah kecewa dalam dirinya walaupun tidak dicalonkan semula untuk bertanding di DUN Sabak yang dimenanginya pada PRU lalu, sebaliknya sebagai ahli parti yang setia beliau akan membantu BN selagi terdaya.
Di Kuala Berang, bekas ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid yang digugurkan mengakui menolak tawaran pembangkang untuk bertanding bagi mewakili parti itu kerana bukan jawatan yang menjadi dasar perjuangannya dan akan turun padang membantu parti.
Penyandang kerusi DUN Langkap, Asha'ari Idris berjanji membantu memastikan kemenangan calon baru BN di kerusi itu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu itu yakin proses pemilihan dan penilaian calon dilakukan secara terperinci.
"Kerja politik ni bukan hak kita sepanjang masa. Kalau kita tidak berhenti kali ini, satu masa kita kena berhenti juga. Jadi kita kena terimalah seadanya," katanya yang mewakili DUN Langkap selama dua penggal.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment