AKHIRNYA pertarungan 'hidup dan mati' Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bermula apabila Parlimen dibubarkan genap empat tahun selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju pimpinan negara.
Detik ini sebenarnya sudah lama dinanti-nantikan, bukan sahaja dalam kalangan penyokong tegar mahupun yang taksub parti politik tertentu, malahan dalam kalangan rakyat jelata sendiri.
Zaman pasca PRU pada 2008 menyaksikan lima tahun hidup rakyat dibebani 'kempen politik' setiap hari dengan semua isu dan perkara harian dijadikan modal politik khususnya dalam kalangan mereka yang mahu merebut kuasa.
Rakyat yang majoritinya pengundi atas pagar terus bersabar selama ini dengan pelbagai kerenah parti dan orang politik, dalam diam menilai dan memerhati setiap perbuatan dan percakapan mereka.
Walaupun ada orang politik yang menganggap kumpulan pengundi atas pagar ini mudah dipengaruhi, rata-rata rakyat masih menggunakan akal yang waras dalam menilai semua aspek untuk memilih wakil rakyat mereka, bukan hanya mendengar omong dan janji kosong.
Kini, rakyat sekali lagi mendukung tanggungjawab memilih kepimpinan negara dengan melantik suara rasmi mereka di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi memastikan kelangsungan bumi bertuah Malaysia sehingga ke anak cucu mereka kelak.
Bagi pemerhati politik, Mohamad Faisol Keling, rakyat perlu menggunakan ruang memilih wakil rakyat mereka sebaik mungkin agar kemakmuran dan keamanan negara dapat dikekalkan.
"Janganlah terpengaruh dengan dakyah dan janji manis golongan tertentu yang belum tentu dapat ditunaikan.
"Amat malang jika mengambil risiko keruntuhan dengan tindakan kita sendiri. Lihat sahaja contoh di Asia Barat sebagai teladan untuk menilai hala tuju kita ke hadapan," katanya.
Tegasnya, risiko pilihan rakyat itu juga menyebabkan kemakmuran boleh runtuh dalam sekelip mata sahaja seperti masalah rakyat di Asia Barat yang masih belum selesai sehingga kini.
Beliau juga mengingatkan masyarakat Islam memilih berlandaskan Islam agar melindungi kesucian Islam dan mengelak agama diperkotak katik sesiapa sekalipun.
Mengambil contoh pembangunan institusi Islam yang berterusan sejak negara merdeka, beliau meminta rakyat melihat bagaimana Islam tidak pernah terabai di bawah kepimpinan negara selama ini.
"Selain agama, kerajaan juga menjaga pembangunan masyarakat tanpa mengira bangsa dan kerana itulah kemakmuran dapat dinikmati semua rakyat selama ini.
"Orang bukan Islam juga tidak ditindas dasar-dasar yang dilaksanakan kerana kerajaan mahukan semua merasai kemakmuran di negara ini," katanya.
Beliau mengambil contoh perkongsian kuasa, melindungi hak dan mengambil kira pandangan semua kaum di samping menjaga kebebasan beragama orang bukan Islam serta pembangunan setara dalam aspek pendidikan dan sosial.
Mohamad Faisol berharap rakyat melihat secara positif kebaikan yang dilakukan kerajaan kepada segenap anggota masyarakat selama ini kerana sukar untuk membina sebuah negara seperti Malaysia tetapi amatlah mudah untuk meruntuhkannya.
"Kerjasama sejak 1957 perlu menjadi kayu ukur keikhlasan kerajaan membangunkan negara yang berbilang kaum ini.
"Malaysia majmuk berbilang bangsa tetapi rakyatnya hidup makmur dan tiada masalah pembersihan etnik, pengabaian dan sebagainya berbanding negara lain," jelasnya.
Oleh itu tegasnya, perlu ada rasa syukur dilahirkan dan hidup di negara yang aman makmur seperti Malaysia kerana jika tidak bersyukur, semuanya akan nampak tidak baik dan banyak kekurangan.
Beliau turut menasihatkan mereka yang berterusan tidak berpuas hati dan gemar menyalahkan orang agar melihat sama ada rakyat di negara-negara lain seperti Myanmar, Indonesia dan sebagainya menikmati kemakmuran bersama seperti di bumi Malaysia.
Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling turut menasihatkan pengundi atas pagar agar tidak memilih mengikut emosi akibat fitnah dan tohmahan tanpa fakta pihak tertentu bagi menjaga kemakmuran dan kemananan negara kelak.
"Penyokong parti dah tetap, yang tegar dan taksub lagilah tidak boleh ubah. Namun, pengundi atas pagar perlu faham rasional pembangunan dan kebajikan yang disampaikan kerajaan.
"Jika tersalah pilih kerana menerima janji mentah, kita juga yang akhirnya akan terlibat dalam suasana kacau bilau," katanya.
Mengambil contoh Selangor dan Pulau Pinang, beliau menjelaskan keinginan pembangkang membuat perubahan radikal menyebabkan masalah timbul hampir setiap hari. Tambahnya, perbuatan memainkan emosi rakyat itu demi kepentingan politik sahaja dan bukan untuk kemakmuran rakyat jelata.
"Maka, jadilah pemerintahan kuku besi, sampaikan kebebasan media pun tiada. Halang tugas petugas media sedangkan dahulu kata mahu media bebas. Pengundi perlu lihat semua aspek ini, jangan lihat tohmahan dan fitnah sahaja.
"Orang menuduh tanpa fakta tetapi kerajaan sudah dedahkan fakta sebenar. Kita mahu lihat rakyat berakal dan rasional dalam meneruskan pembangunan pesat negara ini demi generasi akan datang," ujarnya.
Beliau juga menganggap pilihan Najib membubarkan Parlimen selepas empat tahun menjalankan tugas Perdana Menteri kena pada masanya kerana telah menunjukkan keupayaan, kemampuan dan kekuatannya mentadbir negara.
"Sepanjang empat tahun, bermacam program pembangunan dan transformasi telah dilaksanakan, diterima baik bukan sahaja di dalam malahan di luar negara.
"Berbilion pelaburan masuk sementara berbilion dana disalur ke Sabah dan Sarawak bagi memastikan semua rakyat di sana terlibat dengan pembangunan nasional," jelasnya.
Tambahnya, Najib telah laksanakan demokrasi ikut serta (participative democracy), mengajak belia, wanita dan semua etnik turut serta melalui pertemuan dan program interaksi yang dilaksanakan selama ini.
Zainal turut yakin MCA dan MIC turut menerima kesan positif projek-projek yang dijalankan itu yang rata-rata telah menampakkan hasilnya dengan jangkaan banyak hasil lebih baik dalam tahun-tahun berikutnya.
"Pencapaian empat tahun di bawah pemerintahan Najib lebih baik daripada apa yang dijanjikan pembangkang, lebih daripada hanya sebut di mulut tetapi tidak berbuat apa-apa.
"Jika mahu dicanang janji 'negara berkebajikan', Najib juga sudah banyak membantu rakyat dalam segala segi di bawah jenama 1Malaysia," tegasnya.
Tambah beliau, secara peribadi juga Najib utuh dan bersih, tiada' beli membeli' orang, tidak terlibat dengan kecelaan sehingga masuk mahkamah walaupun sering difitnah pihak lawan.
"Semua faktor ini memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus memberi mandat kepada Najib mentadbir negara kelak," katanya.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment