Sunday 7 April 2013

Pembangkang Tamak


WALAUPUN meniti usia 88 tahun namun kelibat bekas Perdana Menteri, TUN DR. MAHATHIR MOHD kekal aktif berkempen untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya yang bakal menjelma tidak lama lagi. Malah usaha ini telah dilakukan lama sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 April lepas.


Ketika ditanya kenapa beliau masih aktif berkempen, Dr. Mahathir menyatakan semua itu dilakukan demi membalas jasa kepada UMNO dan BN kerana membenarkan beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Selain itu, semangat Melayu beliau jelas begitu menebal apabila menyatakan kebimbangan melihat kepentingan bangsanya sudah diabaikan kerana sifat tamak pihak pembangkang.

Ini kerana mereka mahu menjadi kerajaan dengan memecahbelahkan orang Melayu, satu lagi sebab utama beliau sanggup turun berkempen walaupun adakalanya keadaan dirinya tidak begitu mengizinkan.

“Perjuangan untuk jati diri kita sebagai bangsa Malaysia, itupun sudah diketepikan kerana kita bergantung kepada orang lain yang tidak melihat asas-asas ini sebagai satu kepentingan. “Sebab itu saya perlu aktif untuk memperjelas dan memperingatkan semula tentang perjuangan kita,".

Lebih mengejutkan walaupun sering diberi gelaran yang tidak menyenangkan, Dr. Mahathir jelas tidak berdendam kerana tetap enggan mendedahkan keaiban pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun beliau mengesahkan menerima surat setebal ‘18 muka surat’ yang ditulis sendiri oleh isterinya.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN, HAFIZAHRIL HAMID, BORHAN ABU SAMAH, dan MOHD. ASRON MUSTAPHA, Dr. Mahathir menjelaskan soal isu pengundi Cina serta masa depan Pas dan politik Kelantan ketika di wawancara di Yayasan Al-Bukhary, petang Jumaat lalu.
MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat persediaan UMNO dan BN serta mood pengundi sekarang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen baru-baru ini?

DR. MAHATHIR: Pertamanya ialah semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar dan kita boleh mengadakan pilihan raya bersama. Ini menjimatkan perbelanjaan. Keduanya kita sudah lama membuat persiapan untuk pilihan raya ini tapi saya tidak nampak keghairahan seperti biasa bila pengisytiharan pembubaran Parlimen dibuat tanpa dijangka oleh rakyat.

Mungkin kerana jentera parti sudah menunggu terlalu lama tetapi mungkin telahan saya ini tidak tepat kerana saya belum berkesempatan menjelajah ke seluruh negara. Namun perasaan macam itu saya belum nampak lagi. Saya khuatir kalau tidak sungguh-sungguh, kalau menang pun kemenangan terlalu tipis. Ini tidak baik untuk masa depan pemerintah.

Ramai penganalisis melihat keadaan semasa jauh berbeza berbanding senario 2008 kerana selepas Najib mengambil alih kepimpinan kerajaan, kecenderungan rakyat untuk menyokong kerajaan semasa semakin jelas?

DR. MAHATHIR: Kita tidak boleh meneka benda ini dengan tepat. Kadang-kadang kita nampak dalam pilihan raya ramai yang menyertai rapat umum atau ceramah satu-satu pihak tapi ia tidak menjamin kemenangan. Mereka ini mungkin datang atas dasar hendak tahu dan sebagainya tetapi saya mengakui memang nampak kecenderungan kepada parti pemerintah termasuk di kalangan orang Cina pun.

Pandangan Tun mengenai MCA sekarang yang kelihatan tersepit, mereka tidak boleh memainkan sentimen perkauman seperti DAP dan pada masa yang sama hilang sokongan pengundi Cina?

DR. MAHATHIR: Kita dapati bahawa MCA merasakan kekalahan parti itu pada 2008 adalah kerana tidak main isu orang Cina. Jadi kali ini, oleh kerana tidak hendak ternampak seolah-olah bersetuju dengan UMNO kerana mungkin orang Cina tidak akan sokong, MCA mula mengambil langkah yang selari seperti DAP tetapi bagi saya itu tanggapan yang tidak kena.

Adakah program transformasi 1Malaysia yang dibawa Najib ini dapat membantu MCA?

DR. MAHATHIR: Saya dapati pihak kerajaan memberi layanan yang banyak tetapi nampak orang Cina tidak menghargai layanan yang diberi oleh kerajaan. Tapi sekarang ada perubahan kerana mereka berpendapat kerajaan ini bertanggungjawab dan mampu menjaga keselamatan negara. Umpamanya apabila kita diserang pengganas Kiram. Kerajaan memiliki kebolehan dan kesanggupan untuk mempertahankan negara.

Terbukti kerajaan mampu menjaga keselamatan dan saya fikir orang Cina pun menghargai serta suka kalau negara ini stabil kerana mereka golongan peniaga. Mereka tidak mungkin dapat berniaga dengan baik dalam keadaan huru-hara. Mereka melihat kesungguhan kerajaan untuk menjaga keselamatan dan saya fikir mereka menghargainya. Sebaliknya cara parti lawan ialah mereka cenderung mencetuskan huru-hara dengan demonstrasi dan macam-macam lagi kekecohan jalanan yang mana, perbuatan ini menjejaskan ekonomi dan kestabilan negara. Jika ini berlaku, pelabur tidak akan melabur dan saya percaya orang Cina sedar perkara ini.

Pembangkang menggunakan strategi meletakkan nama-nama besar di kawasan tertentu seperti Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Anwar Ibrahim mungkin di Perak. Adakah strategi ini boleh menggugat BN atau akan jadi senjata makan tuan?

DR. MAHATHIR: Itu risiko yang diambil oleh mereka. Johor kubu kuat BN. Entah macam mana mereka berpendapat boleh menang di situ. Berkenaan Anwar saya kurang yakin beliau berani keluar dari Permatang Pauh. Ini mungkin satu strategi sahaja dan akhirnya umum bertanding di Permatang Pauh. Tempat yang beliau bercadang nak bertanding, Anwar tiada usaha untuk mendapat sokongan daripada pengundi di situ. Anwar ini memanglah kita tidak boleh percaya kata-katanya, kerana beliau ini licik.

Langkah meletakkan Kit Siang di Gelang Patah itu jelas menunjukkan keinginan pembangkang menjadikan Johor sebagai sasaran seterusnya untuk dikuasai, bagaimana Tun melihat perkembangan ini?

DR. MAHATHIR: Tak tahulah mungkin mereka dapat maklumat yang kita tidak tahu tetapi setakat yang saya tahu Johor bukanlah kawasan selamat bagi parti lawan walaupun kita dapati sikap orang Cina sudah tidak seperti dahulu. Namun kita dapati dalam masa sekarang ini mereka kembali menyokong BN.

Pembangkang yakin strategi itu membolehkan mereka menang tujuh kerusi di Johor terutama di kawasan pengundi Cina?

DR. MAHATHIR: Pertamanya ini membuktikan sifat rasis pihak DAP walaupun mendakwa mewakili pelbagai bangsa tetapi hakikatnya bila menghadapi satu cabaran, DAP akan balik kepada orang Cina. DAP ini main isu Cina lebih daripada pihak lain. Sebenarnya DAP parti Cina, sebab itulah Tengku Abdul Aziz umpamanya yang ingin percaya DAP mewakili pelbagai bangsa tetapi selepas menyertai DAP beliau dapati parti itu tidak peduli kepada masalah orang bukan Cina.

Mereka sengaja mengadakan puak ekstremis dari kalangan atau pihak yang sealiran dengan DAP bagi membangkitkan isu-isu sensitif sehingga berani berkata bahawa orang Melayu kaum pendatang juga. Ini satu cabaran kepada orang Melayu, bagaimana nak dapat sokongan daripada orang Cina. DAP mungkin pergi ke Johor kerana percaya pengundi Cina di negeri itu berpihak kepada mereka.

Tidakkah ini akan menjarakkan hubungan antara kaum di negara kita?

DR. MAHATHIR: Memang tidak baiklah tetapi inilah niat dia daripada awal pun apabila DAP bercakap mengenai Malaysian Malaysia yang diambil daripada parti PAP Singapura iaitu ibu kepada DAP ini. Mereka mengambil slogan itu kerana percaya bahawa tiada keadilan kerana tidak memperoleh apa yang mereka tuntut sebagai hak mereka. Niat mereka ialah sesudah menguasai ekonomi, mereka juga mahu menguasai politik, dengan itu segala-galanya akan dikawal mereka. Inilah hajat mereka walaupun tidak realistik. Di sebuah negara yang terdapat orang Melayu dan India tetapi DAP masih di belakang slogan yang mereka guna, orang Cina mesti dapat semua melalui merit.

Kita percaya kalau ikut merit semua akan pergi kepada orang Cina. Kita akui mereka lebih cekap dalam bidang perniagaan dan mereka juga mempunyai tamadun yang berusia lebih 4,000 tahun. Tetapi ini menidakkan konsep kongsi perkongsian yang diperkenalkan Tunku Abdul Rahman. Semua pihak berkongsi dan mempunyai hak dalam bidang politik melalui parti campuran menerusi BN. Dalam bidang ekonomi kita ada pembahagian kekayaan negara kita ini secara adil kepada semua kaum tetapi DAP tidak suka itu. DAP mahu sesudah menguasai ekonomi, dia nak juga kuasai politik untuk rebut semua atas dasar merit.

Adakah atas faktor ini juga pembangkang tidak berani mendaftar, bagaimana pandangan Tun?

DR. MAHATHIR: Pembangkang bukan kerajaan campuran. BN kerajaan campuran. Kita bertanding pun di bawah lambang BN tapi pembangkang tidak, mereka bertanding menggunakan lambang parti masing-masing. Pakatan ini semacam konspirasi iaitu semata-mata untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Itu sahaja.

Selain daripada itu tidak ada persamaan antara DAP dengan Pas, antara DAP dengan PKR. DAP lebih mirip kepada kepentingan orang Cina. Jadi pembangkang tidak seperti BN yang percaya kepada perkongsian kuasa politik dan ekonomi negara.

Ramai yakin dan percaya Pas bakal menerima kesan paling buruk dalam pilihan raya ini disebabkan kegagalan parti itu menangani banyak isu selain tunduk kepada PKR dan DAP terutama dalam isu kalimah Allah?

DR. MAHATHIR: Pas suka mendakwa bahawa dia parti Islam yang berjuang demi agama Islam. Tetapi kalau kita lihat sejarah penubuhan Pas ia tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa yang berlaku ialah Tunku Abdul Rahman tidak melantik ulama-ulama UMNO untuk mengisi jawatan dalam majlis legislatif dan majlis negeri. Kecewa tidak dapat jawatan ini maka lahirnya Pas, bukan kerana Islam sebab sebenarnya dia boleh berjuang mengenai Islam dalam parti UMNO dan memang pun apabila dia berada dalam UMNO kita berjaya lawan British dan kita berjaya. Hj. Ahmad Puad keluar UMNO kerana tidak dapat jadi Presiden UMNO bila Dato Onn Jaafar letak jawatan selain hanya dapat satu kerusi sahaja yang diberi kepada ulama.

Oleh itu mereka berpendapat kalau mereka mendirikan parti sendiri, mereka boleh meletakkan seberapa calon dan kalau menggunakan agama ia satu daya tarikan yang cukup kuat dalam kalangan orang Islam. Mereka percaya dengan cara itu mereka dapat mengatasi dan mengalahkan UMNO tetapi sehingga kini tak menang. Kerana Pas tidak boleh pun meletak cukup calon untuk menjadi pemerintah. Kalau menang semua pun tak cukup kerana mereka hanya berupaya bertanding satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen iaitu sekitar 60 kawasan sahaja. Jadi mereka terpaksa berkerjasama dengan orang bukan Islam. Tetapi dulu mereka berkata, kalau berkerjasama dengan orang bukan Islam itu kafir.

Jadi sekarang kerana nak jadi pemerintah, mereka terpaksalah berkerjasama dengan orang bukan Islam. Inilah yang dikatakan kalau kamu kafirkan orang lain mungkin kafir itu kembali kepada kamu. Ini berlaku kepada Pas. Pas banyak buat kesalahan antaranya menyatakan Tuhan mencarut, menganggap Nabi Muhammad SAW semasa dilahirkan macam 'mamat' di kampung jadi tak payah adakan perarakan Maulidul Rasul. Ini semua mengguris hati orang termasuklah dalam isu kalimah Allah apabila Pas bersetuju kalimah suci umat Islam ini boleh diguna oleh orang Kristian. Begitu juga perbuatan mereka mengkafirkan orang UMNO adalah satu ketidakadilan yang tidak diizinkan agama kerana dalam Islam berkali-kali diingatkan iaitu apabila kamu menjatuh hukum, hukumlah dengan seadilnya.

Tapi Pas dengan sewenang-wenangnya mengkafir lebih tiga juta ahli UMNO yang juga umat Islam. Ini ketidakadilan yang cukup besar sehinggalah mereka menanam kebencian terhadap golongan yang mereka kafirkan sehingga ada antara mereka sanggup nak membunuh. Mereka tidak mahu sembahyang jemaah bersama dan tidak rela dikuburkan bersama. Kita fikir ini tak diterima akal tetapi pengikut mereka begitu taksub. Orang UMNO ini kafir sedangkan kita mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan sembahyang lima waktu dan melakukan semua rukun Islam tetapi tiba-tiba dikafirkan. Sepatutnya kalau kita nak jatuhkan hukuman kafir kita patut ada satu pemeriksaan. Kalau kita dapati mereka sudah tolak nabi, tolak Allah dan sembah selain Allah bolehlah kita kata mereka kafir.

Al-Arqam pun kita tak kata mereka kafir, kita kata mereka menyeleweng begitu juga dengan Ayah Pin kerana untuk mengkafirkan orang Islam, ini adalah sesuatu yang amat dahsyat kerana kita mengurangkan jumlah orang Islam apatah lagi mendakwa kalau undi Pas masuk syurga. Tiada di mana-mana pun dalam al-Quran menyebut bahawa ada parti dinamakan Pas dan kalau tak mengundi Pas kita akan masuk neraka. Baru-baru ini pula kata solat yang dilakukan orang UMNO ini tidak dapat pahala, Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tiada hak untuk berkata demikian, yang mengikut Nik Abdul Aziz adalah orang yang taksub kepadanya, yang begitu fanatik sehingga tidak boleh nampak langsung keburukannya walaupun Nik Abdul Aziz dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini sudah jadi orang yang cukup buruk.

Di Malaysia ini kesemua orang Melayu beragama Islam dan ahli Sunah Wal Jamaah dan pengikut Imam Syafie. Sepatutnya tidak ada perpecahan antara kita seperti di Iraq, Syria dan Pakistan di mana umat Islam di sana terbahagi kepada Sunni dan Syiah. Di sini kita semua ahli Sunah Wal Jamaah tetapi mengapa Pas timbulkan isu mengkafir ini sehingga memecah-belahkan orang Islam. Ini perbuatan yang berdosa. Memecah-belahkan orang Islam, melemahkan orang Islam dan mencetuskan huru-hara. Dalam al-Quran disebut beberapa kali bahawa Tuhan tidak suka kepada orang yang mencetuskan huru-hara tetapi Nik Abdul Aziz dan Hadi Awang mencetuskan huru-hara. Pengikut-pengikut Pas kalau mereka buka mata dan memiliki pemikiran terbuka, tentu sedar bahawa ini satu kesalahan tapi bila dah terlalu taksub mereka tidak dengar apa, tak nampak apa dan tak bau apa pun. Inilah malapetaka kepada negara kita dan sepatutnya orang melihat orang Melayu yang semua beragama Islam bersatu di bawah satu badan seperti mana kita bersatu semasa melawan Malayan Union. Betapa kita berjaya ketika itu tetapi apabila Pas ditubuhkan orang Melayu menjadi lemah.

Apakah Tun percaya selepas PRU-13 ini ia akan menjadi punca kejatuhan Pas?

MAHATHIR: Saya tidak tahu berapa ramai ahli mereka yang taksub tetapi saya dapati ramai antara mereka yang nampak kesalahan pemimpin mereka walaupun secara terang-terangan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Sesiapa pun boleh berkata bukan sahaja orang yang tahu tentang agama tetapi orang yang tidak berapa mendalami agama tahu bahawa apa yang dikatakan itu adalah salah, seolah-olah mereka mahu mengambil alih peranan Tuhan. Kalau nak tentukan peraturan bahawa tidak mengundi Pas akan masuk neraka, tentu ada disebut di dalam al-Quran dan hadis tetapi tidak ada. Jadi mereka mencipta undang-undang baru bagi agama Islam.

Bagaimana Tun melihat perkembangan di Kelantan apabila ramai yang bangkit termasuk golongan ulama apakah ia satu petanda baik untuk BN?

MAHATHIR: Saya rasa bersyukur kerana akhirnya ramai yang buka mata mereka serta berfikir dan tidak taksub termasuk golongan ulama mereka yang pernah menjadi penyokong kuat Pas. Mereka sudah sedar dan menolak Pas. Saya yakin juga ramai pengikut yang tidak mengisytihar keluar parti menolak Pas kerana kepimpinan parti itu sudah tergelincir dari ajaran sebenar Islam. Saya tidak kata mereka sudah ke tahap kafir dan mereka masih Islam tetapi mereka sudah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Situasi Tun adalah berbeza dengan 2008 apabila Tun mengisytihar keluar UMNO dan tidak terlibat dalam kempen parti namun sekarang Tun begitu aktif berkempen. Apakah Tun melakukan semua ini kerana membalas jasa ataupun Tun rasakan mahu menebus tindakan Tun keluar parti dahulu?

MAHATHIR: Yang pertamanya saya lakukan ini kerana mahu membalas budi. Hakikatnya kerana UMNO dan BN saya dapat menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Untuk itu saya rasa bersyukur dan berterima kasih serta terhutang budi dan saya akan cuba menolong BN seberapa banyak yang boleh. Perkara keduanya saya dapati bahawa kepentingan orang Melayu sudah diabaikan kerana sifat tamak pihak pembangkang mahu menjadi kerajaan, mereka memecahbelahkan orang Melayu sehingga orang Melayu menjadi minoriti. Sepatutnya mereka menjadi majoriti dan pengasas-pengasas negara ini berpendapat bahawa kepentingan orang Melayu akan selamat kerana kita adalah majoriti. Walaupun mungkin kita tidak kuat dari segi kekayaan, ilmu dan sebagainya tetapi kerana kita percaya pada demokrasi maka puak majoriti dapat menjaga keselamatan diri mereka tanpa menjejaskan pihak lain. Jadi kita dapati kerana sifat tamak nak menjadi kerajaan, nak dapat itu dan ini maka orang Melayu sudah berpecah menjadi minoriti. Apabila menjadi minoriti maka mereka memerlukan sokongan puak-puak lain dan kerana itu mereka lupa perjuangan asas mereka. Umpamanya perjuangan untuk identiti kita sebagai bangsa Malaysia, itupun sudah diketepikan kerana kita bergantung kepada orang lain yang tidak melihat asas-asas ini sebagai satu kepentingan. Sebab itu saya perlu aktif untuk menjelaskan dan memperingatkan semula tentang perjuangan kita.

Dalam UMNO umpamanya kita dapati ahli-ahli dan pemimpin UMNO sudah lupa bahawa parti itu ditubuhkan bukan untuk memberi tempat kepada orang tertentu tetapi untuk menyelamatkan orang Melayu, negara dan agama. Malangnya itu sudah diketepikan dan masing-masing masuk UMNO kerana nak dapat sesuatu. Jadi kita perlu kembali kepada perjuangan asas dan saya sering memperingat kepada mereka tentang perjuangan asas UMNO dan jika kita lupa perkara ini maka kita akan jadi seperti parti-parti di negara lain yang berjuang untuk kemerdekaan tetapi kini sudah luput, sudah tidak ada lagi. UMNO ini tahan lama sikit tetapi saya khuatir generasi baru UMNO tidak tahu akan perjuangan asal ini. Sebab itu selagi saya mampu saya mahu memperingatkan kepada semua supaya kita kembali kepada perjuangan asal.

Kami difahamkan bahawa Tun menerima surat setebal 18 muka surat dikatakan dikirim oleh Datin Seri Wan Azizah sendiri mengenai salah laku suaminya. Mungkin Tun boleh kongsikan perkara ini?

DR. MAHATHIR: Saya cuma boleh kata ada menerima surat itu sahajalah tetapi benda yang diberi kepada saya secara personal, saya tidak dedahkan kepada orang. Namun kita boleh lihat tanpa surat itupun kita boleh tahu sama ada bersih atau tidak bersih 'orang berkenaan'. Jadi apa perlu kita rujuk kepada surat yang sulit dan saya pun tidak ingat berapa muka suratnya. Tetapi yang saya tahu memanglah beliau (Wan Azizah) cuba nak pertahan suaminya juga. Isteri ada kesetiaan kepada suami tetapi nak kata beliau memburuk-burukkan sangat suaminya itu tidaklah begitu. Kecewa itu adalah, maka saya tidak mahu berbincang tentang surat setebal '18 muka surat' itu. Namun yang lebih utama adalah apa yang kita boleh lihat tetapi bukan apa yang Wan Azizah kata.

Tun tetap enggan mendedahkan isi kandungan surat berkenaan malah memelihara keaiban 'orang berkenaan' walaupun pelbagai pihak mengelar Tun dengan pelbagai gelaran yang adakalanya keterlaluan seperti mahafiraun dan sebagainya. Boleh Tun jelaskan?

DR. MAHATHIR: Saya bukan jenis manusia yang nak memburuk-burukkan orang tanpa asas. Cuma kerana politik dan kitab takut orang yang semacam ini berkuasa maka saya terpaksa dedah. Maka perkara lain tidak perlu saya dedahkan kerana ia tidak ada apa-apa manfaat, jadi buat apa saya dedahkan.

No comments:

Post a Comment