Sunday 14 April 2013

Calon mesra pengundi lebih berpotensi menang


Anak tempatan berkebolehan patut jadi calon 

Suhu pilihan raya semakin meningkat dan semua orang berteka-teki siapa bakal dipilih, digugurkan dan dicalonkan semula. Menjelang hari penamaan calon Sabtu depan, pengundi mengharapkan calon terbaik bagi mewakili mereka untuk lima tahun akan datang. 

Pemilihan calon yang sesuai untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti. Bukan tidak ada kerusi yang terlepas kepada pihak lawan gara-gara pemilihan calon yang tidak tepat. Bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, antara kriteria penting ialah personaliti calon dan penerimaan rakyat. 


Dalam PRU-13, BN dijangka menggugurkan beberapa muka lama yang dianggap tidak lagi dapat memainkan peranan yang berkesan. Memang wajar untuk mereka kecewa. Itu lumrah manusia. Tetapi kekecewaan itu tidak harus sampai mensabotaj parti dan enggan memberi sokongan kepada calon dan jentera parti di peringkat akar umbi. 

Najib teliti pilih calon 

Jika ahli BN mahu memastikan kemenangan, mereka perlu akur kepada nasihat Najib agar tidak merajuk terlalu lama. Yang pasti, Najib mempunyai banyak saluran berwibawa untuk mendapatkan maklum balas mengenai calon, termasuk personaliti dan potensinya untuk menang. Penelitian yang mendalam terhadap semua kriteria membabitkan calon membuktikan keseriusan beliau untuk memastikan hanya calon yang terbaik dan mampu menang ditampilkan. Tentu beliau mahu rakyat memberi reaksi positif terhadap senarai calon yang diumumkannya dalam beberapa hari lagi. 

BN tentu tidak mahu mengambil risiko menampilkan calon yang tercalar peribadi dan tidak diterima rakyat sehingga kehilangan kerusi semata-mata menjaga hati individu terbabit. Biarlah calon yang ditampilkan dapat memberi nafas baru. Percayalah, jika calon menepati ciri-ciri tepat mampu menang, peluang mempertahankan kerusi dan merampas kembali kerusi yang BN kalah dalam PRU lalu amat cerah. 

Penulis percaya Najib menilai setiap calon dan wakil rakyat secara objektif berdasarkan komitmen mereka dan sokongan pengundi. Justeru, wakil rakyat sedia ada tidak perlu melobi menjadi calon semula kerana mereka berpotensi dipilih dan menang dalam pilihan raya jika memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan masing-masing. 

Satu daripada kriteria penting ialah kelayakan calon. Sesuai dengan tuntutan zaman dan keadaan, calon yang sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan ijazah pertama perlu dipilih. Ketokohan, daya kepemimpinan, berintegriti tinggi, berkebolehan, berpengalaman, mempunyai rekod prestasi dan kepakaran diambil kira. 

Kepelbagaian kepakaran dan pengalaman wakil rakyat membantu pemimpin parti dan negara merumus ramuan dasar terbaik bagi masa depan negara. 

Wakil rakyat prihatin jadi pilihan 

Bagi rakyat pula, mereka ingin melihat wakil rakyat yang komited membawa pembangunan ke kawasan mereka. Untuk itu, mereka mahu melihat wakil rakyat yang prihatin dan memiliki sentuhan kerakyatan, iaitu wakil rakyat yang bersedia turun padang bagi mendengar keluhan, masalah dan aspirasi mereka. Apa gunanya wakil rakyat yang berkelayakan jika tidak sanggup mendengar masalah dan isu yang membelenggu rakyat? Apa gunanya wakil rakyat yang hanya mementingkan agenda peribadi, iaitu untuk mengaut kekayaan semata-mata? 

Rakyat mahu melihat wakil rakyat yang sanggup merasai denyut nadi dan gerak rasa mereka. Untuk itu, tentu lebih elok jika calon yang dipilih ialah anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan yang bakal diwakilinya. 

Lebih memahami pengundi 

Hal ini kerana calon berkenaan lebih mengenali rakyat dan pengundinya, selain dapat menghayati masalah dihadapi pengundi. Rakyat lebih suka jika calon yang bertanding orang dikenali. 

Najib pernah berkata, jika ada wakil rakyat yang tidak disukai, rakyat akan beri isyarat. “Jadi jawatan dalam parti tidak menjamin kemenangan seseorang itu ketika pilihan raya, hanya mereka yang disukai, disenangi dan mesra dengan rakyat akan dipilih.” 

Sesungguhnya, jika ditanya rakyat, mereka mahu wakil rakyat yang sanggup bersama ketika mereka menghadapi masalah. Wakil rakyat sedemikian adalah mereka yang bersedia meringankan beban rakyat. Bagi pengundi dan penduduk di luar bandar terutamanya, wakil rakyat adalah segala-galanya. 

Kini, rakyat tidak lagi suka dengan wakil rakyat yang hanya menunjuk batang hidung sewaktu menjelang pilihan raya semata-mata. Wakil rakyat yang mempunyai hubungan awam yang baik dan sentiasa mendampingi mereka akan melekat di hati rakyat. 

Penulis ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak

1 comment: