Saturday, 6 April 2013

BN miliki kelebihan fahami kehendak rakyat


Manifesto dijangka beri penekanan penerusan agenda transformasi

Sehari selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Dalam kedua-dua mesyuarat itu, beliau telah menjelaskan faktor calon akan menjadi resipi utama kemenangan dua pertiga bagi Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU-13).

BN mesti tampilkan calon yang boleh menang, berkaliber, kuat bekerja dan boleh berkhidmat dengan baik untuk masyarakat. Namun, isunya di sini ialah adakah calon itu boleh diterima kepemimpinan dan jentera parti di kawasan yang ditandinginya. Sejak Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, Najib terus mengingatkan pemimpin dan jentera UMNO khususnya untuk tidak melakukan sabotaj terhadap calon BN. Ini kerana telah terbukti bahawa BN kalah di Kedah pada PRU-12 disebabkan faktor sabotaj. 

Kurangkan elemen sabotaj 


Sabotaj sebenarnya juga berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR). Tetapi, BN harus membatasi dan mengurangkan elemen sabotaj daripada menjejaskan kemampuan BN untuk menang PRU-13. Faktor calon saja sebenarnya tidak cukup untuk memenangkan BN. 

BN dijadual melancarkan manifestonya hari ini. PR telah melancarkan manifesto mereka dengan memberikan tumpuan kempen kepada pengundi muda dan baru yang menjadi penentu kepada kemenangan mereka pada PRU-13. Tidak hairanlah beberapa pakej yang diketengahkan cuba memancing golongan ini terkandung di dalam manifesto PR seperti mewujudkan sejuta peluang pekerjaan, pendidikan percuma, penurunan harga kereta, rumah mampu milik dan penghapusan PTPTN.

Manifesto BN pula diramalkan akan memberi penekanan kepada penerusan agenda transformasi ekonomi, politik dan kerajaan ke arah Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, selain sebagai negara berpendapatan tinggi. Dijangka BN akan meletakkan beberapa inisiatif dan insentif untuk menarik sokongan pengundi muda dan baru. 

Manifesto BN juga akan memastikan ekonomi Malaysia terus stabil, pelaburan domestik akan meningkat dan kekalnya kestabilan politik. Agensi kerajaan seperti FELDA dan FELCRA akan terus dipertahankan. Malah agenda keselamatan dan pembasmian jenayah diberikan keutamaan. 
Agenda pemerintahan terbaik dan menentang rasuah juga akan diperluaskan dan dipertingkatkan. Isu sosial seperti pendidikan, kesihatan dan moral akan terus diperkasakan.

Selain isu nasional, isu tempatan juga berperanan menentukan sentimen pengundian pengundi terhadap sesebuah parti. Diramalkan BN akan melancarkan manifesto pada peringkat negeri sebagai usaha menangani apa juga permasalahan setempat yang memerlukan khidmat dan sumbangan BN. BN sudah pasti akan mengeksploitasi beberapa kelemahan kerajaan negeri pimpinan PR seperti isu air di Selangor dan penebangan balak atau alam sekitar di Kedah.

Yang pasti, kemenangan sesebuah parti memerlukan mereka memahami demografi penduduk Malaysia keseluruhannya. Penduduk di bandar dan pinggir bandar mempunyai pendekatan berbeza dengan penduduk luar bandar dari segi persepsi ke atas sesebuah parti politik. Ini banyak bergantung kepada isu yang menjadi pertimbangan penting bagi mereka dan informasi yang diperoleh melalui media. 

Secara purata, penduduk luar bandar di Malaysia adalah 35 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia keseluruhannya yang berjumlah lebih 28 juta. Ini menunjukkan bahawa 65 peratus penduduk di Malaysia menetap di bandar dan pinggir bandar.

Namun, jika dilihat dari segi statistik di negeri tertentu, ada negeri yang mempunyai lebih 70 peratus penduduknya berada di luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak, manakala 80 hingga 90 peratus penduduk di Pulau Pinang dan Selangor pula tinggal di bandar dan pinggir bandar. Kebanyakan penduduk di bandar dan pinggir bandar pula kebanyakannya adalah golongan kelas menengah yang melihat faktor ekonomi dan taraf hidup sebagai perkara penting di dalam kehidupan.

Sumber maklumat pelbagai

Malah maklumat yang mereka terima pula banyak daripada media tradisional dan media baru khususnya melalui portal berita dan media sosial. Sumber maklumat yang pelbagai ini menjadikan mereka kritis ke atas tindakan dan dasar yang ingin dibawa oleh kerajaan.

Penduduk di luar bandar pula masih banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Di atas kemampuan teknologi yang terbatas, sumber maklumat mereka juga agak terbatas khususnya melalui media tradisional melalui akhbar dan televisyen. Mereka juga agak konservatif yang mana isu pokok seperti kaum dan agama adalah penting di dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, sekiranya BN ingin menang pada PRU-13, semua parti komponen harus memahami keadaan rakyat ini dan kemukakan agenda politik serta dasar yang boleh menarik minat mereka memberi mandat lebih besar kepada BN.

Penulis ialah Dekan di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment