Sunday 24 March 2013

Ramuan Rahsia Kemenangan PRU-13

Calon Mampu Menang Diutamakan

7 ramuan penting untuk capai kemenangan dalam pilihan raya

Banyak faktor yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya. Satu daripadanya ialah calon. Kini, semua orang bercakap tentang calon mampu menang atau 'winnable candidates'. Sesungguhnya, bukan semua calon mampu menang. Hanya calon yang memiliki kriteria dan ciri tertentu boleh menang.

Itulah sebabnya parti politik, tidak kira Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang begitu berhati-hati memilih calon. Untuk itu, ada yang melakukan penyelidikan bagi mendapatkan maklum balas mengenai calon yang paling sesuai. Tidak hairanlah, pada ketika tertentu sebelum pilihan raya ada parti yang menyenarai pendek hingga tujuh orang calon.

Faktor bila pengundi membuat keputusan membayangkan faktor yang menjadi perhitungan mereka. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), sebanyak 26 peratus calon membuat keputusan sebelum Parlimen dibubarkan, waktu bubar tujuh peratus, selepas penamaan calon 25 peratus, waktu kempen 25 peratus dan pada hari pengundian 10 peratus. Golongan ini merupakan golongan terpelajar, terdedah kepada isu semasa, banyak menggunakan media baru dan media alternatif, sofistikated, kritis, malah skeptis terhadap kerajaan dan besar kemungkinan meragui serta mencabar pihak berkuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah menggariskan tujuh ramuan penting untuk kemenangan pilihan raya umum akan datang. Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, tujuh ramuan itu ialah bersatu demi kemenangan parti; bersetia kepada parti dan pemimpin; berkhidmat dengan sepenuh hati kepada parti dan rakyat; berjihad demi parti; berusaha menjadi ahli pasukan parti yang bagus; reda dan bertawakal.

Menurut Muhyiddin, berdasarkan tujuh ramuan itu, beliau meletakkan sasaran UMNO menang majoriti dua pertiga. Beliau menekankan aspek bersatu demi kemenangan parti dengan menerima sesiapa saja yang dipilih menjadi calon.

Pelbagai pihak telah mengemukakan pelbagai kriteria. Namun, yang perlu kita sedari dan akui ialah berbeza daripada dulu, bukan sembarangan calon boleh menang. Dulu, pengundi cenderung memilih parti, jadi jika pun parti mengemukakan calon yang tidak begitu menepati kriteria, pengundi tetap memilih calon berkenaan – kerana mereka cenderung memilih parti daripada individu atau calon ekoran daripada sosialisasi politik yang berkesan dan keyakinan tinggi terhadap parti terbabit.

Landskap politik berubah

Dengan landskap politik yang sudah jauh berubah, parti tidak lagi mengambil mudah calon yang bakal bertanding. Sebab, jika tersilap perhitungan, calon boleh kalah, dan akhirnya membawa implikasi dan kesan besar kepada parti. Parti boleh kalah jika ramai calon kalah.

Faktor bila pengundi membuat keputusan membayangkan faktor yang menjadi perhitungan mereka. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), sebanyak 26 peratus calon membuat keputusan sebelum Parlimen dibubarkan, waktu bubar tujuh peratus, selepas penamaan calon 25 peratus, waktu kempen 25 peratus dan pada hari pengundian 10 peratus. Golongan ini merupakan golongan terpelajar, terdedah kepada isu semasa, banyak menggunakan media baru dan media alternatif, sofistikated, kritis, malah skeptis terhadap kerajaan dan besar kemungkinan meragui serta mencabar pihak berkuasa.

Apakah implikasi statistik ini? Hal ini bermaksud, pada pilihan raya lalu, sebahagian besar pengundi membuat keputusan selepas Parlimen dibubarkan, malah jumlah yang begitu besar mengambil kira faktor calon. Hakikatnya, mereka yang membuat keputusan selepas penamaan calon bermaksud, golongan ini mengambil serius faktor personaliti, kelayakan dan imej calon; berbanding mereka yang membuat keputusan pada waktu kempen yang mempertimbangkan faktor isu, calon dan parti. Manakala yang membuat keputusan pada saat-saat akhir, iaitu pada hari pengundian, mengambil kira soal isu yang berbangkit pada ketika itu. Golongan ini adalah pengundi yang mempunyai tahap celik politik yang tinggi.

Pemimpin tak disenangi perlu undur

Kita dapat memahami dilema Perdana Menteri kerana beliau sedar bahawa dengan apa cara sekalipun, UMNO dan BN perlu terus menguasai Putrajaya. Itulah sebabnya, sejak beberapa bulan lalu terutamanya, beliau begitu menekankan isu calon yang mampu menang. Siapakah calon yang boleh menang? Adakah calon muda dijamin menang? Hakikatnya, muda atau tua bukan relevan sangat. Yang menjadi perkiraan pengundi ialah calon yang sudah terlalu lama mewakili kawasan terbabit, tidak memperlihatkan prestasi baik dan sudah pencapai tahap antiklimaks perlu digugurkan, termasuk mereka yang pernah menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri dan tidak lagi berpotensi untuk meningkat maju dalam politik. Mereka dalam golongan ini perlu sedar diri dan tidak menyusahkan parti dengan sukarela mengundur diri daripada meletakkan pemimpin parti dalam dilema.

Lebih buruk lagi ialah jika calon terbabit tidak disenangi kerana beberapa faktor, termasuk tidak turun padang, gagal menunai janji, angkuh, tidak mesra pengundi dan melakukan tindakan atau melemparkan kenyataan yang melukai hati pengundi. Pengundi muak dengan calon yang sudah terlalu lama mewakili mereka serta gagal membawa sebarang pembaharuan dan pembangunan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan dan Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sarawak

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment