Friday 29 March 2013

Wan Azizah Harap Sokongan Bukan Melayu


Antarapos – Penganalisis politik membayangkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan memilih kawasan yang mempunyai taburan pengundi majoriti bukan Melayu tertinggi di Selangor.
Menurut Profesor Dr Mohd Azizudin Mohd Sani, kredibiliti Wan Azizah dikalangan pengundi Melayu sedikit tercalar memandangkan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sering dikaitkan dengan salah laku moral.
“Justeru sebagai presiden parti, Wan Azizah mencari kerusi selamat di Selangor lebih-lebih lagi negeri itu kini ditadbir oleh pembangkang selepas mengumumkan untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Beliau berkata adalah menjadi keperluan untuk Wan Azizah bertanding dalam pilihan raya, jika tidak beliau akan dianggap sebagai ‘hiasan’ dengan memegang jawatan tertinggi dalam PKR.
“Sebagai presiden parti, dia sepatutnya bertanding. Kalau tidak, tak perlu jadi presiden parti, bagi Anwar Ibrahim ke atau sesiapa yang layak.
“Saya jangkakan mungkin bertanding di kawasan campuran, yang ada pelbagai kaum, yang majoriti bukan Melayu mungkin ramai, mungkin di situ mampu tarik sokongan pengundi,” kata beliau ketika dihubungi.
Wan Azizah dilarang bertanding semula di kerusi parlimen kerana telah melepaskan kerusi Permatang Pauh pada Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya kecil.
Perkembangan ini sedikit mengejutkan apabila Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada bulan lalu mengumumkan bahawa nama Wan Azizah tidak tersenarai dalam calon PKR kerana beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kali ini dengan alasan untuk fokus kepada tanggungjawab sebagai presiden parti.
Dalam masa yang sama terdapat khabar angin bahawa Wan Azizah didesak oleh akar umbi untuk mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak.
Mohd Azizudin seterusnya menyifatkan keputusan Wan Azizah untuk bertanding di DUN Selangor bukan jaminan bahawa beliau akan menang di mana-mana kerusi.
Sama ada menang atau tidak, bergantung kepada kawasan tersebut, sejauh mana pendekatan yang diguna, kalau bertanding di kawasan yang memang kubu kuat BN atau Umno, agar sukar untuk menang.
Beliau seterusnya menolak kemungkinan Wan Azizah bertanding sebagai calon Menteri Besar Selangor kerana ia merupakan satu tugas yang berat dan personalitinya yang tidak sesuai.
Wan Azizah yang juga bekas ketua pembangkang pertama kali terjun bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999 dan berjaya mempertahankannya selama tiga penggal berturut-turut.

No comments:

Post a Comment