Kuala Lumpur: Penggunaan teknologi ‘Near Field
Communication’ (NFC), membolehkan umat Islam mengesan restoran yang memiliki
sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui telefon pintar.
Teknologi NFC melalui aplikasi ‘Halal Square’ dan rangkaian
sosial ‘Halal Inside’ bukan saja membolehkan pengguna mengesan restoran di
negara ini yang memiliki sijil halal, malah turut mampu mengenal pasti premis
makanan halal di 58 negara luar yang bekerjasama dengan JAKIM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, berkata penggunaan aplikasi itu yang membolehkan pengesanan awal
dilakukan melalui telefon pintar dari sejauh 500 meter, juga mampu mengesan
sebarang penipuan membabitkan sijil halal kerana pengguna boleh melakukan
semakan melalui teknologi terbabit.
Beliau berkata, kaedah baru itu selaras perkembangan masa
kini di mana orang ramai menggunakan pelbagai gajet termasuk telefon pintar
bagi mendapatkan maklumat.
Pacu perkembangan industri halal
“Melalui aplikasi ini, pengguna telefon pintar akan mendapat
isyarat melalui getaran pada telefon bimbit apabila berada kira-kira 500 meter
dari premis makanan yang mempunyai pensijilan halal JAKIM. Saya yakin ia mampu
memacu perkembangan industri halal ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Jamil Khir berkata demikian ketika ditemui selepas
merasmikan Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal
Malaysia berasaskan penggunaan teknologi NFC-Halal Square dan Halal Inside yang
dibangunkan bersama JAKIM dan Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd
(My-MS), di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dan
Ketua Pegawai Eksekutif My-MS, Shafiq Akmal Ismail.
Sementara itu, Shafiq berkata, teknologi NFC adalah satu
sambungan atau komunikasi dua peranti dengan menyentuh satu sama lain atau
mendekatkan pada jarak tertentu dan kini diguna pakai di luar negara termasuk
oleh syarikat terkemuka seperti Starbuck dan Citibank.
Katanya, melalui teknologi pintar itu, jika ada salah guna
sijil halal JAKIM, maklumatnya akan terus disalurkan kepada jabatan berkenaan
untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment