Monday, 25 March 2013

Prestasi Najib pikat pengundi


Kuala Lumpur: Prestasi kepemimpinan dan rekod tadbir urus baik menjadi kayu ukur untuk rakyat memberi mandat kepada Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar, berkata Perdana Menteri sudah membuktikan kebolehan dan kecekapannya sepanjang berkhidmat dalam beberapa portfolio Kabinet hingga kini.

Chandra juga mengulangi pendiriannya pada 2008, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, negara akan ditimpa malapetaka.

“Anwar hanya mengikut telunjuk kumpulan tertentu, terutama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan sahabat akrabnya Paul Wolfowitz (bekas Presiden Bank Dunia), dan secara halus akan menyemai dasar ekonomi, keselamatan untuk memenuhi agenda golongan itu yang mahu menguasai dunia.

Talam dua muka

“Beliau juga bersikap talam dua muka. Saya tidak bersetuju dengan cara beliau mempermainkan isu apabila memikat kaum berlainan melalui janji berbeza.

“Bagi saya, lebih adil menilai Najib dan Anwar menggunakan kayu ukur sama, iaitu rekod kepemimpinan mereka dalam pentadbiran kerajaan. Prestasi Najib terbukti jauh lebih baik dengan membawa banyak transformasi sebagai Perdana Menteri selain ketika menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pertahanan.
“Anwar jelas bukan seorang menteri berkebolehan, termasuk pernah mencetuskan krisis di sekolah Cina ketika menjadi Menteri Pendidikan. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pula, beliau hampir meranapkan ekonomi negara ketika krisis kewangan 1997,” katanya kepada BH, semalam.

Anwar tak sesuai

Beliau mengulas pandangan Tun Daim Zainuddin dalam temu ramah disiarkan BH Ahad dan New Sunday Times, semalam, yang berpendapat Najib lebih layak memenangi PRU-13 kerana beranggapan Anwar bukan calon sesuai menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, berkata Anwar gagal dalam ujian terbesar menangani krisis ekonomi 1997 yang menyaksikannya membuat keputusan populis dengan membodek rakan asingnya dan bukan demi kepentingan negara.

“Mujur Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu bertindak pantas menyelamatkan negara daripada menjadi muflis dengan menolak keputusan Anwar. Anwar yang membelakangkan negara, tidak sesuai menjadi Perdana Menteri. Kenyataan Daim adalah fakta dan tepat.

“Najib pula sensitif terhadap masalah rakyat dan serius mahu memperbaiki kelemahan dengan melaksanakan pelbagai transformasi. Seorang yang menyedari kelemahan dan membetulkannya adalah pemimpin baik serta berani,” katanya.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Zainal Kling, berpendapat Anwar pemimpin berkepentingan peribadi dan egosentrik.

“Satu lagi faktor amat penting berkaitan Anwar ialah isu etika dan moral, iaitu aspek yang amat diberi penekanan dalam budaya politik negara ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment