Friday 22 March 2013

ESSCOM Perlu Kekal Di Sabah



ANCAMAN keselamatan yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas Kiram di Sabah telah membuka dimensi baharu dalam sejarah negara dan memerlukan pendekatan berbeza untuk menanganinya.


Langkah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) seperti yang diumumkan kerajaan pasti disambut baik oleh penduduk di kawasan terbabit serta seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
Bekas Ketua Polis Negara, TAN SRI ABDUL RAHIM NOOR yakin rangkaian perisikan yang cekap oleh kesemua agensi di bawah ESSCOM berupaya mengekang serangan susulan oleh kumpulan pengganas itu.
Seperti yang dijelaskan beliau dalam wawancara khas bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, NASIRRUDDIN YAZID di Damansara Utama, Petaling Jaya kelmarin, operasi risikan yang mantap dan tindakan susulan yang pantas adalah kunci utama kepada keberkesanan ESSCOM.
UTUSAN: Apa pandangan Tan Sri tentang ESSCOM dan perbezaannya dengan RASCOM?
ABDUL RAHIM: Saya amat bersetuju dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Ada pihak mengatakan ESSCOM harus menimba pengalaman atau mengambil contoh daripada wadah yang hampir serupa fungsinya iaitu Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) yang dilaksanakan kerajaan untuk membanteras ancaman pengganas komunis di Sarawak.

Pada pandangan saya, masalah keselamatan di timur Sabah adalah jauh berbeza dengan masalah ancaman komunis di Sarawak dahulu. Begitu juga dengan masalah ancaman pengganas yang pernah kita hadapi di Semenanjung Malaysia, berbeza jika dibandingkan dengan timur Sabah.

RASCOM bertujuan mematahkan perjuangan bersenjata oleh Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) untuk merampas kuasa dan seterusnya menubuhkan sebuah kerajaan berteraskan ideologi komunis.

Usaha kerajaan melumpuhkan ancaman komunis di Sarawak tidak membabitkan mana-mana negara luar walaupun boleh dikatakan PKKU, secara longgar, mendapat sokongan moral dari China dan sedikit sebanyak dari Indonesia semasa pemerintahan Presiden Sukarno. Sebaliknya, langkah menangani isu keselamatan di timur Sabah menyentuh hubungan luar dengan Filipina dan rumpun bangsa Sulu.

Sebahagian orang Sulu dari selatan Filipina telah berhijrah dan menetap di sekitar kawasan timur Sabah sejak sebelum penubuhan Malaysia, manakala sebahagian besar mereka kekal di selatan Filipina yang lokasinya amat dekat dengan timur Sabah.

Satu perkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah kaitan penubuhan ESSCOM dengan isu tuntutan orang Sulu di selatan Filipina yang menggelarkan diri mereka waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah. Kata mereka, Sabah merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu. Dua aspek inilah yang membezakan penubuhan ESSCOM dan RASCOM.

Perlukah ESSCOM dikekalkan selepas ancaman kumpulan pengganas Kiram berjaya dihapuskan?

ABDUL RAHIM: ESSCOM perlu dikekalkan untuk suatu tempoh lanjutan walaupun Operasi Daulat yang dilancarkan sekarang berjaya menghapuskan saki-baki kumpulan pengganas Kiram yang sedang kita hadapi sekarang. Dari perspektif yang saya sebut tadi, tidak mudah untuk mengagak bilakah ancaman keselamatan di timur Sabah akan selesai.

ESSCOM mesti terus berperanan sehingga satu tempoh apabila keselamatan di timur Sabah dapat dipulihkan buat selama-lamanya. Ini walaupun aset-aset yang ditumpukan di timur Sabah melibatkan kos yang tinggi.

Wajarkah kerajaan menghentikan pembayaran ufti tahunan kepada waris Kesultanan Sulu?
ABDUL RAHIM: Sudah tiba masanya kerajaan menghentikan bayaran tahunan ini yang telah dimulakan oleh Syarikat Borneo Utara British dan diteruskan selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia. Difahamkan, kerajaan membuat pembayaran dengan patuh dan tidak pernah tertunggak.

Amalan pembayaran ufti yang berterusan sejak 1878 semacam memberi harapan tanpa batasan kepada pihak yang mendakwa mereka waris Kesultanan Sulu. Walaupun jumlah ufti sebanyak RM5,300 itu tidak sebesar mana, pihak yang dikatakan waris Kesultanan Sulu melihatnya sebagai pengakuan Malaysia terhadap kedaulatan mereka ke atas Sabah.

Ini boleh diputar-belit oleh mereka untuk memanaskan sesuatu keadaan, jika perlu. Ia juga boleh dipolitikkan untuk membakar semangat pengikut-pengikut mereka.

Contohnya, mereka beranggapan kerajaan Malaysia perlu membayar ufti yang lebih besar kepada mereka. Kononnya, semasa rundingan selama tiga minggu di Lahad Datu, Raja Muda Azzimudie menuntut bayaran lump sum sebanyak AS$24 bilion jika mahu mereka menggugurkan isu tuntutan ke atas Sabah. Ini pun hanya satu daripada beberapa tuntutan lain oleh kumpulan pengganas Kiram ini.

Saya juga dengar, ada di antara pengganas itu telah menjualkan sedikit harta mereka di selatan Filipina setelah termakan dengan janji akan upah yang sangat lumayan setelah misi mereka di Lahad Datu berjaya. Pendek kata, pembayaran tahunan ufti ini ibarat saham blue chip kepada para waris Kesultanan Sulu.

Kita juga mesti menghentikan pembayaran ufti atas sebab Malaysia ialah negara berdaulat. Penduduk Sabah sudah merdeka menerusi penyertaan negeri itu dalam Malaysia pada 1963. Kehendak rakyat Sabah ini telah dizahirkan menerusi pungutan suara Suruhanjaya Cobbold dan disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun saya tidak pasti sama ada status wilayah Kesultanan Sulu terangkum dalam kerangka perlembagaan negara Filipina sekarang, kerajaan Filipina tidak lagi melantik Sultan Sulu selepas kemangkatan sultan terakhir, Sultan Mahakutta Mohamad Kiram, pada 1986. Jadi ertinya kerajaan Filipina sendiri tidak lagi mengiktiraf kewujudan Kesultanan Sulu, kenapa pula kita perlu meneruskan pembayaran ufti ini?

Pakar undang-undang Malaysia tentu boleh menentukan apakah ada klausa dalam perlembagaan Filipina yang memberi erti wilayah selatan Filipina sampai ke Sabah, yakni selari dengan apa yang dituntut oleh waris Kesultanan Sulu.

Bersandarkan tiga sebab itu, saya melihat pembayaran ufti ini, jika diteruskan, akan menimbulkan masalah terhadap keselamatan negara untuk jangka panjang. Ia menjadi duri dalam daging kepada kita. Janganlah kita lupa, perkara ini sangat berkait rapat dengan naluri, kelakuan dan sifat semula jadi orang Sulu. Mereka sangat teguh dengan semangat perjuangan terhadap sesuatu yang diperjuangkan mereka.

Boleh Tan Sri jelaskan lebih lanjut tentang kaitan antara naluri atau sikap orang Sulu dengan isu keselamatan di Sabah?

ABDUL RAHIM: Rata-rata suku kaum Sulu ini diketahui mempunyai sifat suka berdendam. Perasaan dendam itu membara jika mereka berasa hampa kerana gagal sesuatu yang dianggap sangat penting bagi mereka. Sifat semula jadi mereka suka memimpin daripada dipimpin.

Orang Sulu rata-rata tidak suka sekadar menjadi pengikut sahaja. Pergolakan politik di selatan Filipina sejak penubuhan negara moden Filipina sangat jelas mencerminkan keadaan ini, selain adanya faktor-faktor lain yang turut menyebabkan pergolakan itu. Maka, kita juga perlu memahami dan memberi perhatian terhadap naluri atau sifat-sifat semula jadi orang Sulu ini dalam merangka dasar-dasar pelaksanaan ESSCOM.

Hakikat bahawa mereka adalah kumpulan etnik beragama Islam yang besar di Sabah tidak boleh dipandang remeh. Orang Sulu yang menetap di Sabah menjadi warganegara selepas Malaysia ditubuhkan. Semasa pentadbiran Sabah di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang juga berdarah Sulu, sebagai Ketua Menteri, penghijrahan orang Sulu ke Sabah berterusan secara mendadak.

Ini pokoknya, disebabkan dasar-dasar kerajaan Filipina di bawah Presiden Ferdinand Marcos. Mencurah-curah orang Sulu mencari perlindungan di Sabah ekoran tekanan-tekanan ketenteraan oleh kerajaan Filipina ke wilayah selatan negaranya ketika itu.
Ini menyentuh gerakan bersenjata yang dilancarkan oleh penduduk Islam selatan Filipina di bawah kesatuan bangsa Moro untuk berpisah daripada Filipina. Etnik Sulu terangkum di bawah erti bangsa Moro.

Nama Nur Misuari, salah seorang pemimpin mereka memang tidak asing bagi orang Malaysia. Kampung Seri Jaya, Simunul di Semporna, yang menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan kita dengan kumpulan pengganas Kiram baru-baru ini, sebetulnya ialah salah satu tempat perlindungan pendatang dari selatan Filipina waktu itu. Nama Simunul itu sendiri ialah bersempena nama Simuni di Pulau Tawi-Tawi.

PBB mengiktiraf Kg. Seri Jaya Semunul sebagai tempat penempatan sementara pelarian dari selatan Filipina. Kerajaan membantu mereka atas dasar kemanusiaan selain faktor hubungan darah dan sejarah antara orang Sulu yang sedia menjadi warganegara kita di Sabah dan mereka yang melarikan diri dari ‘bahang’ di selatan Filipina.

Apakah yang mungkin berlaku jika kerajaan Malaysia tidak lagi membayar ufti kepada waris Kesultanan Sulu?

ABDUL RAHIM: Pada pendapat saya, memang boleh timbul kesan terhadap keselamatan negara jika kerajaan menghentikan pembayaran ufti. Maksud saya begini, jika dalam keadaan di mana kerajaan Malaysia patuh membayar ufti pun mereka telah menimbulkan keadaan huru-hara, inikan pula bila bayaran itu dihentikan. Sudah tentu mereka naik darah. Semangat penentangan, seperti yang telah ditunjukkan terhadap kerajaan pusat mereka, pasti akan dihadapkan terhadap pihak berkuasa kita.

Tetapi, sebagai sebuah negara berdaulat, kerajaan kita mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Kerajaan jangan gentar. Adalah menjadi tugas pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengatasi ancaman keselamatan yang dijangka timbul.

Itulah sebabnya ESSCOM, seperti yang dikatakan tadi, tidak boleh dibubarkan selepas ancaman kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Sabah ini ditumpaskan.

Pelbagai kemungkinan lain juga boleh timbul. Waris Kesultanan Sulu mungkin meneruskan tuntutan itu menerusi kaedah diplomatik. Tidak semestinya dengan kekerasan sahaja. Misalnya, mereka boleh mengadu kepada PBB untuk mencabar keputusan kerajaan Malaysia.

Yang cukup saya bimbang, mereka akan bersikap seperti sore losers (tidak menerima kekalahan secara baik) dan menyimpan dendam kesumat untuk jangka masa panjang. Dalam reaksi spontan, mereka mungkin bertindak balas dengan menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara kita khususnya di Sabah.

Lebih parah lagi, saya juga khuatir pihak lain yang mempunyai hubungan dengan gerakan militan di selatan Filipina, seperti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), masuk campur dalam isu ini. Akan timbullah keadaan di mana pihak berkuasa keselamatan kita kena berdepan dengan native cunningness kaum Sulu ini yang bakal terserlah dalam taktik-taktik perjuangan politik dan militan mereka.

Tidakkah pemimpin MNLF, Nur Misuari telah membuat kenyataan baru-baru ini bahawa pihaknya akan menghantar lebih ramai orang Sulu sekiranya pasukan keselamatan Malaysia membunuh pengganas-pengganas Kiram? Terkini dia kata Malaysia mendalangi kegiatan MILF untuk kekal ‘menjajah Sabah’.

Bagi saya ini jelas satu native cunningness yang termaksud tadi. MNLF telah pun menyatukan dirinya dan perjuangannya dengan perjuangan waris Kesultanan Sulu. Individu-individu tertentu di Malaysia, yang satu masa dulu pernah rapat dengannya, sudah tentu tersentak, terpegun atau sekurang-kurangnya tertelan air liur gara-gara perang saraf Nur Misuari itu.

Dalam perspektif ini, mereka mungkin menyasarkan lokasi-lokasi strategik seperti kawasan tumpuan orang ramai di Sabah seperti pasar, perhentian bas dan sebagainya. Bukan susah untuk buat bom zaman sekarang. Sesiapa sahaja boleh cari di Internet tentang cara menghasilkan bom buatan sendiri.

Pengganas yang dihantar mungkin membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dilatih sebagai pengebom, termasuk pengebom berani mati di lokasi-lokasi tertentu itu. Orang awam yang tidak berdosa akan terkorban. Kita dapat melihat taktik serupa ini berleluasa di selatan Thailand, Iraq, Afghanistan dan Palestin sekarang. Ancaman keselamatan angkara kumpulan pengganas skala ini sangat berbeza dengan pengalaman keganasan PKM dahulu.

Janganlah kita alpa, pelantar-pelantar minyak di Sabah juga akan terdedah kepada serangan pengebom berani mati. Kita jangan ketepikan kemungkinan ini. Sekarang ini, serangan berani mati atas alasan perjuangan politik atau bersifat patriotisme semacam satu perkara lumrah.

Bukan niat saya hendak menakut-nakutkan orang ramai, tetapi kemungkinan-kemungkinan seperti ini patut diberi perhatian serius. Bab dan bidang risikan dalam kerangka ESSCOM harus mengawasi kemungkinan ini.

Apakah cadangan Tan Sri tentang aspek mencegah ancaman pengganas oleh ESSCOM?

ABDUL RAHIM: Tidakkah orang berkata, dalam apa situasi sekali pun, aspek pencegahan adalah lebih berkesan daripada mengubati? Pencegahan boleh dilihat daripada pelbagai aspek.

Pertama, operasi perisikan mestilah cekap dan meluas ke akar umbi. Pakar strategi China kuno, Sun Tzu dalam bukunya Seni Peperangan menekankan, jeneral-jeneral tentera sepatutnya mengkaji maklumat risikan sebelum memasuki medan perang.

Selain itu, Sun Tzu juga berkata: “Semasa berperang, usahakan perdamaian. Semasa aman, buatlah persiapan menghadapi keadaan berperang". Dalam bahasa Inggeris berbunyi “In time of war, make peace. In time of peace, prepare for war." Pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan perisikan, pasti tahu maksud Sun Tzu itu.

Perisikan yang hebat mesti boleh beritahu kita apa yang sedang berlaku dan bakal berlaku. Kumpulan pengganas Kiram itu bukan hanya dianggotai orang yang baru datang dari selatan Filipina sahaja. Pasti ada musuh dalam selimut. Dalam kalangan orang Sulu yang kini sudah bergelar penduduk Sabah, tentu ada segelintir ‘musang berbulu ayam’, ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘api di dalam sekam’.

Saya percaya, selain polis dan tentera, agensi-agensi lain seperti Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempunyai unit menjalankan kegiatan mengumpul maklumat risikan khusus menyentuh timur Sabah dan selatan Filipina. Risikan yang dikumpul boleh dibahas secara bersepadu menerusi ESSCOM untuk panduan dalam merangka dasar-dasar atau langkah-langkah menghadapi pergolakan di Sabah.

Demikian juga, aspek pembangunan sosioekonomi di timur Sabah perlu juga diambil kira. Pendekatan Kesban (keselamatan dan pembangunan masyarakat), yang pernah dilaksanakan dahulu, terbukti berkesan semasa negara berhadapan ancaman pengganas komunis.

Pembangunan pesat di timur Sabah akan membuka banyak peluang pekerjaan, seterusnya membantu meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat. Masyarakat Sulu di kawasan itu akan menikmati kepuasan sebagai penduduk Sabah dan perasaan patriotik terhadap negara Malaysia akan menyerap kukuh ke dalam sanubari mereka.

Di samping itu, kewujudan wilayah autonomi Bangsamoro, walaupun masih belum lengkap pelaksanaannya, boleh menyumbang ke arah kestabilan di selatan Filipina yang merangkumi kawasan-kawasan di bawah wilayah Kesultanan Sulu.

Di bawah kerangka perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Wilayah Autonomi Bangsamoro diberi banyak kuasa untuk memakmurkan wilayah itu. Kita hanya boleh mengharapkan kerajaan pusat Filipina akan terus berpegang kepada perjanjian itu walau siapa pun memerintah Filipina.

Kerajaan Malaysia, yang turut memainkan peranan dalam rundingan damai itu boleh membantu dengan membawa masuk pelaburan untuk pembangunan wilayah Bangsamoro. Mudah-mudahan nasib penduduk di selatan Filipina akan berubah setelah sekian lama terbiar. Kemakmuran mereka secara langsung akan memberi kesan positif kepada keadaan keselamatan di timur Sabah.

Bagaimanakah pihak berkuasa boleh melaksanakan langkah-langkah mencegah ancaman secara berkesan?

ABDUL RAHIM: Bila mula tercetus pencerobohan bersenjata di Lahad Datu ini, saya sangat terkejut sambil berkata dalam hati: adakah ini petanda awal ancaman luar gara-gara pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Dahulu kita boleh menggunakan ISA untuk mengekang dengan pantas anasir-anasir subversif yang disyaki boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

ISA telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Sedikit sebanyak kuasa-kuasa pencegahan yang termaktub dalam ISA, dikekalkan dalam SOSMA. Pihak berkuasa harus menggembleng tenaga dan kepakaran di bawah peruntukan undang-undang ini dengan serapi-rapinya dan secekap-cekapnya.

Misalnya, kita mesti siasat pembabitan unsur-unsur dalaman yang menjadi penggalak atau tali barut kepada kumpulan pengganas Sulu dari selatan Filipina. Mereka harus dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira sama ada ahli atau pemimpin politik atau orang Sulu di Sabah. Pendedahan meluas tentang penglibatan mereka juga harus dibuat.

Apakah kaedah terbaik untuk menjelaskan kepada rakyat tentang insiden pencerobohan Kumpulan Pengganas Kiram di Sabah?

ABDUL RAHIM: Dalam wawancara bersama TV9 baru-baru ini, saya telah mencadangkan agar kerajaan menyediakan Kertas Putih (White Paper) mengenai insiden pencerobohan pengganas Sulu ini. Kaedah ini relevan bukan saja untuk memaklumkan rakyat tentang peristiwa itu, perkara ini juga ada unsur kepentingan awam atau public interest yang tinggi. Bila ia dibentangkan di Dewan Rakyat, ia boleh dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen dengan meluasnya.

Kertas Putih semestinya mengandungi maklumat yang dikumpulkan oleh semua agensi kerajaan terbabit, termasuk unit risikan pasukan keselamatan. Di dalam Dewan Rakyat, kerajaan boleh menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Pendedahan-pendedahan tentang pembabitan ahli-ahli politik tempatan, jika ada, secara langsung atau tidak langsung, atau pembabitan individu tertentu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), boleh disentuh oleh Kertas Putih itu.

Dedahkan semuanya kepada rakyat agar insiden yang berlaku di timur Sabah menjadi pengajaran berguna kepada kita semua. Malah, apa salahnya Kertas Putih itu menyorotkan juga soal memberhentikan bayaran tahunan ufti untuk dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat.



No comments:

Post a Comment