Wednesday 27 March 2013

Jepun kaji sistem undi


Tokyo: Kerajaan Jepun semalam berjanji akan mengkaji sistem pengundian negara itu selepas mahkamah memutuskan beberapa keputusan pilihan raya umum tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.

Selama dua hari sesi keterangan, hakim di barat Jepun berkata jurang besar dalam bilangan pengundi di kawasan berbeza bermakna nilai setiap undian terlalu banyak berbeza.
Di sebalik arahan yang menjejaskan tiga kerusi itu, keputusan pilihan raya umum Disember lalu yang meletakkan Perdana Menteri, Shinzo Abe, kembali berkuasa tidak akan ditarik balik.

Keputusan digantung

Keputusan digantung serta-merta sehingga mahkamah agung mengeluarkan arahan mengenainya, acara yang dijadualkan mengambil masa sehingga akhir tahun ini.

“Kami menerima keputusan mahkamah dan akan mengambil langkah sesuai selepas meneliti perkara berkenaan,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, pada sidang media di sini, semalam.

Arahan itu adalah yang terbaru dalam siri kemenangan bagi kumpulan yang mengandungi peguam dan sarjana Perlembagaan yang mendakwa tidak bermotifkan politik.
Sesi keterangan terdahulu mengisytiharkan pilihan raya berada dalam keadaan tidak mematuhi Perlembagaan tetapi membenarkan keputusan. Keputusan kelmarin di Hiroshima adalah yang pertama keputusan diisytiharkan tidak sah.

Beri tekanan moral

Pemerhati berkata, cabaran perundangan bertujuan memberi tekanan moral kepada ahli politik semua parti untuk mengubah sistem pengundian yang lebih memihak kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Aktivis mahu sempadan kawasan dilukis semula untuk lebih mencerminkan pengagihan penduduk terkini, yang berubah secara dramatik sejak beberapa dekad lalu apabila Jepun menjadi negara maju.

Pengulas berkata, kecenderungan untuk mendapatkan persetujuan sebulat suara bermakna keadaan mungkin diperbetulkan sebelum ia kembali ke titik yang menyaksikan mahkamah agung menarik balik keputusan pilihan raya. AFP

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment