Hari ini, Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kali ini pengumuman calon BN dibuat lebih awal berbanding amalan dalam PRU yang lalu. BN mungkin mempunyai alasan berbuat demikian. Pembangkang pula menamakan calon mereka oleh pemimpin parti itu dalam perhimpunan yang mereka anjurkan. Selepas mereka umumkan calon, terdengar suara daripada parti lain dalam pakatan pembangkang menyatakan tidak puas hati mereka terhadap calon dipilih. Jika ada calon parti pembangkang berlawan sesama sendiri dalam PRU kali ini, ia menggambarkan betapa celaru mereka.
Kriteria 'boleh menang'
Calon BN dipilih daripada kalangan mereka yang ditakrif sebagai ‘boleh menang’. Kriteria yang ditetapkan oleh parti, bukan diri sendiri. Sebenarnya, dalam BN ramai calon yang boleh menang. Tetapi ada antaranya memilih untuk tidak mahu dicalonkan, tidak mahu bertanding lagi atas alasan tertentu, mahu memberi peluang kepada orang lain dan sebagainya. Namun, tidak dinafikan juga ada antara pemimpin BN yang tetap mahu bertanding walaupun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh parti. Itulah sebabnya Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak terpaksa membuat kenyataan untuk memberi gambaran bahawa tidak semua mereka yang berminat menjadi calon akan dipilih. Jika tidak dipilih, tidak ada sebab perlu kecewa. Mereka yang dipilih sama ada bertanding di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah calon yang diputuskan oleh parti. Mereka adalah pasukan BN yang dipimpin oleh Najib. Ramai calon BN sudah pun menarik diri daripada pertandingan termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Begitu juga beberapa pemimpin kerajaan dan parti mengambil keputusan untuk berundur. Banyak lagi kejutan yang akan diketahui esok apabila Pengarah Pilihan Raya negeri yang kebanyakannya Pengerusi BN negeri membuat pengumuman calon Parlimen dan DUN di negeri masing-masing. Yang pasti, BN akan diwakili ramai muka baru berikutan penyandang Ahli Parlimen dan DUN, tidak bertanding. Berbeza dengan pemimpin tertinggi pembangkang yang boleh dikatakan semua mereka masih tidak mahu berundur selagi hayat dikandung badan. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang masih tidak mahu berganjak. Jika tidak selesa di tempat lama, mereka mencari kawasan baru. Jika sebelum ini mereka lantang mendesak pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri yang lalu meletak jawatan, hakikatnya mereka masih kekal menjadi calon. UMNO sudah mempunyai enam Presiden tetapi DAP masih diterajui orang yang sama.
BN akan diwakili ramai muka baru berikutan penyandang Ahli Parlimen dan DUN, tidak bertanding. Berbeza dengan pemimpin tertinggi pembangkang yang boleh dikatakan semua mereka masih tidak mahu berundur selagi hayat dikandung badan.
Dalam PRU-13 ini, ramai berpendapat gelombang untuk BN bangkit sebagai sebuah kerajaan yang kuat, begitu dirasakan. Jika pemimpin pembangkang menggembar-gemburkan kononnya mereka yakin untuk mengalahkan BN, malah adalah mengatakan boleh menang 215 daripada 222 kerusi Parlimen, itu adalah semata-mata untuk menyedapkan hati penyokong mereka. Jika mahu menerapkan psikologi untuk menang di kalangan pengikut, janganlah sampai mengeluarkan kenyataan yang mengarut. Keadaan sebaliknya, mungkin pula berlaku.
Dalam PRU kali ini BN tidak tidak mengambil sikap endah tak endah atau sambil lewa. Bagi BN, ini adalah ‘ibu kepada segala pilihan raya’ untuk membuktikan bahawa BN amat serius untuk memastikan pentadbiran kerajaan tidak terlepas kepada pembangkang. Malah, dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini pun, BN berlawan bersungguh-sungguh, inikan pula PRU.
Di kawasan yang dikatakan kubu kuat pembangkang, BN akan bertarung untuk menang, walaupun dengan kelebihan satu undi. BN tidak perlu memikirkan untuk menang dengan undi selesa di kawasan hitam. Apa pun, segala jentera mesti digerakkan dan semangat untuk menang, walaupun dengan satu undi di kubu kuat pembangkang, mesti ditingkatkan. Di kubu kuat pembangkang, menang dengan satu undi pun, adalah kemenangan yang besar.
Kebangkitan rakyat
Bukanlah mustahil ada kerusi di kubu kuat pembangkang akan tumpas berikutan kebangkitan rakyat yang meluat melihat gelagat mereka kebelakangan ini. Di kerusi tradisi, BN boleh meningkatkan majoriti undi manakala di kubu pembang-kang, BN akan menggempur untuk memastikan kemenangan. Mereka mengundi BN untuk kesinambungan kerana percaya kemampuan kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Bagi rakyat pula, mereka jemu dengan wajah dan karakter pemimpin pembangkang yang sama bertanding dalam setiap pilihan raya. Setiap kali pilihan raya, orang yang sama berkempen mengatakan negara ini akan hancur jika BN terus memerintah, tetapi terbukti lebih lama BN menerajui negara, Malaysia menjadi bertambah makmur. Rakyat hairan mengapa kempen yang sama diulang setiap kali pilihan raya. Pembangkang kononnya mengajak rakyat untuk mengubah kerajaan. Hakikatnya, kerajaan sudah pun banyak berubah tetapi sikap pembangkang masih belum berubah. Menjadi pembangkang tidak susah kerana kerja mereka hanyalah membangkang apa saja. Pembangkang boleh bercakap dan mengkritik apa saja kerana mereka tidak menanggung bebannya. Kerajaan pula terpaksa memikirkan cara mana mahu membangunkan negara selain menghadapi cabaran dunia.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment