Monday 25 March 2013

Glamor wanita pertama China

Peng Liyuan


Peng Liyuan tunjuk penampilan berbeza daripada tokoh sebelumnya

Beijing: Wanita Pertama baru China, Peng Liyuan, yang disifatkan glamor dianggap bintang diplomasi terbaru negara itu.

Peng dikatakan menunjukkan penampilan berbeza ketika mengiringi suaminya dalam lawatan ke Russia.
Peng, 50, yang sering dipaparkan televisyen diberi liputan besar media ketika menyertai Presiden Xi Jinping ke Moscow, lawatan rasmi pertama Xi sejak menjadi presiden awal bulan ini.

Peng menyaksikan persembahan tarian dan lagu di sebuah sekolah seni kelmarin tetapi tidak mengambil bahagian bersama pelajar.

Xi akan meneruskan lawatan ke Tanzania, Afrika Selatan dan Congo dengan Peng dijangka menghadiri majlis awam.

Akhbar China menyiarkan gambar Xi dan Peng turun berpegangan tangan dari pesawat sebaik tiba di Moscow, Jumaat lalu. Stesen CCTV menyiarkan laporan utama mengenai lawatan Peng ke sekolah seni berkenaan.

Tabloid Beijing News menyiarkan satu muka penuh berita mengenai Peng selain fotonya ketika Xi memberi ucapan.

Kuasa lembut

“Peng Liyuan menunjukkan kuasa lembut China sebagai Wanita Pertama ketika melawat negara asing,” kata akhbar itu yang memetik Wang Fan, Ketua Institut Hubungan Antarabangsa di Universiti Hal Ehwal Luar China sebagai berkata.

“Peng mempunyai imej yang terbaik di kalangan orang awam kerana latar belakangnya sebagai p penyanyi dan aktivis membanteras kemiskinan,” kata Wang.

Sebahagian besar liputan diberi kepada gayanya dengan laman web sina.com memuji pakaiannya adalah buatan firma tempatan di Chengdu, berbeza dengan ahli politik wanita China yang sering menggunakan jenama asing.

Sokong industri tempatan

“Beliau menunjukkan sokongan besar kepada industri tempatan China selain meningkatkan keyakinan diri dan rasa hormat rakyat China,” menurut satu ulasan di laman mikroblog Weibo oleh Lin Zhibo, ketua biro Parti Komunis di Gansu kepada People’s Daily.

Isteri pemimpin kanan China biasanya tidak diberi liputan meskipun mengiringi suami mereka ke negara luar.

Ia paling jelas dalam kes isteri Mao Zedong, Jiang Qing yang dibenci dan kemudian dipenjara kerana menindas musuh politik ketika Revolusi Budaya 1966-76.

Dalam kes lain, isteri bekas Perdana Menteri, Wen Jiabao, Zhang Peili, tidak pernah muncul di khalayak ramai bersama suaminya. - AP

No comments:

Post a Comment