Tuesday 26 March 2013

Tanda Gendang PRU 13 Dipalu


Pejabat Peguam Negara keluar garis panduan kerajaan sementara


KUALA LUMPUR 26 Mac - Kerajaan akan meminta Pejabat Peguam Negara menentukan garis panduan tertentu bagi membolehkan kerajaan sementara di peringkat Persekutuan mahupun negeri bertindak melaksanakan pentadbiran selepas pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, garis panduan itu adalah sebagai rujukan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilaksanakan sebagai sebuah kerajaan sementara.

Mengambil contoh DUN Negeri Sembilan yang akan mencapai tempoh matang esok, jelasnya, kerajaan negeri itu akan bertindak sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya umum diadakan.

"Saya tak nampak apa-apa masalah kerana ada 60 hari untuk pilihan raya diadakan selepas DUN dibubarkan. Kita akan minta Pejabat Peguam Negara menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara.

"Tetapi apa jua perkara yang telah diputuskan iaitu sebelum menjadi kerajaan sementara, itu boleh dilaksanakan kerana sesebuah kerajaan tersebut hanya meneruskan apa yang telah diputuskan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili kerajaan menandatangani perjanjian bersama Pertubuhan Rundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) bagi membolehkan Pusat Penimbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) terus melaksanakan fungsinya di negara ini, di sini hari ini.

Perjanjian itu adalah sebagai memperbaharui perjanjian sama yang pertama kali ditandatangani pada 1978.

Dalam majlis itu, AALCO diwakili Setiausaha Agungnya, Prof. Rahmat Mohamad dan disaksikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah KLRCA, Datuk Sundra Rajoo.

DUN Negeri Sembilan akan mencapai tempoh matang esok dan sebuah kerajaan sementara akan diwujudkan sehari selepas itu.

Mohamed Nazri berkata, menerusi pengalaman terdahulu, sebarang gerak kerja kerajaan sementara itu hanya berlandaskan kepada sebuah konvensyen, sama seperti apa yang dipraktikkan di United Kingdom dan Australia.

Mengenai cadangan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah supaya kerajaan mengeluarkan MyKad baharu untuk mengenal pasti penduduk sah di negeri itu, katanya, perkara tersebut bukannya sesuatu yang mudah dilaksanakan.

"Ia bukan keputusan kerajaan. Itu cadangan parti-parti berkenaan. Saya rasa ia bukannya sesuatu yang mudah kerana melibatkan undang-undang," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan komited untuk menggubal undang-undang timbang tara dengan menyemak Akta Penimbang Tara 2005 dan pindaan 2011. - UTUSAN


Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment