Saturday, 6 April 2013

Jangan terlalu ghairah lobi jadi calon PRU!


SELEPAS Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kini masyarakat ghairah memperkatakan pula tentang calon.

Siapakah yang akan dicalonkan bagi kerusi Parlimen dan siapa ke DUN atau kedua-duanya. Itulah yang hangat dibual dan dianalisis.

Selagi senarai penuh nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) belum diumumkan, selagi itulah masyarakat akan bermain teka-teki.

Bagi parti pakatan pembangkang seperti PKR, DAP dan Pas mungkin tidak sukar mencari calon-calon untuk diketengahkan. Sesiapa pun boleh menjadi calonnya.

Sepanjang lima tahun lalu, kita sudah melihat prestasi wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang. Baik yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi menggunung ataupun sekadar orang biasa, mereka gagal menunjukkan perkhidmatan sebagaimana yang diharapkan oleh pengundi.

Sebab itu soal calon daripada pakatan pembangkang kurang mendapat perhatian berbanding dengan kehangatan membicarakan siapa yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN).

Yang menjadi masalah dan isu besar setiap kali PRU ialah mencari calon-calon untuk mewakili BN. Parti yang menjadi tulang belakang Kerajaan Persekutuan sejak merdeka ini mempunyai calon-calon yang sudah dipupuk dan dibina ciri-ciri kepemimpinannya.

Sebab itu semua pihak yang berjawatan dalam parti UMNO mahupun parti komponen BN yang lain berasakan mereka layak menjadi calon.

Sekarang BN kena mencari 727 nama calon. Biasanya BN mengetengahkan seorang sahaja calon untuk satu kerusi sama ada Parlimen atau DUN. Tidak menjadi amalan BN seperti pakatan pembangkang yang meletakkan seorang calon bertanding untuk dua kerusi sekali gus.

Penegasan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak akan ada kejutan dalam pemilihan calon dan pengagihan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN, mendorong semangat sesetengah pihak untuk terus melobi.

Ada yang sanggup hantar wakil atau diri sendiri terbang ke Kuala Lumpur untuk bertemu Najib setelah mengetahui nama mereka ‘tercicir’ daripada senarai calon.

Ada yang marah-marah mendakwa mereka sudah banyak berkorban, jadi apa salah kali ini mereka diberikan peluang. Ada juga pemimpin rela melepas satu kerusi DUN yang diperuntukkan kepadanya asalkan dipertimbangkan untuk kerusi Parlimen.

Ada juga kumpulan yang sedikit hampa apabila permintaan untuk mengetengahkan wakil mereka sebagai calon dicantas oleh pemimpin negeri.

Cerita bahagian-bahagian yang awal-awal lagi sudah memberitahu mereka akan menolak calon payung terjun menghangatkan senario menjelang pengumuman senarai nama calon yang bertanding PRU-13.

Sebab itu ada bahagian yang secara terbuka memberitahu mereka hanya dapat memastikan semua bilik gerakan parti akan dibuka, tetapi tidak menjamin kaum majoriti di kawasannya akan keluar mengundi calon payung terjun itu.

Maknanya kumpulan pemimpin kecewa ini awal-awal lagi ‘mengancam’ bahawa mereka tidak akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon payung terjun parti.

Suasana kurang enak ini berlaku kerana faktor kaum walaupun calon itu daripada parti komponen BN. Alasan mereka, selepas menang bertanding, biasanya calon daripada kaum lain itu kurang memberi perhatian dalam aspek kebajikan serta pembangunan sosio ekonomi dan politik majoriti penduduk kawasan berkenaan.

Jadi atas nama ‘keadilan’ mereka menuntut kerusi itu diberikan kepada kaum majoriti kawasan berkenaan. Sesungguhnya masalah agihan kerusi mengikut kaum turut berlaku dalam pakatan pembangkang. Hal ini adalah lumrah.

Ada juga calon berkelulusan tinggi dan berjawatan hebat tetapi apabila dinilai dari segi perkhidmatan kepada masyarakat, amat mengecewakan. Hal ini lebih tertera pada wakil rakyat pembangkang. Mereka hanya mahukan kuasa politik. Sebab itu budaya berpindah dan lompat ke kawasan lain menjadi amalan mereka.

Hakikat yang patut disedari oleh beribu-ribu pemimpin parti peringkat negeri, bahagian dan cawangan komponen BN ialah cuma ada 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN sahaja. Bermakna hanya 727 calon akan dipilih untuk bertanding daripada jumlah besar yang layak menjadi calon.

Kemuncak penglibatan seseorang ahli politik bukanlah semata-mata mendapatkan gelaran Yang Berhormat kerana ada banyak lagi saluran jika ingin berbakti kepada masyarakat. Kadang-kadang pelik melihat perangai pemimpin politik yang ghairah mahu menjadi calon. Tak tahulah jika ada ‘habuan’ yang lebih besar apabila dipilih menjadi wakil rakyat.

Ingatlah, jika pemimpin tidak terpilih sebagai calon, tetapi terus berusaha membantu memastikan kemenangan calon partinya, mereka pun boleh dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran atau Daerah kalau tidak berpeluang diangkat menjadi Senator.

Sebenarnya banyak lagi jawatan lain yang tersedia asalkan mereka memastikan kemenangan parti hingga berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Inilah misi utama kenapa mereka perlu mengutamakan kemenangan parti dalam PRU-13.

Gagal menjadi calon PRU kali ini bukan bermakna tertutup sudah pintu untuk pemimpin menabur khidmat bakti kepada masyarakat. Jika itulah matlamat mereka!

Selamat berkempen.

Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment