Wednesday 3 April 2013

Rakyat, pencapaian menjadi tunjang


HARI ini empat tahun lalu, bertempat di Balairong Seri Istana Negara di Jalan Istana, Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Tradisi yang bermula dengan transisi kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib berlangsung penuh tertib menandakan amanah rakyat tergalas di bawah pucuk kepimpinan baru.

Dengan restu ibu, Toh Puan Rahah Mohd. Noah, sokongan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan kaum keluarga serta dokongan rakyat jelata, Najib mencorakkan gaya kepimpinan 1Malaysia dan agenda transformasi sebagai landasan untuk membangunkan negara, paling penting memastikan keharmonian penduduk berbilang kaum terus terpelihara.

Meneliti corak kepimpinan Najib, ternyata beliau menjadikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai idola. Tentunya sebagai anak, Najib lebih mengenali bapanya yang bertanggungjawab membawa beliau melangkah ke dunia politik.

Sebab itu sebaik dilantik Perdana Menteri, tumpuan pertama Najib adalah menyatukan rakyat negara ini di bawah Gagasan 1Malaysia sebagaimana Tun Razak menjadikan perpaduan kaum sebagai teras utama pentadbirannya.

Biar pun suasana politik Malaysia tidak segawat ketika Tun Razak mengambil alih pucuk kepimpinan negara, namun persamaan masalah yang dihadapi oleh Najib dan Razak mengheret mereka kepada pendekatan yang seakan serupa.

Tragedi 13 Mei 1969 menuntut kerja keras di pihak Razak melaksanakan pelbagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum yang telah tercalar akibat rusuhan kaum.

Bagi Najib pula, Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga serta laungan pergerakan hak asasi manusia menjadikan cabaran awal dalam memulakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan keluhan-keluhan rakyat supaya kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menangani permasalahan mereka sehingga melahirkan Gagasan 1Malaysia serta agenda Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Untuk merealisasikan agenda tersebut Najib percaya kepada perubahan ke arah kebaikan. Bagi Najib hanya dengan adanya anjakan atau perubahan, maka agenda rakyat didahulukan boleh dilaksanakan. Hanya dengan perubahan, setiap dasar atau program yang dirancang oleh kerajaan boleh dinilai pencapaiannya.

Untuk itu Perdana Menteri menggunakan pendekatan transformasi yang mencakupi setiap dasar, program atau apa sahaja yang diperkenalkan dalam proses membangunkan negara. Agenda transformasi ekonomi, sosial malah di peringkat pembangunan insan juga menuntut perubahan lantaran cabaran yang perlu dilalui bukan sedikit.

Dengan label 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan Najib bergerak memintas segala rintangan dan cubaan untuk memendekkan perjalanannya. Beliau percaya hanya dengan mendekati rakyat dan memenuhi keperluan mereka, barulah negara dapat dibangunkan.

Sokongan rakyat adalah tunjang, justeru setiap perancangan mesti mengambil kira pandangan rakyat. Lebih penting lagi setiap dasar atau program yang mahu dilaksanakan adalah untuk dinikmati oleh rakyat.

Pendekatan Najib mudah diterima. Biar pun ada penggunaan istilah yang agak jarang kedengaran dalam kalangan rakyat seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), namun hasil yang dinikmati sepanjang empat tahun beliau menjadi peneraju kepimpinan negara adalah lebih penting. Rakyat dapat melihat pesatnya negara membangun, rakyat dapat menikmati limpahan pembangunan, malah rakyat yang menjadi menjadi jantung dasar-dasar kerajaan sehingga kini bersyukur kerana nadi Malaysia masih berdenyut.

Transformasi NKRA dipastikan tidak sekadar indah di atas kertas dan bukannya terhad kepada bidang tertentu sahaja. NKRA adalah untuk teras pembangunan fizikal dan rohani, sebab itu fokus Najib menyeluruh - dari pendidikan menjangkau kepada keselamatan. Pendek kata Perdana Menteri meletakkan semua bidang sama rata kepentingannya, apatah lagi setiap bidang saling kait mengait antara satu lain.

Untuk memastikan setiap dasar mencapai matlamat, Najib turut memperkenalkan kad laporan untuk mengukur sejauh mana dan di peringkat mana kementerian-kementerian yang bertanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Jika pencapaian murid luar bandar menjadi agenda dalam NKRA pendidikan, apakah langkah-langkah yang digerakkan dan berjayakan mutu pendidikan penduduk pedalaman ditambah baik? Jika kadar jenayah mahu dikurangkan maka apakah usaha Kementerian Dalam Negeri dan berapa peratus kejayaan susulan usaha tersebut?

Yang Najib mahu bukan sekadar rumusan jawapan dalam buku kad laporan tetapi keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat. Tidak ada gunanya jika setiap kementerian mempersembahkan angka dan graf menaik tetapi rakyat masih merungut takut untuk keluar rumah, keputusan peperiksaan luar bandar tetap mendukacitakan atau harga barangan terus melambung sehingga mengganggu perjalanan hidup rakyat seharian.

Oleh kerana tunjang kepimpinan Najib adalah rakyat dan pencapaian maka tiada ruang untuk mana-mana pihak berlenggang kangkung atau syok sendiri dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan di bahu mereka. Transformasi undang-undang turut dilangsungkan oleh Najib sebagai membuktikan kerajaan tidak mencengkam rakyat sewenang-wenangnya. Undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)) dimansuhkan.

Biar pun ada yang mengkategorikan Najib berdarah bangsawan, mendapat pendidikan di luar negara selain tidak didedahkan dengan keperitan di peringkat awal kehidupannya, namun memikul tugas sebagai pentadbir dan mengharungi cabaran politik pada usia muda menjadikan Najib pemimpin berbeza.

Pendekatannya meluas dan pelbagai. Peka dengan desakan hidup golongan berpendapatan rendah, Najib memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Beliau mungkin tidak pernah susah, tetapi bergelumang dengan rakyat sepanjang lebih 30 tahun merentasi jatuh bangun dunia politik, tentunya mendorong Najib untuk memperkenalkan bantuan tersebut.

Di sebalik cemuhan pihak tertentu kononnya BR1M bertujuan memancing undi, Perdana Menteri tidak menoleh ke belakang. BR1M diteruskan luahan rasa rakyat yang menyenangi pemberian tersebut bagi meringankan beban hidup mereka. Begitu dengan bantuan persekolahan, bantuan baucer buku, bantuan untuk belia dan pelbagai lagi yang kesemuanya bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat di pelbagai peringkat usia.

Paling penting setiap kali turun padang penting setiap kali turun padang, rakyat menerima Najib. Golongan tua menyenangi beliau, begitu juga orang muda, wanita tidak terkecuali - segalanya disebabkan oleh dasar beliau yang mengangkat setiap golongan ke paras yang sepatutnya.

Beliau tidak teragak-agak makan semeja dengan rakyat, singgah bersarapan tanpa dijangka, malah menguji kemahiran bermain congkak tanpa ada rasa kekok biar pun terpaksa bersila. Begitu juga dengan penggunaan media baharu. Rakan facebook Najib mencecah sejuta orang, manakala pengikut Twitternya mencapai angka luar jangka. Tidak sekadar bertemu di alam maya, siri perjumpaan dengan rakan Facebook disusun dan pertemuan dilangsungkan dalam suasana santai menjadikan beliau pemimpin popular.

Di arena antarabangsa, Najib umpama moderator. Selain siri lawatan rasmi ke pelbagai negara serta penyertaan persidangan, forum atau dialog, peranan Perdana Menteri dalam misi damai negara jiran sememangnya menyerlah. Pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Malaysia menjadi orang tengahnya satu contoh kejayaan serta pengiktirafan kepimpinan Najib oleh negara luar. Bukan sekadar menjadi pihak ketiga untuk merealisasikan perjanjian, peranan Malaysia dituntut lebih daripada itu. Pemerintah Filipina mahu Malaysia mengambil bahagian dalam pembangunan insan di selatan negara itu.

Begitu juga pergolakan di Selatan Thailand yang menyaksikan kejayaan Malaysia di bawah teraju Najib menjadi penganjur dialog keamanan antara kerajaan negara Gajah Putih itu dengan kumpulan pemisah. Usaha yang tidak melibatkan campur tangan secara langsung itu dilaksanakan bagi menamatkan konflik di Selatan Thai yang dilihat tidak berpenghujung tanpa ada kerjasama negara jiran Malaysia. Sebagai pemimpin yang cintakan kedamaian, keprihatinan Najib tidak terhenti di sekitar negara jiran. Lawatannya ke Gaza, Palestin mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi satu-satunya pemimpin bukan dari negara Arab yang menjejakkan kaki di tanah bumi Anbiya di sebalik kekejaman rejim Zionis yang meranapkan negara Palestin dan membunuh penduduknya.

Empat tahun sebagai Perdana Menteri tentunya tempoh yang singkat bagi Najib. Masih banyak agenda belum dapat disempurnakan biar pun paras penilaian sepanjang penggal pertama kepimpinannya adalah positif. Najib mahu graf pencapaian dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri ke-6 melekat di hati dan naluri rakyat.

Kehendaknya supaya agenda rakyat menjadi keutamaan, manakala pencapaian negara dibuktikan dan tentunya pada akhirnya masyarakat antarabangsa akan memberikan pengiktirafan. Segala-galanya mesti berjalan seiring. Berpaksikan Gagasan 1Malaysia, Najib membuka ruang untuk mendekati semua kaum. Segala kekangan yang dilihat seakan menjarakkan hubungan sesama kaum seboleh mungkin diselesaikan.

Genap empat tahun Najib dilantik Perdana Menteri, bermakna jangka hayat kedudukan beliau juga menunggu untuk diuji dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment