Tuesday 26 March 2013

Nuri dinaik taraf, dijual



LANGKAWI 26 Mac - Kesemua 30 unit helikopter Nuri yang digunakan lebih 40 tahun lalu, akan ditambah baik serta dinaik taraf bagi membantu meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sebahagiannya akan dijual kepada negara ketiga mulai tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu selaras dengan program memobilisasikan aset ATM sedia ada termasuk melihat penggunaannya bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

Menurut beliau, meskipun usia helikopter berkenaan melebihi 40 tahun, namun masih berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk membantu menambah kekuatan pasukan keselamatan negara.

"Hasil perolehan jualan aset ini pula akan digunakan bagi pembelian aset lain yang kemampuannya sekurang-kurangnya setanding dengan Nuri," katanya kepada pemberita sewaktu meninjau Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, proses meningkatkan keupayaan helikopter itu termasuk melibatkan pertukaran empat bilah kipas kepada lima bilah menerusi teknologi baharu, meningkatkan sistem kokpit daripada analog kepada digital dan kotak gear yang boleh digunakan untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Katanya, kos bagi proses itu bergantung kepada sebut harga yang akan diperoleh kementerian tersebut daripada beberapa syarikat penyedia perkhidmatan.

"Selain untuk kegunaan Tentera Darat pada masa ini, kita juga menerima banyak tawaran daripada pihak yang berminat membeli helikopter itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment