Saturday 13 April 2013

Jangan taksub sangat dengan politik parti


Dulu, masa orang kita tak gila guna istilah bahasa Inggeris, kita kata ramalan. Sekarang dah jarang sangat orang guna istilah ramalan. Kebanyakan lebih suka guna spekulasi daripada bahasa Inggeris ‘speculation’. Sekarang musim spekulasi. Mula-mula spekulasi bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bubar Parlimen. Dia dah umum Parlimen bubar pada 3 April lalu. 

Lepas itu timbul pula spekulasi bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umum tarikh penamaan calon dan mengundi. Pada 10 April, SPR umum yang penamaan calon akan dibuat pada 20 April dan mengundi 5 Mei. Sekarang sibuklah pula buat spekulasi siapa akan dicalonkan dan siapa kena gugur. Siapa bertanding di mana dan lawan siapa. Siapa dipilih dan siapa akan kalah. Parti mana menang dan parti mana akan kalah. 

Kunta Kinte kata, buatlah ramalan dan buatlah spekulasi asalkan tak hilang akal, tak buat pertaruhan dan tak belanja duit susu anak kerana taksub kepada parti. Apatah lagi buat kacau dan buat jenayah. Tak salah kita sokong parti dan calon dan tak salah bantu parti dan calon dengan duit dan peluh, tapi kalau sampai tinggal anak bini dan lupa makan pakai mereka, Kunta Kinte kata tak patut dan dah masuk peringkat taksub. 

Kisah pilihan raya umum 

Kunta Kinte tahulah pilihan raya sekarang mahal. Semua berkehendakkan duit. Ada parti dan orang parti kalau tak ada duit kerja tak jalan. Tak dipilih jadi calon tutup pusat operasi dan campak bendera dalam parit. Ada pula parti dan orang parti yang sanggup bergolok-bergadai untuk menang pilihan raya. Masa Kunta Kinte budak-budak di kampung dulu, Kunta Kinte dengar orang tua cerita kisah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra jual tanah untuk belanja pilihan raya. 

Bukan Tunku saja, banyak lagi calon Perikatan masa itu bergolok-bergadai dan berhutang bila dilantik jadi calon sebab parti tak ada duit. Masa itu jugalah pemimpin akar umbi UMNO berebut-rebut tolak tawaran jadi calon. Ada yang tolak pasal rasa diri mereka tak layak. Ada yang tolak sebab tak ada duit dan tak ada pelajaran. 

Masa itu, jadi pemimpin adalah tanggungjawab dan amanah yang sangat berat. Jadi, banyaklah pemimpin akar umbi yang tak berani pikul amanah yang mereka anggap sangat berat. Masa Pilihan Raya Majlis Perundingan Tanah Melayu 1955, Kunta Kinte sudah ingat-ingat lupa. Masa itu Kunta Kinte sudah lapan tahun. Yang Kunta Kinte ingat, kapal layar lawan bulan bintang. Kapal layar Perikatan, bulan bintang PAS. 

Kemudian bila Pilihan Raya Umum Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 1959, Kunta Kinte lagilah ingat sebab sudah 12 tahun dan sudah dalam Darjah Lima sekolah Melayu. Kunta Kinte ingat lagi nenek Kunta Kinte kata dia mesti undi kapal layar pasal kapal layar parti anak Raja. PRU 1964 lagi hebat pasal seorang doktor muda dari Alor Setar yang namanya Dr Mahathir Mohamad datang bertanding di kampung Kunta Kinte dalam kerusi Parlimen Kota Setar Selatan. Dia dan isteri dia, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerap juga singgah rumah Kunta Kinte pasal Allahyarham ayah Kunta Kinte cergas dalam politik kampung. Dr Mahathir kalahkan calon PAS, Mohd Shaari Abdul Shukor, dengan majoriti 4,210 undi. Dr Mahathir dapat 12,406 undi dan Mohd Shaari 8,196. 

Kempen teriak PAS 

PRU 1969 lagi hangat. PAS hantar orang kuat dari Pulau Pinang, Yusuf Rawa, untuk lawan Dr Mahathir. Orang Cina entah pasal apa tak suka Dr Mahathir. Mereka undi PAS walaupun PAS dah mula kempen kata haram kerjasama dengan kafir. Mereka tak kata orang bukan Islam, mereka kata kafir. Dr Mahathir kalah dengan 989 undi. Dia dapat 12,032 undi dan Yusof dapat 13,021. Dr Mahathir tuduh Cina belot dan kena marah teruk dengan Tunku. 

Kemudian ada satu lagi kaedah kempen PAS yang dipanggil kempen teriak. Teriak dalam loghat Kedah ertinya menangis. Taktik ini digunakan oleh Muslimat PAS. Mereka pergi ke rumah orang yang mereka tahu atau syak sokong Perikatan. Mereka minta izin sembahyang kononnya untuk minta Allah ubah hati tuan rumah supaya sokong PAS dan ampunkan dosa mereka kerana berkawan dengan kafir. 

Kunta Kinte tahu sangat kempen ini pasal rumah Kunta Kinte jadi sasaran suku sakat Kunta Kinte yang dari dulu sampai hari ini penyokong tegar dan setia pada PAS. Tapi Allahyarham ayah Kunta Kinte cukup sabar dan dia kawan dengan semua orang tak kira parti. Jadi, bila dia meninggal dunia tiga tahun lalu, dua orang wakil rakyat datang ziarah kedua-duanya dari PAS. Dia pun kawan baik dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden PAS. Masa PAS dalam Barisan Nasional (1974-1977) ayah Kunta Kinte penyokong kuat Datuk Abu Bakar Umar, Ahli Parlimen BN Kota Setar dari PAS yang jadi Timbalan Menteri Kesihatan. 

Usah sampai hilang pertimbangan 

Satu lagi yang Kunta Kinte ingat ialah tempoh kempen yang panjang. Kempen pula boleh dibuat di mana-mana secara terbuka. Daripada PRU 1959 sampai 1969, tempoh kempen lebih 30 hari. Kalau tak silap Kunta Kinte 34 hari lebih kurang. Jadi, sebagai budak kampung dari sebuah keluarga yang cergas dalam politik dan lepas itu sebagai wartawan, boleh kata semua PRU Kunta Kinte tengok. Ada yang dari dekat dan ada yang dari jauh. Boleh kata sampai PRU 1999 Kunta Kinte terbabit. Lepas itu Kunta Kinte tengok dari jauh sebagai pemerhati saja – lebih bebas dan tak ada tekanan. 

Apa-apa pun, Kunta Kinte harap kita janganlah taksub sangat dengan politik parti sampai hilang pertimbangan, sanggup bergaduh dan buat kacau. Kalau kita betul-betul matang macam yang selalu Kunta Kinte dengar orang kata, kita wajiblah berpolitik secara terbuka, bertolak-ansur, berhemah dan aman damai. Insya-Allah kita selamat dan pilihan raya kita bermakna.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment