Monday 15 April 2013

Bertanding di pentas politik baru


Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang akan bertanding di pentas politik Malaysia yang bercorak baru. Pentas politik baharu ini bukan saja mencabar tetapi menuntut pemikiran dan pendekatan baru daripada kedua-dua perikatan politik itu. Perikatan politik yang tidak berupaya memahami dan memenuhi keperluan ini akan menghadapi laluan yang sukar dan mungkin kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang. 

Sarjana serta penganalisis politik dan sosial sudah lama mengesan kemunculan pentas politik baru itu. Malah, istilah ‘politik baru’ yang dirujuk dalam banyak wacana politik semasa dibangunkan kerana perkembangannya memang unik dan tersendiri. Perbahasan mengenai persoalan politik baru ini dibincangkan sarjana bukan saja untuk keperluan latihan akademik tetapi juga membantu pelaku politik memahami pola perubahan yang berkembang di lapisan pemikiran dan sosial masyarakat agar mereka dapat melakukan perubahan sewajarnya dalam pendekatan dan gaya politik mereka. 
Perbincangan mengenai pengaruh proses globalisasi terhadap proses pembentukan sikap dan tanggapan politik tanah air sudah banyak dibahaskan. Globalisasi masyarakat dunia meliputi pelbagai aspek kehidupan, termasuk pemikiran mengenai kepentingan pendemokrasian masyarakat bagi tujuan pengupayaan peranan mereka dalam kehidupan kenegaraan yang kompleks hari ini. 


Proses globalisasi pemikiran 

Banyak karya di Timur dan Barat membincangkan proses globalisasi pemikiran dan nilai demokrasi ini. Malah, semangat pengamalan demokrasi sebagai wasilah bagi menghalang kelahiran kepimpinan yang bersifat autokratik dalam sesebuah negara dialu-alukan oleh ramai sarjana Muslim kontemporari. Sehinggakan perjuangan menegakkan amalan demokrasi dalam erti memberi peluang yang saksama dan adil kepada seluruh masyarakat digerakkan oleh perikatan politik yang berteraskan agama di sesetengah dunia Islam. 

Impak globalisasi mendorong penerimaan terhadap keberkesanan sistem dan amalan demokrasi sebagai wasilah bagi menjaga sebahagian besar dan hak seseorang warga negara kini diterima oleh sebahagian besar masyarakat dunia. Impak ini tidak terkecuali mempengaruhi minda dan tanggapan rakyat Malaysia secara keseluruhan. 

Dalam erti kata lain, globalisasi dilihat tidak sahaja sebagai sebuah fenomena sejarah dan zaman, tetapi prosesnya mengandungi nilai pengupayaan yang tersendiri terutama dalam mengangkat tahap kematangan masyarakat dalam menilai sesuatu persoalan berkaitan hal ehwal kenegaraan. Rakyat kini bertambah peka dan sedar mengenai peranan mereka dalam sistem kenegaraan serta menghargai nilai kuasa undi yang diberikan oleh sistem demokrasi bagi mereka menentukan arah dan kedudukan negara pada masa depan. 
Kemunculan demografi baru 

Di samping globalisasi, faktor kemunculan demografi baru dari sudut komposisi usia masyarakat juga dikesan antara proses yang membentuk realiti politik baru di negara kita. Misalnya, dalam PRU-13 nanti, lebih 46 peratus daripada pengundi adalah kalangan generasi muda. Citra pengundi daripada kelompok ini adalah pelbagai dan pola pengundian nanti bergantung kepada pendedahan pendidikan dan nilai kekeluargaan yang diperoleh dan diwarisi. 

Semua penganalisis tertunggu-tunggu PRU-13 kerana mereka ingin mengenal sikap politik sebenar kelompok pengundi baharu yang masih belum dapat ditentukan. Namun kecenderungan mereka untuk terbabit dalam proses pengundian didapati tinggi. Dalam satu data yang diperoleh, lebih 83 peratus daripada kelompok ini menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam PRU-13. 

Sejauh mana pentas politik baru ini bakal memberikan impak kepada masa depan politik dan BN dan pakatan pembangkang adalah persoalan yang menjadi tumpuan semua pihak. Apa juga keputusannya, kedua-dua pihak harus menerima hakikat perubahan tanggapan dan sikap masyarakat di pentas politik kemunculan demografi baru ini. 

Untuk itu, ahli politik harus berwaspada dalam mempamerkan pandangan, watak dan nilai politik sepanjang tempoh berkempen nanti. Kita menyarankan ahli politik supaya menumpu perbahasan bagi meyakinkan rakyat mengenai tawaran seperti dikemukakan menerusi manifesto masing-masing. Ia bagi membolehkan rakyat boleh melakukan perbandingan secara adil dan saksama sebelum mereka membuat pemilihan. Revolusi maklumat yang berkembang kini harus dimanfaatkan sepenuhnya. 

Perbuatan mengecam musuh politik secara peribadi secara tidak berakhlak atau percakapan yang boleh menghiris perasaan kaum atau agama lain hendaklah dijauhi. Perbuatan sebegini bukan lagi ramuan yang akan menjadi tarikan malah akan dicemuh oleh pengundi di pentas politik baru hari ini yang kian bertambah matang. 

Penulis Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment