Tuesday, 26 March 2013

Jangan mati sebagai penderhaka, si Tanggang


BARU-BARU ini berlangsungnya Wacana Cuit: Dilema Melayu Moden yang mengupas buku Cuit: Dilema Melayu Moden, sebuah karya himpunan rencana tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Menampilkan tiga orang panel iaitu bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, wacana hampir dua jam itu sarat dengan peringatan untuk anak bangsa dalam 'mengayuh' masa depan atas nama perjuangan Melayu.

Malah, anak bangsa juga ditiup puisi bernada 'amaran' oleh Dr. Hashim agar mereka tidak mati di bumi berdaulat ini sebagai penderhaka. Juga, ingatan untuk mereka agar mempertahan kubu negara selain tidak menjadi pengkhianat dengan 'mengagung-agungkan' penderhaka di tanah tumpah darah ini.

''...Ini kedaulatan bangsa,

Ini maruah negara,

Kita pertahan,

Kita jaga,

Aduhai saudara,

Jangan saudara bawa penderhaka

ke dalam kota kita,

Jangan saudara bawa penderhaka

ke dalam kubu kita."

Itu antara bait-bait puisi ringkas yang dirakam menerusi luahan ikhlas beliau yang tersentuh dengan senario kedudukan semasa Melayu di bumi sendiri termasuk sikap anak bangsa yang sedikit terleka dek omongan kosong sang petualang bangsa.

Ini tegasnya, telah menjadikan Melayu yang suatu ketika dahulu hanya berbeza ideologi dalam skala kecil, kini mula membesar seperti dinyatakan oleh Zaini di dalam tulisannya. Sedikit sedutan daripada penulisan tersebut, tegas Zaini, secara kasar, orang Melayu sekarang sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya majoriti, sudah menjadi minoriti.

Melayu itu berpecah kepada Melayu Liberal, Melayu Ulama, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Atas Pagar dan Melayu UMNO.

Hakikatnya, Melayu kini sudah jauh berubah. Tetapi, perubahan dan kemajuan yang dikecapi, ada ketika menjadikan mereka lupa siapakah Melayu itu yang hadir serta wujud dalam sanubari sendiri. Lebih mengecewakan, Melayu itu tidak mahu atau malu bergelar Melayu dan memperjuangkan kemelayuan yang diwarisi.

Dr. Hashim dalam pada itu melahirkan rasa kecewanya terhadap segelintir orang Melayu yang dahulunya berpendidikan rendah tetapi mula lupa diri setelah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dengan hasil usaha kerajaan.

''Saya ada pengalaman begini. Seorang anak Melayu yang dahulunya mendapat gred rendah dalam peperiksaan, diambil kerajaan untuk belajar ke luar negara sehingga ke peringkat kedoktoran. Namun, selepas itu, dia bertindak mempersoalkan apa sumbangan kerajaan terhadap dirinya. Orang macam ini cukup ramai. Banyak kali saya tegaskan, orang Melayu jangan lupa jasa kerajaan," jelasnya.

Begitu juga dengan kata-kata 'Cikgu' Sidek yang menterjemah perpecahan Melayu itu akibat daripada pengaruh simpang-siur pemikiran luar yang kemudiannya cuba dibawa masuk oleh pihak tertentu termasuk sesetengah pemimpin Melayu ke dalam persekitaran negara.

Terpukau dengan idealisme Barat, Revolusi Iran dan terbaharu cubaan 'mengimport' Arab Spring, pemikiran ini sedikit sebanyak menjadi punca Melayu itu pincang sehingga ada yang sanggup saling kafir-mengkafir antara satu sama lain.

''Simpang siur aliran pemikiran berlaku akibat tak faham sejarah budaya dan realiti kewujudan serta perubahan umat Melayu. Ini masalah kita sebenarnya. Terutama apabila kita merdeka, bila kita maju, anak-anak dihantar ke luar negara dan mula terlibat dengan pelbagai aliran pemikiran dan dakwah. Anak-anak kita yang pergi ke Barat mula terpukau dengan pelbagai aliran pemikiran tanpa melakukan sinergi dengan perkembangan budaya dan sejarah tempatan kita ini.

''Mereka ini apabila belajar di Barat, membawa aliran pemikiran yang revolusioner, nak wujudkan republik di Malaysia, menolak institusi beraja. Maknanya dia tak faham tentang realiti negara. Menyerap (pemikiran) dari luar, bawa balik ke sini, kemudian terlibat dengan politik kepartian dan perjuangkan pemikiran tersebut," katanya.

Seperkara lain yang disebut beliau adalah realiti mereka yang terpengaruh dengan Revolusi Iran apabila ramai kalangan umat Melayu kini mula 'menganut' fahaman syiah.

''Ini saya katakan akibat aliran pemikiran yang bersimpang siur menyebabkan perpecahan terjadi. Cuba kita lihat tokoh pembangkang ketika berlakunya Revolusi Iran. Pendekatan partinya berubah kepada radikal. Maka berlakunya isu kafir-mengkafir, sekali lagi membawa kepada perpecahan umat Melayu.

''Dan hari ini, apabila berlaku perubahan di Mesir, ada yang nak bawa Arab Spring ke Malaysia. Persoalannya, apakah sama situasi di Mesir dengan Malaysia? Tidak. Kita berubah, aman, maju membangun dan pertumbuhan terjadi serta ekonomi berkembang," tegasnya.

Dan, ujarnya, lebih menyedihkan apabila wujud watak-watak Si Tanggang yang menderhaka kepada negara dengan mewujudkan 'nada' songsang dalam aliran berfikir serta jalur bertindak.

''Antara kesannya yang kita lihat, dahulu Melayu itu penuh dengan jiwa gotong-royong, semangat bekerjasama dan ukhuwah berteraskan Islam. Tetapi hari ini ia semakin menipis. Akibat kafir-mengkafir, orang berpisah, keluarga berpecah," ujarnya penuh rasa kecewa.
Beliau menambah, selain itu sikap terbuka orang Melayu untuk mendengar pandangan dan perbezaan sudah semakin hilang.

Hal ini jauh menyimpang dengan sikap terpuji yang ditonjolkan oleh Imam Shafie ketika berada di dalam situasi perbincangan serta muzakarah. Beliau pernah menyebut : ''Pandangan aku mungkin benar dan mungkin salah. Pandangan kamu mungkin benar dan mungkin salah. Jadi ambillah yang benar sahaja."

Begitulah mulianya sikap Imam Shafie dalam menerima apa jua idea atau pandangan. Sikap sebegini perlu dicontohi semua pihak untuk kita terus maju ke depan. Perbalahan demi perbalahan, tuduh-menuduh antara satu sama lain dan mendabik dada bahawa hanya diri sendiri sahaja yang benar, sikap ini tidak ke mana. Malah, ia membuatkan kita semakin mundur.

Sementara itu, Rasulullah SAW pula pernah menyebut bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan umatnya terkandung hikmah. Hal ini kerana mereka mengamalkan satu kaedah dalam ilmu fekah iaitu 'Adabul Ikhtilaf' atau adab perbezaan.

Bagaimanapun ujar Sidek, adab-adab itu tidak diamalkan oleh umat Melayu. ''Kita tak terbuka kepada pandangan orang lain. Kita kata pandangan kita sahaja yang betul. Dan, kita kata kita lebih Islam daripada orang lain. Itulah dilema yang sedang kita hadapi.

''Timbul rasa taksub. Parti aku adalah segala-galanya. Tetapi mereka lupa bahawa setiap organisasi politik yang dikendalikan manusia, tetap ada kelemahannya. UMNO ada kelemahannya. Begitu juga Pas. Kita kasar-kasar label orang sebagai taghut, kafir, syaitan, firaun. Ini ajaran mana?'' soalnya.

Masih berpaksi kepada persoalan Melayu, beliau membidas pemikiran songsang sesetengah pihak yang mengaitkan bangsa itu dengan pelbagai persepsi khususnya bersikap perkauman dan menzalimi bangsa lain.

''Persoalan tentang Melayu, baik namanya Utusan Melayu, baik namanya orang Melayu, hari ini kita lihat pelbagai persepsi dilontarkan dengan menghubungkan Melayu itu dengan perkauman. Lalu menjadikan kita ini rasa bersalah menyebut Melayu di negara sendiri. Kita rasa bersalah dan seolah-olah orang lain dizalimi. Apakah itu benar? Ini mencuit hati kita untuk berfikir.

''Orang Melayu bukan jumud, perkauman dan anti bangsa lain. Dalam negara kita, kemajuan ekonomi itu dirasai. Tetapi siapa lebih dominan? Berapa peratus pegangan orang kita? Hakikatnya orang bukan Melayu gah dalam ekonomi. Apakah kita lakukan kezaliman kepada mereka? Jawapannya tidak," katanya.

Beliau turut membidas tanggapan songsang sesetengah pihak yang kini menganggap ulama yang mampu berdebat dengan 'panas' sebagai ulama hebat tetapi ulama yang membangunkan institusi-institusi Islam pula dilabel sebagai ulama jahat dan pembodek.

''Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, sebagai contoh. Tokoh ilmuan Islam ini menyantuni umara. Hari ini faktor syariah yang berkembang dalam kewangan Islam adalah hasil kerja beliau. Apabila kita dapat membebaskan kita daripada belenggu riba, tidakkah dia menyumbang kepada pembangunan negara?

''Orang lain yang berdegar-degar menghentam segala macam, ke mana? Dia hanya menjadi pengguna kepada model yang kita hasilkan. Dia tak jadi penyumbang. Tidakkah membangunkan UIAM, Bank Islam, Universiti al-Quran itu sesuatu yang maaruf? Tidakkah membina infrastruktur untuk kebaikan masyarakat sebagai sesuatu yang maaruf? Tidakkah menolong orang miskin itu sesuatu yang maaruf? Maaruf itu sangat luas," ujar beliau.

Sementara itu, Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dengan fakta-fakta seriusnya mengajak anak-anak Melayu supaya mengkaji sejarah bangsa agar tidak hilang jati diri.

Sama seperti panel lain, beliau mahu anak bangsa mempertahankan kedaulatan negara daripada jatuh ke tangan si penderhaka yang sentiasa mencari jalan memporak-perandakan negara.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment