Saturday, 6 April 2013

Kalah menang pilihan rakyat kena terima


Pembubaran Parlimen telah diumumkan Rabu lepas. Macam biasa, menjelang pilihan raya umum banyaklah janji dan ikrar dibuat, projek diumumkan dan sagu hati dibagi. 

Boleh kata semua pihak yang bertanding akan buat janji dan bagi habuan. Yang berbeza hanyalah cara dan sebesar mana sagu hati yang dibagi. Yang berkuasa tentulah bagi lebih banyak daripada yang tak berkuasa atau yang kurang kuasa. Tapi bagi tetap bagi. Biasalah tu. 

Tapi amalan bagi sagu hati dan janji projek ni jarang dibuat di negara-negara maju sebab majoriti rakyat mereka senang dan tinggi pula pelajaran. Jadi susahlah sikit nak guna kaedah macam itu. Insya-Allah, kalau kita kerja kuat, kerja pintar, telus, tak menipu dan tak rasuah, negara kita pun boleh maju macam Jepun, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Eropah. 

Kita kena ingat dan amalkan balik nasihat pemimpin-pemimpin kita masa lalu supaya kita bekerja kuat sampai boleh berdikari. Bila kita berjaya dan berdikari, barulah kita boleh tegur dan kritik pemimpin. Tapi kalau kita tak boleh berdikari apatah lagi kalau kita bergantung kepada orang lain, kita tentulah tak boleh tegur atau kritik orang itu. Silap-silap kena buang kerja atau kena tarik balik projek. 

Undi untuk kebaikan 

Sistem pilihan raya di negara-negara maju cukup canggih dan demokratik sampai ada negara yang rakyatnya keluar mengundi dua atau tiga tahun sekali. Setiap empat atau lima tahun mereka keluar mengundi pilih kerajaan. Tapi di sesetengah negara, mereka keluar mengundi dalam pungutan suara boleh kata setiap tahun. 

Mereka juga mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan. Kita pun pada awal merdeka ada pilihan raya kerajaan tempatan tapi dimansuhkan. 

Di negara macam Switzerland, mereka buat pungutan suara kadang-kadang sampai dua kali setahun. Tak macam pilihan raya umum di mana kita pilih wakil, dalam pungutan suara kita undi isu. Misalnya, pada 3 Mac lalu rakyat Switzerland mengundi dalam pungutan suara untuk sekat gaji eksekutif sektor swasta. Dekat 68% setuju bagi kuasa kepada pemegang saham untuk sekat gaji eksekutif yang melampau-lampau. 

Orang Swiss dah meluat dengan eksekutif atasan sektor swasta yang tuntut atau dibagi gaji, dividen dan pampasan beratus juta ringgit walaupun syarikat mereka tak maju dan pekerja kena buang. 

Sebelum itu, pada 2009, mereka mengundi untuk sekat masjid daripada mendirikan menara. Setahun kemudian mereka mengundi untuk buang negeri orang asing yang lakukan jenayah, tak kira membunuh atau tipu tuntutan insurans. Mereka mengundi untuk kebaikan negara mereka. 

Tapi Kunta Kinte sedih pasal di negara kita ada orang yang nampaknya sanggup buat kerja yang boleh ancam keselamatan negara dan rakyat jelata semata-mata kerana kemaruk kuasa. 

Jauhi malapetaka 13 Mei 

Macam mana pun Kunta Kinte gembira dan taruh harapan tinggi yang pilihan raya umum kita tak lama lagi berjalan dalam keadaan aman, teratur dan bertamadun. 

Kunta Kinte gembira dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masa umum bubar Parlimen yang kerajaan akan hormati kehendak pengundi dan jamin peralihan kuasa yang lancar sekiranya terjadi perubahan. 

Kenyataan Perdana Menteri itu disambut baik oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Dia mengalu-alukan jaminan Najib dan berjanji akan patuhi pilihan rakyat jelata sekali pun Pakatan Rakyat gagal rampas Putrajaya. 

Macam kata pepatah, kerbau dipegang talinya, manusia dipegang cakapnya. Jadi marilah sama-sama kita berdoa dan berharap agar pemimpin-pemimpin kita, tak kira daripada belah mana, akan kotakan apa yang mereka kata. 

Kita minta Allah Taala jauhkan malapetaka macam tragedi 13 Mei 1969 sebab bila gajah dengan gajah berperang yang mati terpijak adalah kancil. Yang susah rakyat jelata. Pemimpin dijaga dan dikawal polis. Orang kaya boleh lari ke luar negara. Yang tinggal adalah rakyat jelata yang tak dikawal dan tak boleh lari ke mana-mana. 

Tangkap dan sumbat 

Yang bertanding pilihan raya tu kenalah hormat undang-undang dan peraturan. Kalau tak hormat atau tak percaya undang-undang jangan bertanding. Boleh boikot macam berlaku di banyak negara. 

Tapi kalau bertanding, menang atau kalah kena terima hakikat. Kalau tak puas hati, boleh buat petisyen atau bawa ke mahkamah. Jangan bila menang, pilihan raya telus tapi bila kalah, pilihan raya tipu. 

Kunta Kinte kutuk sesiapa saja yang bawa kes pilihan raya ke jalan raya. Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, orang macam itu kita tangkap dan sumbat dalam penjara saja. Habis cerita. Wallahualam. 

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment