Sunday 24 March 2013

10,000 guru agama sokong BN


BACHOK 23 Mac - Kira-kira 10,000 ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang dianggotai para ulama, tok guru pondok, imam, ustaz muda dan bekas ahli Pas menyatakan kesediaan mereka untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) para Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Antara pertubuhan itu iaitu Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Pendita dan Selamat Tinggal Pas (STP).

Mereka turut mengulangi perisytiharan yang dibuat sebelum ini iaitu mengundi Pas pada PRU-13 adalah haram dan perjuangan menentang Pas adalah jihad kerana mengundi parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme.

Pertubuhan itu juga menegaskan kerajaan Pas Kelantan bukan sebuah kerajaan Islam sebenar dan ia wajib ditukar pada PRU-13 nanti.

Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang yang kononnya atas nama tahaluf siyasi sebenarnya pada nama semata-mata, sebaliknya apa yang berlaku adalah Pas hanya menjadi pak turut kepada DAP.

"Kita mengisytiharkan bahawa PRU-13 merupakan jihad moden iaitu wajib mengundi BN dan haram sokong pakatan rakyat atas beberapa sebab yang bercanggah dengan Islam.

"Kita lihat Pas hari ini sudah tersasar jauh, sudah menggadaikan akidah apabila kalimah Allah pemimpin Pas sanggup memberikan kepada orang bukan Islam untuk diguna pakai dalam bible versi Melayu dan diguna pakai di gereja-gereja, maka kita yang menganut agama Islam berpegang kepada akidah Islamiah sebenar, wajib melihat perkara ini dan membuat satu keputusan betul iaitu menolak pakatan rakyat.

"Wajib kita bersama dengan UMNO dan BN, haram kita mengundi Pas pada PRU-13 inilah sepakat kita golongan ulama dan seluruh rakyat negeri Kelantan yang berpendidikan agama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Program Deklarasi NGO Tolak Pas yang dihadiri kira-kira 200 orang di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang di sini hari ini.

Dakwa Mohd. Syamsul, selain membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, pemimpin Pas iaitu Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mempermain-mainkan akidah apabila mentafsirkan Surah Taha ayat lima dengan mengatakan bahawasanya tuhan bersila lendik di atas arasy.

Sedangkan bagi umat Islam yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah tegas beliau, tafsiran sebenar ayat itu ialah Tuhan Yang Maha Pemurah menguasai arasy, bukannya Tuhan itu duduk bersila di atas arasy (iaitu sifat yang menyamai makhluk).

"Begitu juga pemimpin Pas mengatakan bahawa Nabi Muhammad (SAW) seperti mamat-mamat kampung, seperti orang biasa. Mana sama, tidak sama, sebab Nabi suci, maksum daripada alam nur lagi.

"Apabila Musyidul Am Pas mengatakan Nabi ini umur 40 tahun barulah sempurna, sebelumnya seperti mamat di kampung, seperti rakyat biasa, salah. Mamat di kampung, rakyat biasa buat dosa, Nabi tak pernah buat dosa dan kesilapan, ini bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah," katanya.

Beliau turut merujuk pelbagai tafsiran yang diberikan oleh pemimpin Pas mengenai kerjasama mereka dengan DAP yang menurut Mohd. Syamsul hanya menunjukkan Pas menjadi pengikut manakala DAP menjadi imam.

Akibat menjadi makmum katanya, Pas sanggup beri apa sahaja kepada DAP, hatta ribuan hektar tanah di Gua Musang, selain merelakan penjualan arak secara terbuka di negeri yang mereka perintah, iaitu Selangor, menyaksikan Exco Pas, Datuk Hasan Ali dipecat kerana mengakibatkan DAP marah apabila merampas arak yang dijual secara terbuka.

"Maknanya, DAP imam Pas menjadi makmum, pak turut, menjadi pengikut yang mengikut apa sahaja walaupun bercanggah dengan agama, walaupun terpaksa menggadai akidah, kalimah Allah, mengatakan Nabi seperti manusia biasa dan sebagainya.

"Dia (Pas) sanggup lakukan apa sahaja kerana hendak berpakat dengan DAP menuju ke Putrajaya, yang jelas hari ini Pas sudah tersasar jauh daripada matlamat yang sebenar, maka wajib kita bersama UMNO dan BN, haram kita mengundi Pas pada PRU-13," tegas beliau.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment