Friday 29 March 2013

Kerajaan Sementara Berkuasa


Kuasa Di Bawah Kerajaan Sementara

BELUM pernah terjadi dalam mana-mana siri pilihan raya umum lepas, Perdana Menteri ke luar negara dalam tempoh 'kerajaan sementara atau kerajaan interim' (caretaker government) ini.

Kalau hendak ditandatangani perjanjian dengan negara luar memang tidak dibenarkan. Dalam perkara seperti itu, kerajaan sedia ada tidak ada kuasa penuh ekoran Parlimen sudah habis mandat.

"Bagaimanapun kalau Perdana Menteri nak jadi mediator (perantara) untuk proses perundingan antara kerajaan Thailand dan puak pemisah di selatan negara itu, beliau masih boleh ke sana (Bangkok). Sebabnya, beliau tidak ada memeterai apa-apa perjanjian," kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada Utusan Malaysia semalam.

Bercakap dari Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Rais yang juga penyelidik undang-undang antarabangsa mengakui beliau agak tersentak dengan dakwaan seorang 'pakar perlembagaan' dari pakatan pembangkang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadi sebuah kerajaan haram dengan terbubarnya DUN negeri itu semalam.

"Saya hairan dan musykil kenapa taraf profesor sepertinya sanggup guna istilah haram. Kerajaan haram dan kerajaan sementara ada bezanya.

"Haram, maknanya tak sah dari segi undang-undang tetapi kerajaan negeri wujud lantaran konvensyen dan peruntukan undang-undang, ahli exco dilantik dan menteri besar tetap wujud sehingga barisan Exco baru wujud susulan pilihan raya mendatang.

"Dr. Aziz Bari muslihatkan istilah kerajaan sementara atau cakap sesedap pulangan bangkangan. Pulangkanlah balik (istilah ini) pada undang-undang dan telaahlah undang-undang Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri," katanya.

Rais seterusnya menarik perhatian rakyat negara ini tentang makna atau maksud sebenar kerajaan sementara.

Konsep dan amalan kerajaan sementara adalah amalan di seluruh kawasan dan sistem kerajaan yang berlandaskan demokrasi Westminster.

Westminster bermakna apabila pembubaran Parlimen itu diumumkan oleh pihak berdaulat iaitu Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri yang diwakili oleh Perdana Menteri, maka pada tarikh dikuatkuasakan pembubaran itu sehingga selesai PRU-13 dan terbentuk Kabinet baru, maka tempoh itu dinamakan kerajaan sementara. Ini sudah terpakai sejak kerajaan mengamalkan demokrasi lagi.

"Jadi, tidaklah betul apabila Parlimen dibubarkan, maka DUN terbubar sama. Itu hanya betul apabila Parlimen dan DUN bersama dari segi pemerintahan dan Parlimen, maka ia bebas sebab di Pusat, pihak berkuasanya ialah BN.

"Sedangkan di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ialah pembangkang. Jadi, kalau di Malaysia tarikh 28 April (2013) ini adalah hari terakhir berkuasa Parlimen. Bagi negeri-negeri lain ada tarikhnya yang tertentu, misalnya di Negeri Sembilan habislah edahnya semalam," kata beliau.

Dalam kerajaan interim yang mengambil fungsi sementara, ada beberapa perkara harus dihormati:

n Sebagai konvensyen, tidak ada dasar-dasar baru diumumkan dan tiada perbelanjaan besar yang dibelanjakan daripada wang yang disatukan. Melainkan perbelanjaan itu tertakluk kepada keputusan dasar sebelumnya. Mengambil contoh BR1M1 dan BR1M2, tiba-tiba Parlimen dibubarkan, maka tidak boleh dilaksana BR1M3.

n Semasa tempoh kerajaan interim, kerajaan BN hanya menguruskan pentadbiran negara atau negeri mengikut lunas-lunas, dasar-dasar dan amalan yang diluluskan sebelumnya. Dengan perkataan lain, dalam tempoh kerajaan sementara, kuasa substantif Parlimen tidak ada lagi - terhenti. Dalam tempoh itu perlu berwaspada.

Contohnya, kes Harris Salleh lawan The Returning Officer, Ismail Majin & Ors (2001). Kes ini memberi nas bahawa bukan sahaja calon, wakil-wakil calon pun perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas untuk membantu calon. Ini untuk mengelak daripada menyalahi Akta Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Akta 1954.

Ini memandangkan wakil calon mungkin melanggar syarat-syarat dan timbulkan suasana rasuah serta salah guna kuasa dalam urusannya. Ejen-ejen mereka tidak boleh menyogok meskipun calon bertanding tidak melakukan perbuatan itu.

n Apabila Parlimen dibubarkan, kuasa eksekutif penyandang kerajaan masih ada. Kuasa Kabinet, Menteri dan pegawai kerajaan masih ada. Cuma jangan menyalahi undang-undang peruntukan pilihan raya dan dijauhkan sogokan dan janji berjanji untuk kemenangan seseorang calon termasuk menggunakan pengaruh.

n Setelah itu, tempoh kerajaan interim bergantung kepada satu-satu negeri tertakluk kepada undang-undang di Malaysia. Jika Yang di-Pertuan Agong berkenan Parlimen dibubarkan, maka dari tempoh itu ada 60 hari untuk pilihan raya. Semasa PRU 1969, tempoh sebulan diberikan.

Namun, sekarang tidak perlu berkempen lagi sebab semua pihak sudah lama bersedia untuk pilihan raya. Maka, adalah bijak jika SPR kendalikan PRU dalam masa singkat.

Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara?

n Selesaikan semua komitmen yang diputuskan sebelum ini. Dasar-dasar baru harus dielakkan. Bukan perjanjian baru.

n Teruskan pentadbiran seperti biasa, lunaskan bayaran yang diluluskan sebelum ini, sampaikan bantuan kebajikan yang belum dilaksanakan.

n Bayaran BR1M dan bayaran gaji termasuklah sekiranya timbul huru-hara, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika didapati negara dalam kacau-bilau di bawah Perkara 105.

Tetapi baginda tidak boleh bertindak sendirian dalam semua hal berhubung pentadbiran negara termasuk darurat. Di bawah Perkara 40, baginda akur nasihat Perdana Menteri yang mewakili jemaah menteri.

n Polis, tentera serta askar wataniah beroperasi seperti biasa. Tetapi jika diserang, ia berkuasa bertindak mengikut lunas undang-undang.

n Semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dibenarkan guna nama jawatan dalam borang pencalonan jika bertanding dalam PRU ini.

n Dalam kerajaan interim, kuasa Jemaah Menteri tidak terjejas. Tetapi, ia tidak boleh mengikut dasar-dasar baru. Di bawah perkara 43, pelantikan Kabinet adalah sehingga tertubuhnya kerajaan baru. Kuasa dasar baru tidak ada.

n Sebagai konvensyen juga, pembayaran besar kepada negeri-negeri dan institusi-institusi yang diiktiraf di bawahnya tidak dapat dilakukan semasa kerajaan sementara.

n Kabinet boleh bersidang seperti biasa jika diperlukan berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

n Peguam Negara masih penasihat undang-undang negara. Beliau masih boleh membuat pendakwaan atas kesalahan yang difikirkan wajar. Ini bermakna proses pendakwaan ke atas pengganas Sulu boleh diteruskan. Proses penjagaan pentadbiran undang-undang tidak ada cuti.

n Mana-mana menteri dan timbalan menteri boleh menjalankan program bantuan/saraan. Ini terkandung dalam kes Tengku Razaleigh (1984) yang diputuskan sebelum DUN bubar. Membantu tidak ada isu kecuali diumumkan perkara yang besar.

n Malah Menteri Dalam Negeri boleh mengeluarkan arahan berhubung perintah tahanan.
Kata Rais lagi: "Semua Belanjawan 2013 yang diluluskan boleh digunakan pada pilihan raya kali ini. Cuma, jangan kaitkan dengan kemenangan atau janji.

"Kalau setakat sampaikan bantuan tidak jadi hal. Dan tema BN 'Janji Ditepati' boleh digunakan di bawah kerajaan sementara ini. Tetapi jangan sebut 'saya' bagi peruntukan, tolong undi si anu-si anu tu, jangan kaitkan dengan janji'."

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment