Saturday 13 April 2013

Kerjasama Melayu-Cina berakhir jika Kit Siang menang?



Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 12 April - Kerjasama pelbagai bidang antara masyarakat Melayu dan Cina di negara ini akan berakhir jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat Kit Siang akan membawa konflik dan permusuhan di antara kaum serta mengapi-apikan agar Cina membenci Melayu.
Menurut beliau, hubungan baik di antara kedua-dua kaum tersebut yang selama ini membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara, akan diganti dengan keadaan konfrontasi kaum yang tidak sihat.

Walaupun keadaan itu tidak akan membawa kepada insiden pertempuran ganas di antara kaum dan penganut agama berbeza seperti disaksikan di banyak negara luar, katanya, konfrontasi tersebut akan menganggu proses pembangunan Malaysia.

"Atas sebab ini, keputusan Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah akan menjadi tumpuan Pilihan Raya Umum Ke-13 di negara ini.

"Adakah DAP bakal mengakhiri persahabatan dan kerjasama Melayu-Cina di Johor atau adakah (konsep) 'kongsi' kekal menjadi asas hubungan kaum di Johor dan di Malaysia," katanya melalui entri terbaharu bertajuk 'Gelang Patah' di laman blognya www.chedet.cc hari ini.

Dr. Mahathir mengulas keputusan Kit Siang yang tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh Timur, bagi membolehkannya mencuba nasib di Gelang Patah pada PRU-13.

Beliau menjelaskan, keputusan Kit Siang bertanding di Gelang Patah adalah kerana komposisi kawasan tersebut yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Katanya, pemimpin pembangkang itu pasti akan memainkan sentimen bagi menimbulkan kebencian masyarakat Cina ke atas Melayu.

Menurut beliau, sejak DAP meneruskan agenda 'Malaysian Malaysia' daripada PAP, parti itu turut memperjuangkan konsep meritokrasi yang mengurangkan peluang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

"Ini akan menyebabkan orang Melayu menjadi semakin kurang berkelayakan dan miskin. Meritokrasi bukan tentang perkongsian tetapi untuk pemenang membolot semua (winners taking all)," katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment