Sunday, 14 April 2013

Calon, manifesto memikat tentukan kemenangan


Parti laksana janji sosioekonomi dipercayai rakyat

Gendang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah dipalu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 20 April ini sebagai hari penamaan calon, manakala 5 Mei pula hari mengundi. Walaupun tempoh berkempen belum bermula secara rasmi, jentera semua parti politik telah digerakkan ke arah satu matlamat iaitu untuk memenangi pilihan raya kali ini. 

Sekiranya dilihat daripada strategi kempen, ia telah bermula seawal 2011 lagi kerana wujud khabar angin PRU-13 akan diadakan pada ketika itu. Tidak hairanlah rakyat Malaysia disajikan dengan konfrontasi politik khususnya antara dua parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang. Kini apabila semakin dekat dengan tarikh pilihan raya, rakyat telah didedahkan dengan manifesto parti yang bertanding khususnya dari BN dan pakatan. 

Pendekatan yang dibawa BN dan pakatan pembangkang adalah berlainan dengan BN mempunyai kelebihan kerana sebagai pemerintah, mereka seharusnya lebih memahami permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang harus ditangani oleh pemerintah”

Seperkara yang menarik tentang PRU-13 berbanding PRU sebelumnya apabila manifesto dibentangkan secara komprehensif kepada umum dan secara berkonvensyen untuk parti masing-masing menunjukkan kekuatan dan kemampuan mereka mentadbir negara melalui mandat baru nanti.

Rakyat mahu fahami isi kandungan manifesto

Perhatian rakyat sebenarnya terarah untuk memahami isi kandungan manifesto berkenaan. BN dan pakatan pembangkang saling menuduh antara satu sama lain dengan berhujah parti mereka mengemukakan manifesto yang terbaik, praktikal dan realistik. BN misalnya menuduh pakatan menciplak dasar yang dirancang BN malah beranggapan agenda pakatan khususnya penghapusan tol dan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan menggantikan sejuta pekerja asing di Malaysia sebagai tidak realistik dan praktikal. 

Pakatan pula menuduh BN menciplak manifesto mereka dan meragui hasrat BN mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan, bantuan kos hidup melalui BR1M dan menurunkan harga kenderaan. Sikap tuduh menuduh ini sudah dijangka di dalam ruang awam ini kerana setiap parti ingin menunjukkan kelebihan masing-masing dan kelemahan lawan. 
Agenda basmi kemiskinan

Melihat strategi manifesto, BN dan pembangkang menyedari bahawa faktor ekonomi dan sosial memainkan faktor utama menentukan sokongan rakyat ke atas sesebuah parti. Banyak agenda pembasmian kemiskinan, menurunkan kos hidup, meningkatkan mutu dan peluang pendidikan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan. Cuma pendekatan yang dibawa BN dan pakatan adalah berlainan dengan BN mempunyai kelebihan kerana sebagai pemerintah, mereka seharusnya lebih memahami permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang harus ditangani oleh pemerintah. 

Perbezaan yang nyata antara kedua-duanya ialah BN ingin meneruskan agenda transformasi politik, ekonomi dan kerajaan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Matlamat seterusnya adalah melakukan penambahbaikan dan meningkatkan ketelusan di dalam sistem pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Pembangkang pula ingin melakukan reformasi politik membabitkan rombakan besar kepada sistem politik dan pentadbiran negara. Jadi rakyat harus bijak menilai mana pendekatan yang lebih realistik dan praktikal serta tidak membebankan kewangan dan pengurusan negara.

Isu pemilihan calon

Sebelum bermulanya kempen rasmi PRU-13 sebaik saja proses penamaan calon dilakukan, parti politik harus menyediakan calon terbaik dan mampu menang. Isu calon ini dilihat menjadi isu duri dalam daging. Pakatan pembangkang dilihat menghadapi masalah yang tidak berkesudahan walaupun pembangkang dilihat lebih awal mengumumkan calon mereka khususnya di kerusi Parlimen. 

PAS, DAP dan PKR dilihat masih bercakaran untuk merebut kerusi yang ingin ditandingi seperti yang berlaku di Perlis, Johor, Sabah, Perak dan Kedah. Terbaru, mungkin PAS dan PKR akan meletakkan calon masing-masing di tempat yang sama di DUN Sungai Acheh di Pulau Pinang. Sekiranya mereka gagal berkompromi, maka ini akan dijadikan bahan kempen BN mengkritik bagaimana pakatan ingin mentadbir negara dan negeri sekiranya isu calon atau pertandingan tiga penjuru pun mereka tidak dapat selesaikan.

Sekiranya nama calon dapat dimuktamadkan ketika tarikh penamaan calon, maka tempoh berkempen selama 15 hari akan dimanfaatkan untuk memperkenalkan calon, dasar parti dan agenda masa depan negara berasaskan manifesto yang telah dibentangkan. Yang pasti, strategi kempen politik telah semakin rancak dijalankan di seluruh negara.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment