Sistem demokrasi tidak semuanya benar. Namun ia antara sistem pentadbiran dan pemerintahan negara yang terbaik pernah diamalkan. Sistem 1 man 1 vote banyak menyelesaikan masalah pemerintahan. Di samping itu, banyak juga masalah ditimbulkan sistem ini.
Sebagai negara yang sedang membangun, Malaysia menghadapi pelbagai masalah, terutama apabila ras atau etnik serta agama menjadi tunjang perjuangannya. Kebaikan sistem demokrasi bukan saja diamalkan di Malaysia tetapi di negara sedang membangun dan membangun, seperti di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Hampir semua negara ini menumpu kepada kesetiaan agama atau keturunan etnik, walaupun ada parti politik yang menyasarkan ideologi parti. Namun, apabila rakyat terdiri daripada satu-satu kaum yang besar, maka muncullah parti politik menggunakan kaedah keturunan kaum dan agama mengatasi ideologi parti.
Perlembagaan negara ini sendiri mencerminkan demokrasi Par Excellence, sungguhpun pada awalnya pembentukan negara sudah wujud kontrak sosial yang tidak bertulis yang memberi hak tertentu kepada orang Melayu, iaitu penghuni asal negara ini. Tetapi dalam pada itu pun rakyat keturunan ras yang lain turut diberi pengiktirafan sebagai rakyat yang sah tidak boleh dipersoalkan hak mereka.
Undang-undang halang pengadu domba
Sungguhpun orang bukan Melayu faham mengenai kedudukan Melayu dan Perlembagaan di negara ini, ada ketikanya mereka terus mempersoalkan hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Dalam keasyikan dan ketaksuban mereka untuk menghapuskan hak orang Melayu mereka memperbesarkan hak kaum mereka, walaupun mereka yang mempersoalkan hak orang Melayu ini terdiri daripada peguam, jurutera, doktor perubatan serta arkitek.
Ramai antara mereka mendapat pendidikan di luar negara dan mereka sendiri melihat penyertaan orang bukan Melayu seperti mereka di Amerika, Eropah dan Australia. Malah kebanyakan kawasan, kaum mereka di negara itu tidaklah sebaik kawasan bangsa pemerintah. Pokok pangkal ialah bilangan kaum mereka bertambah ramai.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata orang bukan Melayu di negara ini tidak akan mendendangkan hak mereka sekiranya bilangan mereka itu kecil. Tragedi 13 Mei 1969 tercetus hanya di Kuala Lumpur kerana bilangan orang bukan Melayu ramai sedangkan di negeri dan bandar lain kehidupan orang Melayu dan bukan Melayu aman damai.
Ini juga sebahagian besarnya kerana peraturan dan undang-undang kurang tangkas dan cekap untuk menghalang pengadu domba daripada melakukan kerosakan. Bagi mereka kuasa politik mengatasi segala-galanya, sedangkan untuk menguasai kuasa politik pun ada halangan dan pantang larang. Pada masa British dulu, ramai pegawai dirasuah dengan wang dan wanita untuk golongan ini mendapat kemudahan, permit, lesen dan konsesi.
Kini, oleh kerana mereka menguasai lebih 40 peratus ekuiti ekonomi, maka sudah tentulah kuasa beli mereka, termasuk merasuah orang politik lebih besar dan berpengaruh.
Dalam karya George Orwell, The Island of Dr Moreau, novelis ini menggambarkan satu kawasan yang diwujudkan seorang pakar yang menggunakan pelbagai ubat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang akhirnya mencipta sejenis makhluk yang berupa separuh manusia separuh haiwan. Bukan saja Dr Moreau tidak berjaya mencipta masyarakat yang diimpikannya, bahkan beliau menukar mereka menjadi pembunuh sesudah berlaku kerosakan genetik.
Moral cerita ini ialah kesempurnaan mencipta masyarakat dan dunia yang lebih baik tidak memuaskan hatinya lalu dia bertekad untuk mengubah keadaan. Beginilah akan jadi kepada Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kerana kesempurnaan pentadbiran pemerintahan BN sudah cukup baik untuk dinikmati rakyat jelata.
Kisah tiga negeri pembangkang
Kelantan sebagai contoh menggadai tanah airnya untuk diberi kepada DAP semata-mata kerana mahu seorang pemimpin PAS menjadi Menteri Besar Perak. Lembah Sireh pun dianugerahkan kepada orang bukan Melayu tanpa sedikitpun memikirkan generasi orang Melayu yang rata-rata miskin.
Apa salahnya dibenarkan Kerajaan Pusat membina kawasan komersial itu di tengah bandar Kota Bharu. Kerajaan PAS juga mewujudkan China Town pada hal negeri Kelantan tidak layak untuk mendapat sebuah kawasan perniagaan seperti itu. Ini berdasarkan negeri Kelantan sejak kurun ke-19 lagi pernah mengamalkan hukum hudud dan segala ceruk rantau negeri itu wujud pondok agama Islam sehingga sekarang. Apa pentingnya sangat China Town di tengah majoriti orang Melayu yang beragama Islam sedangkan jumlah orang bukan Melayu tidak lebih dari lima peratus.
Di Kedah, kerajaan ini menarah dan meruntuhkan bukit dan hutan kononnya untuk menempatkan penempatan baru. Sungguhpun kerajaan negeri itu berikhtiar memperbaiki dompetnya, tidak adakah cara lain lebih munasabah untuk menambah hasil negeri.
Di Pulau Pinang rumah rakyat dibiarkan dan tidak dipedulikan untuk dibina, sebaliknya mereka mendirikan bangunan kemudahan orang kaya yang kebanyakannya hanya dari satu kaum saja. Mereka mendapatkan kontraktor asing dari luar negara untuk membina terowong berharga lebih daripada RM6 bilion pada hal masih banyak jalan terbiar yang perlu diperbaiki. Inilah antara kerja Dr Moreau yang sia-sia.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment