Saturday 6 April 2013

Mesyuarat khas SPR 10 April


PUTRAJAYA 5 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 10 April ini bagi menetapkan beberapa tarikh penting termasuk hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat tersebut ialah tarikh penamaan calon, tarikh pengundian termasuk pengundian awal serta menentukan daftar pemilih bagi pilihan raya tersebut.

''Menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

''Peruntukan yang sama turut terkandung dalam Perlembagaan negeri bagi maksud mengadakan pilihan raya umum bagi Dewan Undangan Negeri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sebagai rekod, SPR ketika Pilihan Raya Umum 2008 lalu mengadakan mesyuarat khas pada 14 Februari dan mengumumkan hari penamaan calon dan hari mengundi masing-masing pada 24 Februari dan 8 Mac.

Tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Umum 2008 ialah selama 13 hari iaitu jangka masa yang agak panjang berbanding cuma lapan hari pada 2004.

Untuk PRU-13, SPR menetapkan tempoh berkempen sekurang-kurangnya selama 11 hari.
Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, PRU-13 boleh diadakan selewat-lewatnya pada 28 Mei ini.

Dalam pada itu, Kamaruddin mengesahkan SPR telah menerima perisytiharan pembubaran semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak.

''Pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri berkenaan.

''Perisytiharan tersebut memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan PRU-13 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment