Barisan Nasional Kedah komited mendekati rakyat secara ofensif bagi memastikan misi "Save Kedah" direalisasikan pada PRU-13 ini. 5 tahun pentadbiran Kerajaan PR di Kedah gagal memberikan apa-apa impak namun dibebani dengan pelbagai masalah umpamanya isu KUIN, pembalakan kawasan hutan simpan, kenaikan tarif air dan kesukaran rakyat bumiputera menembusi tender projek.
Meniti saat-saat semboyan PRU13 dibunyikan, PR Kedah ketika ini sedang berdepan dengan masalah persefahaman dan pertelagahan kronik berkenaan pertindihan tuntutan kerusi DUN mahupun Parlimen. Memeranjatkan, bukan sekadar berlaku perbalahan dalaman PAS Kedah, tetapi pertelagahan 3 penjuru antara PAS v DAP v PKR.
PAS Kedah Bergolak
Umum sudah maklum tentang konflik berpanjangan antara MB Kedah, Ustaz Azizan dan Timbalan Pesuruhajaya 1 PAS Kedah, Ir Phahrolrazi. Menghampiri PRU-13, puak-puak penyokong dilihat melobi untuk memastikan pengaruh mereka masih kuat dan difahamkan untuk 'menjatuhkan' Ustaz Azizan yang tetap bertegas untuk bertanding. Dikhabarkan ketika ini, pelobian pengaruh antara puak penyokong kedua-dua tokoh meruncing di beberapa kawasan DUN umpamanya di Alor Mengkudu, Pengkalan Kundur dan beberapa DUN di Alor Setar dan Kuala Kedah. Perkembangan semasa ini pasti meningkatkan kebarangkalian berlakunya sabotaj dan protes sesama ahli PAS di Kedah.
PKR, DAP Tunjuk Hebat
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dengan lagak kebiasaannya mengumumkan calon kerusi Parlimen Alor Setar dan Padang Serai adalah milik wakil PKR. Pengumuman ini mendapat reaksi negatif dari Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik bahawa calon-calon dari PKR adalah tidak sah. Ini kerana kedua-dua kerusi tersebut dituntut keras oleh DAP Kedah. Begitu juga, di DUN Derga, Gurun, Bakar Arang dan Lunas, dikatakan sesama PKR dan DAP bertindih tuntutan. Akibatnya, DAP dengan lantang menyatakan tidak akan teragak-agak untuk meletakkan calon mereka dan bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru antara DAP-PKR-BN.
PKR Buat Masalah Lagi
Jentera PAS dan DAP di Kedah sudah 'lali' dengan kelemahan jentera PKR Kedah. Secara asasnya, PKR Kedah tidak banyak membantu pentadbiran PAS dan dianggap oleh pihak akar umbi sebagai lemah dalam aspek jentera pilihanrayanya. Namun, di sebalik kelemahan PKR ini, dalam bab mengumumkan calon dan merebut kerusi di Kedah, kelompok mereka adalah yang terawal. Pada ketika, DAP Kedah masih menunggu kata putus pimpinan tertinggi, begitu juga kenyataan MB Kedah bahawa calon PAS hanya diumumkan selepas Dewan Rakyat bubar, datang Anwar Ibrahim dengan yakin melaungkan nama-nama calon PKR pada kerusi yang menjadi rebutan.Tidak cukup dengan penyebaran di media maya tentang pergaduhan antara penyokong calon PAS dan PKR di kawasan Alor Semadom.
Kemelut meruncing yang berlaku sesama kelompok PR Kedah seharusnya dijadikan iktibar rakyat 1Malaysia, terutamanya di Kedah. Rakyat wajar menilai ;
1) Apa makna 'Kerajaan Pakatan' ini? Heboh menjaja betapa kuatnya 'kesepakatan' mereka namun isu pertelagahan melibatkan pertindihan kerusi dan 'menjatuh-melobi' pengaruh cukup kritikal membelenggu 'pakatan' mereka. Padanlah 5 tahun pentadbiran berdepan pelbagai isu, hendak membahagi kerusi pun cukup lemah.
2) Kenapa teruja mereka berebut? Masing-masing sedang selesa dengan pengaruh dan mahu bertaruh kuasa serta menunjuk kehebatan sesama mereka. Akibatnya, lebih elok berbalah. Rakyat sekalian, kelompok sebegini yang sedang alpa dalam kuasa seeloknya diberikan pengajaran.
Sahabat di Kedah,
5 tahun tempoh panjang sudah melalaikan pimpinan dan jentera PR Kedah di pundak kuasa dan pengaruh.
5 tahun tempoh panjang sudah mematangkan rakyat penduduk Kedah melakukan penilaian sebaik-baiknya.
5 tahun mendatang, demi masa hadapan pada sebuah negeri berpotensi tinggi, pimpinan BN semestinya Pilihan Rakyat Kedah.
Dedikasi buat PR Kedah, Terima Kasih kerana 'konflik kalian' membantu menjayakan Misi "Save Kedah" !
Oleh:hulubalangKANAN
No comments:
Post a Comment