Tuesday 23 April 2013

PRU-13: Kebolehan Ismail bertutur Tamil tarik perhatian


SUNGAI PETANI 23 April - Kebolehan berbahasa Tamil yang dimiliki calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Prof. Dr. Ismail Daut memudahkannya meraih sokongan semasa berkempen dan sesi pengenalan calon di kawasan komuniti masyarakat India di Jalan Kuala Ketil, dekat sini malam tadi.

Ismail yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, beliau menggunakan kebolehan berbahasa Tamil untuk meraih undi dan menjelaskan kebaikan mengundi BN.

"Masyarakat India kini yakin untuk memilih BN sebagai parti memerintah berdasarkan kepada sambutan dan sumbangan parti itu dalam menjaga kebajikan mereka selama ini," katanya.

Ismail memberitahu, beliau dilahirkan dan membesar dalam kawasan persekitaran komuniti India di Ladang Abu Bakar Estate, Bukit Selambau.

"Saya berasal dari keluarga miskin. Bapa saya merupakan penoreh getah, jadi saya tahu benar kesusahan terutama mereka yang tinggal di kawasan ladang," katanya.

Sementara itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, M.L. Maran berkata, masyarakat India amat mengagumi ketokohan Ismail.

"Selain boleh bertutur bahasa Tamil dengan baik, Dr. Ismail dapat mewujudkan semangat kekitaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat India," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment