Thursday 11 April 2013

Khalid, Nurul Izzah, Tian Chua pertahan kerusi


KUALA LUMPUR 11 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua akan mempertahan kerusi Parlimen masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Abdul Khalid kekal bertanding di Bandar Tun Razak, Nurul Izzah di Lembah Pantai manakala Tian Chua di Batu.

Perkara itu diumum Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu ceramah di Bandar Tun Razak, Cheras malam tadi.

PKR turut menampilkan tiga muka baharu iaitu Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli yang akan bertanding di Parlimen Pandan, Dr. Tan Kee Kwong di Parlimen Wangsa Maju dan Ibrahim Tan Sri Yaacob di Parlimen Titiwangsa.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Wangsa Maju dimenangi Wee Choo Keong, yang merupakan anggota Malaysian Democratic Party, atas tiket PKR namun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai wakil Bebas pada 2010.

Kerusi Parlimen Titiwangsa pula dimenangi calon Pas, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali yang meninggal dunia pada 2011.

Sebelum ini Pas turut meletakkan calonnya,Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaim untuk mempertahankan kerusi Titiwangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment