Sunday 14 April 2013

Calon bukan Islam PAS bukan ancaman kepada BN: Mukhriz


SUNGAI PETANI: Strategi PAS yang mahu meletakkan calon bukan Islam bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukanlah satu ancaman besar kepada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ramai calon berwibawa. 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau melihat pendekatan yang digunakan PAS itu sebagai respons terhadap sekutu pakatan pembangkang iaitu DAP, yang mahu meletakkan calon Melayu. 
"DAP, juga mahu meletakkan calon Melayu (atas tiket DAP). Di Kedah, apabila DAP mahu letakkan calon Melayu, itu sedikit sebanyak menggugat kedudukan PAS, jadi mereka (PAS) letakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam di Johor (untuk bertanding atas tiket Pas). 


"Apa pun, kita tidak melihat ini sebagai satu ancaman besar, yang penting calon-calon BN itu orang yang berwibawa dan berpengalaman serta memang layak untuk pegang jawatan wakil rakyat. Kita sanggup berhadapan dengan sesiapa sekalipun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Rali Selamatkan Kedah - Pentas Pemuda Barisan Nasional di Uptown Sungai Petani, dekat sini, malam tadi. 

Semalam, PAS Johor mengumumkan untuk menampilkan dua calon bukan Melayu yang terdiri daripada anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk bertanding mewakili parti itu. 

Sementara itu, Mukhriz berkata, tindakan beberapa bekas jeneral tentera menyertai parti pembangkang dan mahu bertanding pada PRU13 menimbulkan macam-macam keraguan dan persoalan mengenai niat mereka. 

"Empat atau lima orang bekas tentera baru nak kenal Anwar (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan nak bela dia, tetapi lebih 40 pemimpin PKR yang keluar parti. Adakah kita nak percaya kepada bekas-bekas jeneral yang ada agenda peribadi ini?" katanya. 

Katanya bekas pegawai tentera yang melibatkan diri dalam politik, perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana dibimbangi mereka akan 'terlepas cakap' dan mendedahkan rahsia sulit mengenai keselamatan negara. 

Beliau berkata, sekiranya rahsia mengenai keselamatan negara didedahkan, ia bukanlah satu trend yang baik malah boleh membahayakan keadaan keselamatan negara. 

"Saya lihat kita belum boleh fahami apa kesan kepada negara kita apabila pakatan pembangkang sudah mula menggunakan bekas-bekas pegawai tinggi tentera sebagai wakil atau calon mereka dalam pilihan raya. Kadang-kadang mereka (bekas pegawai tentera) keluarkan kenyataan yang dianggap sebagai rahsia ketenteraan atau rahsia keselamatan negara yang sudah tentu akan digunakan oleh musuh-musuh kita di luar. 

"Keduanya, sebagai sebuah negara yang kerajaannya dipilih oleh rakyat, diwakili oleh orang awam, kita satu-satunya negara di Asean yang tidak mempunyai kerajaan military, jadi saya bimbang apa yang mereka cuba lakukan itu betul-betul mengubah sebuah negara yang aman sejahtera, yang kita nikmati selama ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment