Muslihat pembangkang
Beberapa rakan yang mencari
kepastian bertanyakan soalan: “Betulkah peristiwa di Lahad Datu, Sabah itu
agenda politik UMNO?” Soalan ini hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Ia
mudah dijawab. Yang penting ialah huraian mengenai jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’
itu boleh diterima atau sebaliknya. Untuk mewujudkan keraguan politik, sebenarnya
jawapan adalah tidak penting. Jika matlamat pembangkang untuk mewujudkan
keraguan politik, mereka berjaya mengelirukan rakyat. Mereka menggunakan
kesempatan yang datang tepat pada waktunya. Jika kerajaan lewat bertindak
balas, mereka akan dapat membentuk keraguan di pemikiran rakyat dengan mudah.
Kesannya, rakyat lebih berminat mengetahui apakah sebenarnya agenda UMNO
daripada mengetahui keadaan sebenarnya dan perkembangan di Lahad Datu. Dengan
adanya soalan seperti itu menunjukkan memang sudah wujud keraguan di kalangan
rakyat. Mujur, mereka bertanya untuk mendapatkan kepastian terlebih dulu
daripada terus mempercayainya.
Sejak berlaku pencerobohan
pengganas pada 12 Februari lalu di Lahad Datu, Sabah, ada pemimpin pembangkang
yang menuduh bahawa kejadian itu adalah agenda UMNO. Gambaran yang cuba
diberikan ialah peristiwa itu sengaja diada-adakan UMNO kononnya atas pelbagai
tujuan politik. Dengan berbuat demikian, mereka cuba membentuk pendapat politik
kononnya UMNO goyah hingga terpaksa mengada-adakan isu dengan tujuan mencari
sokongan dan menyatukan rakyat khasnya di Sabah yang dianggap sebagai negeri
‘cagaran tetap’. Pembangkang juga beranggapan dengan membuat tuduhan itu,
mereka dapat melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah bagi
membolehkan mereka meraih sokongan di negeri itu.
Pembangkang kian tersepit
“Jika kerajaan lewat bertindak
balas kesannya, rakyat lebih berminat mengetahui apakah sebenarnya agenda UMNO
daripada mengetahui keadaan sebenarnya dan perkembangan di Lahad Datu.”
Mengapa mereka mengaitkan UMNO,
mudah difahami. Umumnya, negara ini akan menghadapi pilihan raya pada bila-bila
masa saja. Mereka melihat kerajaan BN mempunyai kelebihan untuk menang besar.
Jika pembangkang tidak melakukan sesuatu yang drastik, harapan untuk menang adalah
tipis. Selain rakyat mula hilang kepercayaan terhadap pembangkang, pelbagai
program BN mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat. Pendekatan
‘Rakyat Didahulukan’, ‘Janji Ditepati’ dan beberapa program yang dilaksanakan
kerajaan berjaya memenangi hati rakyat.
Pembangkang sebenarnya kian
tersepit. DAP, PAS dan PKR tidak mempunyai kekuatan lagi. Mereka hanya
mengharapkan undi kaum Cina. Mereka lupa kebanyakan undi kaum Cina adalah untuk
DAP. Orang Cina tidak akan menyokong PAS, tidak seperti pilihan raya lalu.
Sebahagian besar orang Melayu, khasnya yang menyokong PAS pula tidak lagi yakin
dengan pemimpin parti itu. Mereka melihat PAS gagal memperjuangkan dan
meningkatkan syiar Islam. Jika isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan
bukan Islam pun mereka tidak dapat selesaikan dengan baik, inikan pula untuk
menegakkan hukum dan negara Islam. Ramai ahli PAS mempersoalkan kebijaksanaan
pemimpin PAS yang mereka anggap tunduk kepada tindak tanduk dan mengikut
telunjuk DAP dan PKR.
Pemimpin pembangkang beranggapan,
dengan menuduh UMNO di belakang tabir peristiwa Lahad Datu, rakyat Sabah akan
marah kerana UMNO yang dianggap mencetus kekecohan di negeri itu. Jangkaan
pembangkang meleset kerana kerajaan bertindak menyelesaikan kejadian itu secara
berhemah. Selepas sekian lama berunding dan meminta pengganas keluar dari
kampung dicerobohi, gagal mencapai persetujuan pengganas, barulah anggota
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
bertindak. Berikutan kematian yang dihadapi pengganas dan gugurnya beberapa
wira negara, pembangkang tidak berani lagi mendakwa peristiwa itu sebagai
tindak tanduk UMNO. Mereka juga melihat peristiwa di Lahad Datu sebagai
peristiwa serius kerana ia membabitkan soal maruah bangsa dan negara. Tidak
hairanlah ada pemimpin pembangkang yang menafikan mereka menuduh UMNO sebagai
pencetus kepada peristiwa itu. Jalan mudah ialah menafikan apa yang mereka
katakan dan menuduh media melakukan kesalahan. Cuma, media yang dipersalahkan
adalah milik mereka sendiri.
Ibarat Nujum Pak Belalang
Apa logiknya UMNO dan kerajaan
terbabit dalam isu itu? Melihat kepada pelbagai program diumumkan dari semasa
ke semasa, kerajaan merancang begitu banyak program untuk rakyat dan negara.
Sebaliknya, rakyat boleh bertanya dan melihat sendiri apakah program yang
diatur pembangkang? Sebenarnya, pembangkanglah yang mempunyai masa lumayan
untuk mengatur strategi dan agenda menjatuhkan kerajaan. Mereka tiada kerja
lain kerana segala-galanya yang wujud hari ini ditentukan dan diusahakan
kerajaan. Itulah sebabnya mereka akan bercakap apa saja mengenai kerajaan
kerana tidak ada kerja lain lebih berfaedah. Sekarang timbul pula andaian
bahawa ‘tangan hitam’ pemimpin pembangkanglah yang sebenarnya berada di
belakang kejadian itu. Berasaskan laporan asing, Kerajaan Filipina dikatakan
mendapat beberapa bukti berhubung pembabitan tokoh pembangkang Malaysia
membiayai keluarga pemimpin kumpulan ganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Dalam politik, bagi mengelakkan
orang menuduh mereka, lebih baik mereka bentuk pemikiran rakyat dengan menuduh
pihak lain terlebih dulu yang bertanggungjawab. Seorang pencuri terlebih dulu
menuduh orang lain mencuri bagi mengelak dirinya disyaki sebagai pencuri
sebenar. Ini antara muslihat sering digunakan pembangkang. Kerajaan merancang
membina negara dan memastikan rakyat hidup sejahtera tetapi pembangkang
merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan apa cara sekali pun. Tidak ada
kerajaan yang sanggup merancang supaya negaranya diceroboh. Ini bukan cerita
dongeng Ali Baba dengan 40 penyamun yang mana orang kaya meminta rumahnya
dirompak untuk melarikan diri daripada hutang. Jika hendak menggulingkan
kerajaan, ia datangnya daripada pembangkang. Ini ibarat dalam cerita Nujum Pak
Belalang apabila penyamun berpakat dengan Raja Pasai untuk menyerang kerajaan
Beringin Rindang.
No comments:
Post a Comment