Wednesday 27 March 2013

Hantar surat bubar DUN Negeri Sembilan


Seremban: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor, akan menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pembubaran DUN secara automatik esok.

Razak berkata, surat kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dihantar selewat-lewat hari ini untuk menyatakan bahawa DUN negeri ini sudah tamat tempoh dan kerajaan sementara ditubuhkan untuk menguruskan pentadbiran negeri.
Katanya, walaupun dari segi perundangan, tiada peraturan menetapkan bahawa surat itu perlu dihantar kepada SPR, secara kelaziman ia akan memaklumkan bahawa DUN sudah tamat tempoh.

Maklum kekosongan

“Memang lazim kita hantar surat seperti jika berlaku kekosongan kerusi apabila ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia. Yang Dipertua DUN akan menghantar surat rasmi kepada SPR menyatakan kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis anugerah khidmat cemerlang pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Menteri Besar, menyifatkan penghantaran surat kepada Pengerusi SPR sebagai budi bahasa dan amalan biasa walaupun tidak diperlukan kerana tiada peruntukan undang-undang mewajibkan berbuat demikian.

“Surat daripada Yang Dipertua DUN bukan kehendak undang-undang, tetapi kebiasaan. Bagaimanapun, kadang-kadang kebiasaan menjadi doktrin. Oleh itu, boleh saya katakan bahawa penghantaran surat itu sebagai amalan dan bukan kehendak perundangan,” katanya.

Katanya, penubuhan kerajaan sementara dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, penubuhan kerajaan sementara penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar hingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

“Mana boleh tidak ada kerajaan, siapa hendak bayar gaji, huru-hara nanti. Cuma kerajaan sementara tidak membuat dasar baru seperti mengubah kadar cukai tanah atau meluluskan pemberian tanah,” katanya

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment