Thursday, 28 March 2013

Dr Hasan ke Parlimen atau DUN?


PRU 13 : NEGERI ATAU PARLIMEN?
 


Hampir setiap hari saya dihujani dengan pertanyaan samada saya bertanding dalam PRU ke 13 dan kalau bertanding di mana dan atas tiket apa.

Pertanyaan sedemikian bukan sahaja datangnya daripada pengamal media tetapi juga dari kalangan ahli-ahli politik BN dan Pakatan Rakyat serta sahabat-sahabat dan orang ramai  yang ingin mengetahui  arahtuju kerjaya politik saya.

Saya tersentuh dengan darjah kepedulian mereka yang terlibat. Barulah saya memahami sebenarnya nilai politik seseorang daripada kacamata mereka yang sering mengikuti perkembangan politik tanahair.

Sebenarnya banyak cadangan dikemukakan kepada saya khususnya mereka yang ingin melihat apa yang boleh saya sumbangkan kepada Negeri dan Negara yang selama ini dilihat bahawa saya berkecenderungan dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk terus mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja.

Sebahagiannya mencadangkan saya bertanding diperingkat Negeri dan tidak kurang pula yang ingin melihat saya berada diperingkat Parlimen seperti yang pernah saya lakukan dalam PRU ke 10. Bahkan terdapat gesaan supaya saya mengekalkan kerusi DUN Gombak Setia.

Ada juga dikalangan ahli politik termasuk beberapa pimpinan ulama PAS sendiri yang telah mencadangkan supaya saya turun ke kawasan Parlimen Shah Alam untuk bertanding di situ atas alasan-alasan tertentu.

Sehingga ini saya belum membuat keputusan akhir mengenai cadangan-cadangan yang diterima termasuk perancangan pilihan saya sendiri. Saya sedang meneliti situasi dan persekitaran politik samada Negeri atau Nasional. Di samping itu saya lebih selesa memilih pendekatan untuk terus mengalu-alukan input daripada berbagai pihak untuk membolehkan saya menjuruskan langkah akhir yang sepatutnya saya ambil dalam karier politik saya.

Mungkin dalam beberapa ketika terdekat ini sehingga pembubaran parlimen barulah dapat ditentukan opsyen yang paling munasabah buat diri saya dan perjuangan IMR – Islam Melayu dan Raja melalui JATI yang saya diminta menerajuinya.

Apapun yang penting bagi saya bukan Negeri atau Parlimen atau samada bertanding ataupun tidak. Bagi saya yang lebih fundamental daripada itu ialah untuk memastikan Pakatan Rakyat tidak diberi peluang oleh rakyat negeri ini untuk menerajui Malaysia dan mana-mana negeri lantaran prinsip perjuangan mereka yang merugikan Islam, Melayu dan Institusi Raja. Bagi saya mengundi Pakatan Rakyat bererti mengundang malapetaka buat generasi kini dan generasi pengganti yang akan datang.

Mengenai parti atau lambang apa saya harus gunakan , perkara inipun saya menerima  banyak  cadangan. Saya masih meneliti kebaikan keburukan bukan sahaja mengenai diri saya yang terlibat secara langsung malah berkait rapat dengan anggota keluarga, sahabat handai, rakan seperjuangan dan seluruh anggota masyarakat.

Diharap penjelasan ini dapat meredakan sedikit keinginan yang melonjak dikalangan mereka yang begitu perihatin untuk bersama-sama melihat kejayaan politik saya dan mesej IMR yang saya perjuangkan.

Seperti biasa sebagai insan yang kerdil mungkin saya hanya dapat merangka, merancang dan melaksanakan apa juga bakal keputusan yang dibuat tetapi seperti kelaziman seorang Muslim saya menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT.


DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
27 MAC 2013

Sumber Klik Sini

No comments:

Post a Comment