Wednesday, 3 April 2013

Bahang menjadi calon semakin terasa


SEJAK Selasa lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN negeri dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Pertemuan itu bertujuan bagi membincangkan senarai calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketika pertemuan di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berlangsung suasana penuh ketenangan di peringkat bahagian-bahagian pula senario berbeza.

Difahamkan di sesetengah negeri sudah ada ketua bahagian dan pemimpin tertentu yang berada bagai cacing kepanasan, mereka terlalu mengharapkan menjadi calon biar pun hakikatnya sudah ditolak oleh rakyat.

Seorang ahli UMNO yang disebut-sebut bakal bertanding kerusi Parlimen di sebuah kawasan di utara telah dipanggil oleh ketua bahagian UMNO di kawasan berkenaan.

Di hadapan penyokong-penyokong ahli UMNO itu, beliau telah dikecam oleh ketua bahagian tersebut dengan pelbagai tuduhan termasuklah dianggap tidak layak bertanding kerana tidak setaraf dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim.

‘‘Saya rasa terhina kerana sepatutnya dia cermin diri dia dulu apakah dia layak untuk bertanding sedangkan dia hanya muncul apabila pilihan raya hendak diadakan,’’ kata ahli UMNO itu ketika menghubungi penulis meluahkan perasaannya.

Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian namun ahli UMNO ini yang juga seorang ahli perniagaan begitu aktif membantu penduduk kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.

Sebagai anak tempatan, ahli UMNO ini tidak mahu melihat kawasan kelahirannya ketinggalan berbanding kawasan lain, sebab itulah beliau sedia menabur bakti.

Mungkin merasakan kedudukannya semakin tergugat berikutan populariti ahli UMNO ini maka ketua bahagian tersebut ‘melancarkan serangan’ seumpama itu.

Penulis diberitahu oleh sumber beberapa agensi, kalau ketua bahagian berkenaan bertanding di kawasan itu, beliau pasti akan kalah kerana rakyat telah menolaknya.

‘‘Tambahan pula beliau jarang sekali berada di kawasan hanya baru-baru ini sahaja muncul semula kerana pilihan raya sudah dekat.

‘‘Kalau beliau dipilih sudah pastilah ini tidak adil kepada individu-individu lain termasuk ahli UMNO berkenaan yang telah bekerja mendampingi rakyat bagi memulihkan keyakinan kepada Barisan Nasional sejak berbelas-belas tahun lagi,’’ kata satu sumber agensi kepada penulis.

Apa yang dipaparkan hanya contoh kecil bagaimana masih ada ketua bahagian yang merasakan hanya mereka sahaja yang layak atau calon boleh menang. Sedangkan semua orang tahu sesetengah ketua bahagian kalau diumumkan nama pun sudah kalah.

Bagaimanapun menurut sumber, kali ini pucuk pimpinan parti benar-benar bertegas dalam soal pemilihan calon, mana-mana pemimpin di peringkat bahagian yang difikirkan hanya mengundang kekalahan kepada parti kalau bertanding tidak akan dicalonkan.

‘‘Pucuk pimpinan terpaksa mengambil risiko termasuk mungkin berlakunya sabotaj atau cah keting tetapi pucuk pimpinan tidak ada pilihan kerana PRU-13 adalah penentu kepada survival bangsa, agama dan negara.

‘‘Apa yang penting, calon itu diterima oleh rakyat kerana yang akan mengundi bukan orang UMNO atau BN sahaja tetapi pengundi atas pagar,’’ kata satu sumber kepada penulis.

Justeru sumber itu berkata, adalah wajar jika pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian yang tidak terpilih bersikap terbuka dalam soal ini. Begitu juga mereka yang pernah tewas atau menang tipis dalam pilihan raya umum lalu.

‘‘Kalau nama tidak disenaraikan janganlah kecewa sangat, kalau betul berjuang untuk parti dan bukan kepentingan peribadi maka akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan.

‘‘Tidak perlu mengamuk atau melakukan tindak balas yang bukan-bukan, buat apa kalau bertanding jika parti kalah, soal kita calon boleh menang atau tidak bukan kita yang tentukan tetapi rakyat,’’ kata sumber itu lagi.

Apa pun sumber itu percaya pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan yang sebaik-baiknya terutama dalam memastikan lebih ramai muka baru ditonjolkan sebagai calon dalam pilihan raya kali ini.

‘‘Senario politik sudah berubah, kita tidak boleh bergantung kepada muka-muka lama yang ada sesetengahnya rakyat di kawasannya sudah muak melihatnya.

‘‘Mereka mahu melihat calon muka baru terutama di negeri-negeri yang dianggap kritikal seperti di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

‘‘Tidak boleh lagi muka yang sama sahaja sedangkan rakyat sudah memberikan isyarat mereka dalam pilihan raya umum lalu dengan menolak pemimpin-pemimpin ini,’’ kata sumber itu lagi.

Sememangnya, untuk menentukan siapa yang bakal bertanding bukanlah satu tugas yang mudah, apatah lagi kalau ada pemimpin yang menganggap diri mereka ‘warlord’.

Namun begitu, ia tidak bermakna pucuk pimpinan perlu melayan nafsu politik kelompok seumpama itu yang tidak pernah berasa puas dengan apa yang mereka nikmati selama ini.

PRU-13 adalah amat penting untuk UMNO dan BN, berdasarkan tinjauan penulis di beberapa negeri sebelum ini adalah jelas sokongan rakyat kepada parti itu termasuk di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang semakin meningkat.

Kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa agensi jelas menunjukkan BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali negeri-negeri tersebut.

Namun seperti diduga senarai calon akan menjadi penentu utama sama ada sokongan rakyat itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi atau tidak.

‘‘Rakyat sedang menentukan siapa calon yang akan diletakkan oleh UMNO dan BN, kalau calon itu bersesuaian dengan kehendak mereka sudah pasti sokongan akan diberikan.

‘‘Jadi yang akan jadi penentu sama ada calon itu boleh menang atau tidak adalah rakyat. Sebab itulah dalam soal ini kepimpinan di peringkat negeri perlu memberikan laporan yang telus berhubung sesuatu calon.

‘‘Kalau seseorang pemimpin itu sememangnya sudah tidak sesuai lagi bertanding, maka gugurkan sahaja daripada senarai. Jangan kerana hendak menjaga hati, yang terkorban adalah parti,’’ kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis.

Justeru kepada sesetengah ketua bahagian termasuk yang bersedia melakukan tohmahan dan melakukan tekanan kepada pesaingnya untuk menjadi calon, cukup-cukuplah berpolitik.

Terimalah hakikat, belajar mencerminkan diri dan bersedia menerima kenyataan kalau sudah tidak lagi dikehendaki oleh rakyat.

Akurlah kepada apa juga keputusan pucuk pimpinan parti kerana sudah pasti keputusan yang dibuat bukan demi kepentingan individu berkenaan tetapi demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan negara.

Ia memandangkan PRU-13 adalah pertembungan antara BN dengan kelompok yang semakin rakus berkuasa. Janganlah keghairahan hendak menjadi calon menyebabkan kita juga akan dikategorikan seperti mereka!

No comments:

Post a Comment