Friday 12 April 2013

Pembangkang tandus isu raih simpati rakyat Melaka


SEJAK khabar angin mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan Jun tahun lalu, pakatan pembangkang tidak duduk diam dan bercita-cita tinggi ingin menawan Melaka.

Seperti mana kejayaan pembangkang merampas tampuk pemerintahan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak sekadar 11 bulan pada pilihan raya umum 2008, begitulah hajat menggunung mereka ingin merampas Melaka kali ini.

Berdasarkan rekod lalu, hanya DAP sahaja yang sering memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas pula sering berputih mata biarpun mereka adalah parti yang paling banyak bertanding di peringkat DUN.

Bagi DAP pula mereka mengharapkan Pas untuk meraih banyak kerusi DUN bagi melengkapkan dua pertiga kemenangan iaitu sekurang-kurangnya 18 kerusi untuk memerintah Melaka.

Tetapi hakikatnya sejak merdeka hingga kini walapun tsunami politik melanda pada 2008, Pas dilihat sukar menembusi benteng kuat orang Melayu yang setia pada UMNO hingga gagal memenangi sebarang kerusi.

Pun begitu, pada PRU-13 ini, Pas akan bertanding di 13 kerusi DUN, PKR tujuh dan DAP pula lapan kerusi. Itulah yang sering diumumkan dalam setiap ceramah mereka.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang di negeri ini masih bercelaru untuk memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding.

Jika melihat kehadiran penyokong pada setiap kali ceramah-ceramah yang diadakan di setiap pelosok Melaka, hakikatnya Pas ataupun PKR dilihat sukar menembusi benteng ampuh UMNO.

Bagi DAP pula, mereka hanya bertanding di kawasan yang majoritinya berbangsa Cina terutama melibatkan calon-calon BN dari MCA, Gerakan dan PPP.

Justeru, bagi pembangkang cara terbaik untuk memenangi hati rakyat di Melaka ialah melalui ceramah-ceramah dengan menabur fitnah selain menafikan pencapaian Melaka di bawah pentabdiran BN.

Mengikuti setiap ceramah pembangkang, mereka sekadar melaungkan cakap-cakap kosong dan cuba memperbodohkan rakyat Melaka yang hidup selesa dengan segala kemudahan serta limpahan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan.

Boleh dikatakan ceramah mereka sangat-sangat membosankan hingga ia menggambarkan pembangkang sudah ketandusan isu untuk memenangi hati rakyat.

Setiap ceramah pembangkang sama ada Pas, PKR atau DAP, lirik dan melodinya sama sejak Jun tahun lalu hingga sekarang. Ini kerana apa yang didendangkan di pentas ceramah berkisar perkara yang sama.

Isu-isu lapuk yang sering didendangkan pembangkang berkaitan apa sahaja produk pelancongan yang dibawa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, pastinya mereka mengatakan ia tidak menguntungkan selain ada projek dilabelkan sebagai 'gajah putih'.

Para pemimpin pembangkang di negeri ini nyata mahu menyembunyikan fakta betapa Melaka menjadi tumpuan pelancong setiap cuti hujung minggu dan cuti umum.

Golongan peniaga, pengusaha hotel, pemandu teksi, penarik beca, penjual cenderamata, restoran, kedai makan dan sebagainya tersenyum lebar dengan limpahan rezeki yang mereka nikmati ekoran limpahan pelancong dari dalam serta luar negara yang berkunjung ke Melaka.

Pembangkang lupa, rakyat bukan buta hati dan mata hingga ingin sanggup menelan apa sahaja tohmahan yang mereka lemparkan terhadap BN yang berjaya membangunkan Melaka. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment