Thursday 28 March 2013

PRU: Pilih calon muslim berwibawa


PUTRAJAYA - Umat Islam diingatkan supaya tidak memilih calon yang mendokong fikrah bertentangan dengan agama Islam seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Calon-calon yang dipilih juga hendaklah terdiri daripada mereka yang amanah, kuat bekerja, berakhlak, setia dan mengutamakan perpaduan serta kesejahteraan rakyat.

Hanya calon sedemikian mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik mengikut neraca syarak supaya agenda memartabatkan Islam terus kukuh di negara ini.

Peringatan tersebut terkandung di dalam resolusi Muzakarah Ulama anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang berlangsung di sini hari ini.

Muzakarah mengenai kewajipan mengundi calon muslim berwibawa itu dihadiri 40 ulama dari seluruh termasuk bekas Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Sheikh Ghazali Abd. Rahman; Mufti Sabah, Bungsu @ Aziz Jaafar; Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; dan Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias.

Pengerusinya, Dr. Aznan Hasan berkata, resolusi terbabit turut bersetuju menerima kewajipan mengundi calon muslim berwibawa pada PRU-13 demi memastikan agenda memartabatkan Islam terus kukuh.

Katanya, umat Islam perlu memilih calon yang memenuhi kriteria sedemikian tanpa mengira parti kerana mereka adalah harapan dalam memperjuangkan agenda dan kepentingan Islam.

"Tujuan utama resolusi dibuat adalah bagi menyedarkan umat Islam tentang pentingnya kita memilih calon muslim demi kelangsungan agama Islam di Malaysia.

"Ia juga bagi memastikan Malaysia ditadbir mengikut lunas-lunas syarak dan merealisasikan Perlembagaan Negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan," katanya kepada pemberita.

Menurut Aznan, muzakarah tersebut bersetuju menetapkan apabila seorang calon muslim berhadapan dengan seorang muslim yang lain maka umat Islam wajar memilih calon yang lebih berwibawa.

"Di kawasan yang majoritinya pengundi beragama Islam pula, maka hendaklah diletakkan calon Islam manakala di kawasan yang majoriti pengundi bukan Islam maka pemilihan calon hendaklah berdasarkan kepada parti yang paling kurang membawa mudarat kepada Islam," katanya.

Beliau berkata, calon-calon yang terpilih pula diseru memastikan calon perdana menteri, timbalan menteri serta menteri-menteri kanan mestilah dalam kalangan muslim berwibawa.

"Calon-calon muslim juga perlu bersepakat tanpa mengira latarbelakang dan prinsip perjuangan parti apabila berhadapan dengan kepentingan umat dan agama Islam," katanya.
Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment