Perbincangan mengenai politik juga menarik sekiranya ditinjau dari perspektif sosiologi. Masyarakat Kelantan misalnya, merujuk kegiatan mengundi dalam sistem demokrasi diamalkan di negara kita sebagai ‘main politik’. Oleh itu, bagi orang Kelantan, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen 3 April lalu, ia ibarat paluan gendang yang menandakan musim ‘bermain politik’ sudah bermula.
Ramai kalangan masyarakat Malaysia tersalah dalam memahami tabiat berpolitik orang Kelantan. Sebahagian mereka menganggap orang Kelantan sebagai masyarakat yang bersifat taksub melulu terhadap parti politik. Hakikatnya tidak sedemikian. Tanggapan itu barangkali benar pada sebahagiannya tetapi tidak keseluruhan. Ini boleh dinilai pada istilah ‘main politik’ yang merupakan satu kata perbualan yang digunakan secara meluas pada peringkat akar umbi masyarakat Kelantan.
Istilah ini menunjukkan iaitu bagi orang Kelantan berpolitik adalah satu bentuk perlawanan dalam sesebuah permainan. Ia sentiasa terdedah kepada perubahan bergantung kepada tawaran dan prestasi perkhidmatan pelaku atau ‘pemain’. Apabila mereka menanggapi kegiatan politik sebagai satu bentuk perlawanan dalam sebuah permainan, maka nilai politik pada perspektif sebahagian orang Kelantan boleh dikatakan bersifat relatif. Dalam kata lain, politik yang selalu didefinisikan sebagai seni serba kemungkinan tergambar dalam istilah itu dan sudah lama diamalkan orang Kelantan.
‘Taksub’ terhadap politik
Mungkin benar jika kita mengatakan orang Kelantan ‘taksub’ terhadap politik dalam erti minat dan kecenderungan mereka terhadap kegiatannya menyeluruh membabitkan segenap lapisan masyarakat. Namun, tidak benar sekiranya kita mengatakan, iaitu orang Kelantan bersikap taksub kepada parti politik. Sikap dan pendirian politik orang Kelantan terhadap parti yang menyertai atau bermain politik terdedah kepada hukum perubahan.
Penelitian ini terbukti dalam amalan pertukaran parti memerintah di Kelantan antara PAS dan UMNO dalam sejarah perkembangannya. Misalnya, selepas memperoleh kemenangan pada PRU 1959, PAS memerintah Kelantan sehingga 1978 sebelum UMNO mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sehingga 1990.
Selepas itu, rakyat Kelantan memberikan kembali mandat pemerintahan kepada PAS sehingga sekarang. Proses peralihan ini menjelaskan, iaitu tidak ada mana-mana parti politik bertanding di Kelantan berada dalam kedudukan kebal. Kedudukan parti politik di Kelantan sentiasa terdedah kepada penilaian dan pelbagai pengaruh kemungkinan yang tidak menentu.
Dalam konteks perkembangan politik di Kelantan hari ini, tanggapan umum meletakkan peluang lebih kepada PAS untuk terus mengekalkan pemerintahan mereka. Tanggapan ini berasaskan pemikiran, iaitu orientasi keagamaan masyarakat Kelantan akan mendorong pola pengundian kepada parti PAS yang memang difahami menawarkan corak kepemimpinan sedemikian.
Tanggapan ini adalah antara satu daripada telahan yang sedang berkembang. Namun, tanggapan ini bukan satu-satunya telahan sedang diperbincangkan. Tanggapan lain menjangkakan bahawa PAS akan menerima tamparan yang tidak terjangka. Ia pernah terjadi apabila PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi saja berbanding UMNO pada PRU 2004. Dikatakan, kini sudah wujud perasaan ‘puas’ atau jemu sebahagian besar orang Kelantan terhadap kepemimpinan sedia ada. Oleh itu, jangkaan perubahan politik pada peringkat pentadbiran negeri bukan suatu yang mustahil.
Jangkaan dan telahan mengenai senario politik Kelantan selepas PRU-13 menarik perhatian ramai pihak. Sekiranya diteliti perbezaan undi yang dimenangi calon pada PRU-12, majoritinya tidak begitu besar. Dalam kata lain, peluang setiap pihak adalah 50-50 atau terbuka. Peranan perantau yang berada di luar Kelantan banyak menjadi penentu terhadap pola pengundian nanti.
Pengaruhi pola pengundian
Kepulangan mereka ke kampung halaman menjalankan kewajipan mengundi disertai bersama-sama dengan arus berfikir yang berkembang di tempat mereka bermusafir. Di samping golongan dewasa, perantau ini dari kelompok generasi amat ramai dan gaya serta corak berfikir mereka bakal mempengaruhi pola pengundian di Kelantan.
Di samping faktor luar, prestasi dalaman parti menyumbang pengaruh besar terhadap pola pengundian akan datang. Memandangkan sebahagian besar tabiat orang Kelantan yang tidak bersifat taksub kepada parti politik, mereka pada masa sama juga bersikap demikian terhadap calon bertanding.
Penilaian terhadap kebaikan, kejujuran dan rekod perkhidmatan calon amat mempengaruhi rentak pengundian. Pada kebiasaan, sekiranya calon dikenali sebagai ‘orang baik’ dan ‘pemurah’ oleh masyarakat setempat, peluang untuk terpilih lebih besar.
Perbahasan mengenai tabiat politik orang Kelantan ini bukan suatu perbincangan asing dalam konteks wacana politik dan realiti sosialnya di Kelantan. Oleh itu, sikap meninggi diri, terutama dari segi percakapan dan kebendaan akan membawa padah kepada calon atau parti yang bertanding.
Begitu juga perbuatan suka mengecam dan melemparkan tuduhan politik secara keras dan keterlaluan terhadap pesaing akan membawa kecundang. Dalam ‘bermain politik’, orang Kelantan suka kepada calon dan parti yang bersikap halus budi pekerti serta pandai merendah diri. Walaupun politik dianggap sebagai satu bentuk permainan, ia juga difahami sebagai satu bentuk ibadah dari kaca mata keagamaan.
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment