Wednesday 3 April 2013

PRU-13: Parlimen dibubar tepat pada masa - Penganalisis


KUALA LUMPUR 3 April - Pembubaran Parlimen secara rasmi hari ini adalah tepat pada masanya dengan mengambil kira iklim politik, ekonomi dan sosial yang stabil selain pemerintah telah berjaya mencipta rekod pembangunan yang cemerlang, kata penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pemerintahannya sejak empat tahun lalu telah pun meninggalkan impak positif kepada negara.

Menurut beliau, pembangunan juga banyak telah dilakukan oleh Najib dalam tempoh empat tahun lalu termasuk melakukan transformasi besar-besaran dalam sektor kerajaan, ekonomi, politik dan sosial.

Katanya, perancangan terperinci Perdana Menteri telah dibuat sejak sekian lama selain mendapat maklum balas yang positif dari dalam negara dan luar negara.

"Pelaburan asing telah meningkat ke dalam negara, malah, perancangan ekonomi negara untuk tempoh lima tahun akan datang sudah pun tersedia dan selari dengan perancangan," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal diminta mengulas pembubaran Parlimen secara rasmi hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari pejabatnya.

Tambah Zainal, Najib telah membangunkan negara lebih daripada sebuah negara kebajikan.
Malah, pakatan pembangkang amat cemburu dengan kejayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak empat tahun lalu.

"Najib sudah pun menyalurkan bantuan kewangan kepada para usahawan, petani, belia, wanita, golongan kurang upaya dan boleh dikatakan meliputi pelbagai peringkat masyarakat," ujarnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula berkata, pembubaran Parlimen hari ini membuktikan kerajaan telah yakin dan bersedia untuk menghadapi PRU-13.

Katanya, ini bermakna kerajaan sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pihak lawan selain sudah bersedia menghadapi apa-apa sahaja kemungkinan.

"Pembubaran Parlimen telah menjadi bahan perbualan orang ramai sejak Januari lalu dan pelbagai spekulasi mengenainya telah timbul.

"Saya yakin bagi PRU-13, kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang telah pun bekerja keras dan memainkan peranan masing-masing. Sekarang, semuanya terletak di tangan pengundi untuk menentukannya," ujarnya. - UTUSAN

Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment