Thursday 11 April 2013

Perlukah calon luar 'mendarat' di Putrajaya?


APABILA Pas beria-ria benar meletakkan salah seorang pemimpin kanannya untuk merampas kerusi Parlimen Putrajaya, ingatan penulis kembali sejenak 14 tahun lepas.

Waktu itu, Pas mahu lelong Putrajaya kepada raja-raja terkaya di seluruh dunia kalau Pas menang pilihan raya umum 1999. Tapi sekarang janji mahu melelong Putrajaya langsung tidak kedengaran. Apa yang didengar - kempen 'Road To Putrajaya'.

Suatu ketika Putrajaya dihina. Dan dianggap projek 'gajah putih' yang membazir dan tak menguntungkan rakyat.

Hari ini semua itu dalam lipatan sejarah. Semua kalangan kita, hatta pengikut pembangkang sekalipun pasti tergamam dan mengagumi Putrajaya ketika ini.

Dan apabila kelmarin, Pas memutuskan untuk 'mendaratkan' ADUN Salor, Datuk Husam Musa dari Kubang Kerian, Kelantan sebagai calon pembangkang, ramai di Putrajaya tercengang-cengang. Termangu-mangu mendengar berita itu.

Semacam orang dari planet luar yang didaratkan ke situ. Mengapa orang luar yang tidak pernah ada sekelumit pun benih jasanya kepada penduduk Putrajaya harus pula dialu-alukan kedatangannya?

Di Putrajaya ketika ini penghuninya 99 peratus bekerja dengan kerajaan. Populasi penduduk kira-kira 90,000 orang dengan 15,000 hingga 20,000 unit rumah diduduki.

Bagaimanapun daripada keseluruhan populasi, cuma 16,000 pengundi berdaftar.

Lokasi pusat pentadbiran persekutuan ini dikesan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui tinjauan di merata-rata kawasan terutama sekali di Pahang. Akhirnya ditemui kawasan di selatan Prang Besar dan dilancarkan pembukaannya pada 1995. Perkataan "Putra" dipilih sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Nama ini ditambah dengan perkataan "jaya" yang bermaksud "kecemerlangan".

Projek menyiapkan Putrajaya menelan belanja AS$$8.1 billion. Ia dibangunkan sebagai bandar metropolis seluas 14,800 hektar iaitu tiga per empat dari bandar Manhattan, New York.

Putrajaya diibaratkan seumpama sebuah Felda. Penghuninya datang daripada merata pelosok negara.

Cabaran yang dihadapi penyandang kerusinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam lima tahun ini ialah bagaimana hendak merapatkan hubungan dalam masyarakat.

Penghuni pada siangnya bekerja dan sebelah malam bersama keluarga. Cuma pada hujung minggu boleh bertemu.

Inilah cabaran kepada Tengku Adnan yang akhirnya berjaya diatasinya.

Dan selepas dua penggal menerajui kerusi Putrajaya, kelibat Setiausaha Agung Barisan Nasional itu sudah dikenali penduduk Putrajaya. Semua pengerusi surau dan yang mengetuai jawatankuasa penduduk adalah sahabatnya.

Pusat khidmat Ahli Parlimennya di Presint 15 atau Presint Diplomatik hampir setiap hari menjadi tumpuan penduduk. Mereka mengadu apa jua masalah, dari isu keluarga, peribadi sehinggalah masalah setempat.

Sebutlah apa yang tidak disediakan dari pusat khidmat Ahli Parlimen Putrajaya dalam sepenggal ini. Kad perubatan percuma untuk penduduk berumur 50 tahun ke atas, kemudahan van jenazah, sumbangan kecemerlangan pelajar sekolah rendah, menengah dan yang masuk universiti - semuanya ada di Presint 15.

Mengapa perlu calon luar di Putrajaya?

No comments:

Post a Comment