Tuesday 26 March 2013

DAP tidak serius tarik pelabur ke Pulau Pinang


PULAU PINANG 26 Mac - Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam usaha mengekalkan kemasukan pelaburan asing ke negeri ini seperti yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Goh Kheng Sneah berkata, perkara itu dikukuhkan lagi dengan pendekatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dilihat lebih selesa berdiam diri daripada menjawab segala persoalan mengenai perkembangan ekonomi negeri.

Malah jelas beliau, pihaknya juga kecewa Guan Eng sehingga kini masih tidak menjawab mengenai pembatalan kontrak pelaburan sebuah syarikat asing berjumlah RM2.2 bilion.
"Kita mahu Guan Eng memberitahu berapa nilai sebenar pelaburan asing ke negeri ini bagi 2010 sehingga 2012 dan apakah fokus kerajaan negeri bagi nilai pelaburan tahun ini dan dua tahun akan datang.

"Semua ini penting kerana ia melibatkan soal ekonomi negeri yang nyata akan memberi kesan kepada seluruh rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khamis lalu, Kheng Sneah bersama Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye mendedahkan situasi semasa ekonomi negeri yang terus merudum selepas hanya mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM2.47 bilion tahun lalu berbanding RM9.11 bilion pada 2011 dan RM12.24 bilion (2010).

Beliau dalam pada itu menggesa Guan Eng dan seluruh kepimpinan negeri agar mempraktikkan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) yang dicanang-canang selama ini.

"Kalau benar mereka mengamal CAT, kita mahu Guan Eng secara jujur menjelaskan mengenai berapa jumlah kemasukan pelaburan asing ke negeri ini dan berapa jumlah pembatalan pelaburan asing yang direkodkan setakat ini.

"Kita tidak mahu kerajaan negeri hanya pandai mensensasikan kemasukan pelaburan asing yang belum pasti tetapi jumlah pelabur keluar disembunyikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga menyelar dakwaan yang menyatakan kerajaan negeri berjaya membawa masuk sebuah syarikat asing ke negeri ini.

"Kenyataan itu jelas tidak benar kerana syarikat yang dimaksudkan itu mempunyai operasi di China dan bukannya di negara ASEAN seperti yang didakwa," jelas Kheng Sneah. - UTUSAN

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment