Thursday 4 April 2013

Gelanggang PRU 13 Kini Dibuka



BERSAMA barisan Jemaah Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13. Saat yang ditunggu-tunggu itu berlangsung dalam suasana rasmi.

Di belakang Perdana Menteri, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan tenang mendengar satu persatu ucapan yang dilontarkan Najib. Begitu juga dengan menteri-menteri Kabinet yang lain. Mereka nampak kemas dan yakin dengan sut hitam serta bertali leher merah. Yang wanita tampil menawan dengan pakaian serba merah.

Sememangnya tarikh 3 April amat bermakna bagi Najib. Empat tahun lalu pada tarikh ini beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6. Genap empat tahun menjalankan tugas sebagai peneraju negara, beliau mengumumkan pula pembubaran Parlimen bagi mengisi penantian rakyat pihak sejak setahun lalu.

Berbeza di dalam bilik tempat Najib membuat pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar bangunan Perdana Putra terpaksa mencari tempat berlindung disebabkan hujan lebat. Mereka menunggu sejak awal pagi.

Tidak seperti kebiasaan, pengumuman pembubaran kali ini dibuat tanpa memanggil sidang media. Najib pasti ada alasan tersendiri mengapa memilih siaran langsung. Tentunya tidak mahu ada pihak lain mengambil kesempatan menyebarkan ‘berita-berita palsu’ - mengambil iktibar hebahan pembubaran palsu tidak lama dulu. Lagi pun rakyat boleh mendengar dan melihat sendiri apa butir-butir pengumuman Najib.

Apa pun senario keterujaan baik di Putrajaya mahu pun di mana-mana saja, pengumuman pembubaran Parlimen ke-12 menamatkan segala teka-teki. Spekulasi serta khabar angin tentang pembubaran Parlimen yang begitu meluas mutakhir ini, tertutup sudah.

Kini yang dinanti dan dikejar adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Badan pengendali pilihan raya di Malaysia itu akan menyusun tarikh penamaan calon, kempen dan seterusnya membuang undi. Sebanyak 19 perkara baru diperkenalkan SPR untuk memastikan PRU-13 menjadi gelanggang pertandingan yang terbaik.

Secara tradisinya, apabila Parlimen dibubarkan, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) pantas menyahut. Menteri Besar atau Ketua Menteri (kecuali Sarawak) akan menghadap Sultan, Yang Dipertuan atau Yang Dipertua untuk mendapat perkenan supaya DUN dibubarkan pada hari yang sama. Proses itu bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak.

Sepanjang 12 kali pilihan raya diadakan tidak timbul masalah bagi kerajaan negeri untuk memperoleh perkenan daripada penaung masing-masing. Bagaimanapun pernah berlaku cubaan untuk memohon DUN yang baru dibentuk selepas pilihan raya dibubarkan iaitu di Terengganu, Kelantan dan Sabah. Kesemua permohonan itu ditolak kerana penaung kerajaan negeri berpendapat ia tidak perlu selain kerana kerajaan yang dipilih sememangnya mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Oleh kerana PRU-13 bakal diadakan dalam keadaan parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga dan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang, soal pembubaran DUN dan Parlimen secara serentak sememangnya hangat diperkatakan.

Selangor misalnya pernah berura-ura mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Bagaimanapun umpama memukul tin kosong, bunyi kuat hasilnya tiada, akhirnya negeri itu akur untuk membubarkan DUN mereka hari ini dan berjanji untuk mengadakan pilihan raya serentak. Hal yang demikian membuka laluan untuk PRU-13 dilangsungkan di peringkat permulaan dalam suasana yang harmoni dan sepakat.

Jangan pula ada cubaan di pihak kerajaan negeri pembangkang mahu menggadai janji apabila tidak membuat permintaan kepada penaung masing-masing supaya DUN dibubarkan. Jika Menteri Besar Kedah berjanji akan menghadap Sultan hari ini, begitu juga Ketua Menteri Pulau Piang yang mahu berjumpa Yang Dipertua Negeri itu juga hari ini diikuti Selangor dan Kelantan, maka tunaikanlah janji-janji tersebut.

Selesai debaran menunggu Parlimen dibubarkan, tumpuan kini bila pula hari pembuangan undi. Bagi 2.3 juta atau 21.69 peratus pengundi baharu, tentunya PRU-13 menjadi medan pertama untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara. Manakala selebihnya iaitu kira-kira 11 juta pengundi sedia ada meneruskan agenda lima tahun sekali bagi melengkapkan PRU-13 yang disifatkan banyak pihak sebagai ibu kepada semua pilihan raya.

Sebanyak 576 kerusi DUN dan 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan tentunya menuntut pilihan yang bijak dalam kalangan pengundi terutamanya bagi memastikan pembangunan dan keharmonian yang dinikmati sekarang tidak tinggal kenangan.

Bagi calon-calon yang akan bertanding pada PRU-13, timbalah pengajaran, belajar dari pengalaman. Negara kita berhadapan dengan cabaran yang amat getir apabila parti pemerintah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Demonstrasi, keganasan dan tunjuk perasaan hakikatnya bukan satu eksperimen sebaliknya persediaan ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih kuat.

Kepada wakil rakyat yang sudah terlalu lama dan berasakan khidmat mereka tidak lagi relevan, maka inilah masanya untuk sedar diri. Lihat semula kad laporan anda. Adakah anda wakil rakyat yang berkhidmat atau sekadar yang berhormat.

Kepada semua parti, berhemahlah. Patuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya. Jangan buat-buat lupa bahawa kebanyakan daripada 19 peraturan baharu yang diperkenalkan SPR untuk PRU-13 ini dipersetujui semua parti. Sehubungan itu, jangan hanya memuji SPR jika menang. Manakala tewas, SPR dikambinghitamkan.



No comments:

Post a Comment