Friday 12 April 2013

Rakyat Kelantan, berilah peluang kepada BN


SUDAH cukup 23 tahun Kelantan berada di bawah kepimpinan Pas, sudah cukup 23 tahun kita menyaksikan dan mendengar Membangun Bersama Islam hanya sekadar slogan.

Keadaan itulah yang memungkinkan Kelantan masih ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.

Tetapi kerajaan Pas Kelantan tidak pernah risau. Setiap kali pilihan raya umum berlangsung mereka sentiasa yakin akan mampu mempertahankan kekuasaan.

Segala-galanya kerana mereka percaya kepada pengaruh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Justeru itu kalau pun mereka tidak menunaikan janji dan lebih banyak beretorik berbanding bertindak, Pas Kelantan tidak pernah risau.

Namun persoalannya sampai bilakah rakyat Kelantan harus terus dibiarkan hidup dalam keadaan yang dilumuri pelbagai masalah?

Kelantan mempunyai potensi untuk menjadi negeri umat Islam termaju, Kelantan mempunyai keupayaan melahirkan modal insan yang hebat-hebat belaka dan Kelantan mampu menjadi sebuah negeri maju.

Bagaimanapun selagi negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut berada di bawah Pas, semua impian itu hanyalah sekadar impian.

Oleh itu masanya sudah tiba bagi rakyat Kelantan yang mahu berfikiran terbuka dan tidak terkongkong dengan fahaman politik sempit bangkit melakukan perubahan.

Usah terpengaruh dengan dakyah kononnya UMNO menolak Islam, usah terpedaya dengan hujah membawa malapetaka kepada umat Islam dan usah termakan dengan hasutan yang mengatakan UMNO meranapkan kerajaan Islam.

Sebaliknya fikirkanlah apakah yang dilakukan oleh kerajaan Pas Kelantan dalam mentadbir negeri itu bersesuaian dengan Islam?

Berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan hanya 'menjamah' slogan yang satu demi satu dicipta oleh Pas untuk mempertahankan kekuasaan mereka, dan sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan dibiarkan meneguk air keruh.

Kini harapan rakyat Kelantan untuk melakukan perubahan sudah terbentang luas apabila BN Kelantan muncul dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengubah landskap negeri itu dengan pelbagai pembangunan yang bakal menjadikan Kelantan membangun dan maju berpaksikan Islam.

Oleh itu berilah peluang kepada BN untuk membuktikan kemampuannya. Apa yang hendak dilakukan oleh BN bukan bermotifkan usaha merebut kuasa semata-mata seperti mana pembangkang yang kemaruk kuasa.

Tetapi melalui mandat yang diberikan oleh rakyat, Kelantan mampu diubah menjadi sebuah negeri yang benar-benar maju dalam pelbagai bidang.

Gelaran Kelantan Negeri Serambi Mekah mahu direalisasikan dengan pelbagai usaha memperkembangkan Islam dan bukan sekadar melalui tazkirah atau usrah pada setiap Jumaat sahaja.

Kuasa yang dituntut oleh BN bukannya boleh dipegang sehingga kiamat, jika dalam tempoh lima tahun diberi mandat dan BN gagal menunaikan janji maka tolaklah mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Namun buat masa ini, berilah peluang kepada BN kerana kita percaya dan yakin janji BN bukan sekadar janji tetapi janji ditepati.

BN tidak akan berdolak-dalih atau bersilat lidah dalam mencipta manifestonya tetapi apa yang dibentang dan dinyatakan adalah atas dasar kemampuan untuk melaksanakannya.

BN bukan seperti pakatan pembangkang menjanjikan bulan dan bintang semata-mata mahu meraih kuasa tetapi akhirnya rakyat terpedaya.

Justeru rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada BN membuktikan kemampuannya, mereka sudah saksikan apa yang BN boleh lakukan di negeri-negeri di bawah pemerintahan parti itu.

Oleh itu sambut tawaran BN Kelantan ini dengan hati terbuka dan fikiran yang penuh kematangan, percayalah mandat yang diberikan pasti tidak akan disia-siakan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment