Thursday 28 March 2013

Anwar Tidak Sesuai di Ipoh Timur

Karpal lebih sesuai di Ipoh Timur berbanding Anwar - Pemuda Pas


IPOH - Pas seolah-olah tidak menerima Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timur selepas menyifatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih sesuai bertanding di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, walaupun Anwar disebut-sebut bertanding di kawasan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut mampu memberi kemenangan di kawasan majoriti Melayu lain di negeri itu.

Menurutnya, meskipun yakin Anwar boleh menang sekiranya bertanding di kerusi itu, namun Anwar lebih dialu-alukan bertanding di kerusi majoriti Melayu atau bercampur seperti di Parlimen Lumut.

"Karpal pula lebih sesuai di Ipoh Timur kerana kita beranggapan beliau mampu meneruskan momentum kepimpinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berubah angin bertanding di Gelang Patah, Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Desas-desus Anwar akan bertanding kerusi Parlimen Ipoh Timur tersebar luas sebelum ini, malah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin kelmarin juga tidak menolak kemungkinan tersebut kerana mendakwa Anwar tidak yakin dengan sokongan orang Melayu termasuk di kubu kuatnya di Permatang Pauh.

Menurut Zulkifli, beliau difahamkan oleh rakan-rakannya dalam PKR Anwar mahu bertanding di Ipoh Timur kerana Ketua Pembangkang itu lebih yakin terhadap sokongan di kawasan majoriti bukan Melayu.

Ditanya mengenai dakwaan itu, Raja Ahmad Iskandar berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana pihaknya percaya Anwar boleh menang di mana-mana sahaja kawasan yang ditandingi di negeri itu.

"Kalau bertanding di Ipoh Timur pun, kita yakin beliau menang, tetapi kita harap beliau boleh membantu pakatan pembangkang di Perak merampas kawasan majoriti Melayu yang memerlukan kemenangan," jelasnya.

Menurutnya, kehadiran Anwar bertanding di Perak mampu memberi suntikan semangat kepada jentera pakatan pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kali ini.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment