Wednesday, 3 April 2013

Akhirnya Pembangkang Akur


DUN bubar serentak

Empat negeri pembangkang ikut keputusan Kerajaan Pusat

Kuala Lumpur: Empat negeri pembangkang sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan Parlimen. 

Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor bersedia berbuat demikian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen yang dikatakan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam mengesahkan akan mengikuti langkah Najib dalam menentukan pembubaran DUN Kedah.

Kita sudah bersedia 

“Kita sudah bersedia menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Kita akan ikut keputusan terdahulu yang kita buat dan tunggu sajalah hari mengundi nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, sebelum ini menyatakan tidak akan mengadakan pilihan raya berasingan dengan Kerajaan Pusat kerana akan menyebabkan banyak kesulitan. 
Beliau juga berkata, PAS dan rakan dalam pakatan pembangkang di Kedah mampu menghadapi PRU Ke-13 pada bila-bila masa.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga mengesahkan kerajaan PAS Kelantan akan mengikut langkah Kerajaan Persekutuan dan PAS negeri sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa jika Parlimen dibubarkan hari ini.

Boleh jimatkan wang

“Kita sudah lama bersedia. Malah, masalah berkaitan calon boleh dikatakan selesai, tiada sebarang masalah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Kota Darulnaim.

Nik Aziz sebelum ini pernah menegaskan bahawa Kelantan lebih selesa membubarkan DUN mengikut Parlimen kerana dapat menjimatkan wang rakyat.

“Saya sudah buat kenyataan ini dulu dan akan bubar DUN secara serentak bagi mengelak perbelanjaan besar dan terlalu menjadi tumpuan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, Kerajaan Selangor akan membubarkan DUN serentak jika Najib membubarkan Parlimen sebelum 22 April.

Katanya, ini selaras dengan keputusan sebelum ini untuk membubarkan DUN pada 22 April jika Najib tidak berbuat demikian sebelum tarikh berkenaan.
Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain pula berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman pembubaran Parlimen pada bila-bila masa.

“Kita sudah bersedia. Kita ikut bubar jika Parlimen dibubar.. itu pun kalau esok (hari ini). Selama ini, semua pihak hanya menunggu tarikh pembubaran kerana DUN Pulau Pinang akan tamat tempoh pada 2 Mei depan,” katanya ketika dihubungi.

“Jika bubar, kita bubar sajalah.... saya tidak mahu beri komen lebih... jika nak tanya apa-apa, rujuk Ketua Menteri,” katanya ketika dihubungi.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment